Monday, March 7, 2011

Selamat Berkurang Umur!

Jujurnya apakah artikel kali ini adalah artikel yang terakhir ataupun sebaliknya daripada saya,  saya tidak mempunyai jawapannya secara pasti. Mungkin yang terakhir, atau mungkin juga tidak. Berapa lama lagikah Allah mengizinkan saya untuk meminjam jari-jemari ini untuk berdetik untuk berkongsi butiran dari hati dan perasaan. Boleh jadi sehingga esok, lusa, minggu depan dan bila-bila. Kita tidak tahu.

Semuanya boleh terjadi bukan? Semuanya telah tertulis di lembaran-Nya yang telah disimpan rapi dan kemas.

Bagaimanakah agaknya jika ada orang lain yang menulis di blog ini atas pihak diri saya,

"Mohon jasa baik saudara dan saudari untuk mendoakan kesejahteraan bagi penulis asal pemilik blog ini".

"Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Untuk makluman semua pengunjung blog ini, penulis blog ini, si fulan bin si fulan telah kembali ke rahmatullah pada waktu dan hari sekian. Justeru itu, diharapkan pihak saudara-saudari dapat memaafkan segala kesalahan dan kekhilafan beliau dan menghalalkan segala hutang-hutang beliau. Semoga Allah sahajalah yang dapat membalas jasa baik saudara dan saudari sekalian".

MasyaAllah. Bergetar rasanya hati ini tatkala menulis bait-bait ayat di atas. Menulis tentang 'kematian' diri sendiri.

Membayangkan hal sedemikian membuatkan tubuh menjadi kecut, jiwa dan perasaan menjadi gusar mengenangkan dosa-dosa yang mungkin memunuhi bumi dan langit. Malah mungkin lebih banyak daripada itu. Atau jika ditambah 7 lagi bumi dan langit yang sama untuk dijadikan bekas menyimpan dosa-dosa saya, adakah ia telah 'mencukupi' atau sebaliknya masih terdapat sisa baki yang terlimpah keluar.

Bagaimana agaknya nanti ya?

Bagaimana agaknya kalian menyambut berita sedemikian rupa itu. Masih tersisakah seorang dua daripada kalian yang sudi menghadiahkan doa buat saya? Atau masih tersisa lagikah ruang-ruang kemaafan atas keburukkan diri saya terhadap kalian?

Aduh. Saya tidak mampu untuk meneruskannya.

Memang benarlah, cukuplah kematian itu sebagai peringatan. Ia memang menggetarkan.

Ok, mari ubah emosi dan gaya penulisan.

Semalam, genaplah 24 tahun umur saya telah dipendekkan. Rasanya terlalu cepat masa ini berlalu. Teringat lagi waktu kecil, waktu tidur bersama emak dan abah. Waktu saya sukar untuk tidur bersendirian dek kerana gara-gara lambakkan cerita hantu di pasaran. 'Nenek Gerondong', 'Setan Kuburan', 'Sundal Bolong - Jumaat Kliwon' dan pelbagai koleksi lagi dimiliki sebagai penghibur cerita dikala malam melabuhkan tirainya.

Memang meyeronokkan, sehingga 'keseronokkan' itu dikongsi bersama abah yang terpaksa meneman anaknya ini untuk membuang air di tandas dalam rumahnya sendiri.

"Abah. Abah ada tak?",jerit saya untuk memasstikan kedudukan abah masih di tempat yang sama.

"Ada sini",sahut abah untuk menenangkan anak kecil kesayangannya itu.

"Abah jangan pergi mana-mana. Tunggu hadi sampai keluar",permintaan yang berbunyi arahan dan ancaman.

Begitulah cerita berbelas tahun dahulu atau mungkin 20 tahun dahulu. Cerita sewaktu saya masih keanak-anakkan. Kanak-kanak yang bebas dari sebarang beban dan fikiran. Juga terlepas dari taklifan dosa. Sungguh indah waktu itu.

Kini, keadaanya sudah berubah. Berubah pada paksi yang sebaliknya.

"Kamu bila nak kahwin?",soalan yang ringkas tapi beratnya seperti gunung.

"Hadi, dah ada calon belum?",soalan yang dilontar tetapi tidak mendapat jawapan.

Sungguh berbeza dimensi fasa kehidupan. Dahulunya, saya dijaga dan diberi perlindungan. Tetapi setelah meningkat dewasa saya diasak dengan soalan yang akan menjadikan diri ini sebagai insan yang menjaga dan memberikan perlindungan.

Benarlah kehidupan itu sifatnya berputar-putar.

Selalu juga saya duduk termenung berfikir, apakah dalam hidup ini yang saya hendak? Pelbagai perkara datang bertalu-talu menerobos fikiran. Hendak kerja yang bagus, bergaji tinggi, berkereta yang elok, mempunyai rumah yang selesa dan juga sudah tentu mempunyai ikatan perkahwinan. Saya pasti kebanyakkan insan dengan sifat fitrah dirinya mahukan itu semua. 

Tetapi setiap kali soalan di atas ditanya kepada diri sendiri, pasti pengakhiran kalamnya akan diakhiri dengan ucapan,

"Lepas itu apa?!".

Ya, selepas mendapat isteri/suami. Selepas memperolehi kereta yang mahal. Selepas menpunyai rumah yang selesa. Selepas mendapat segala apa yang diidamkan, lalu apa lagi? Sudah sempurnakah?

Sudah pasti akan terdetik di hati kita, tidak! Belum lagi sempurna impian aku. Aku mahukan syurga. Aku mahu memenuhi kehidupan aku dengan kebaikkan dan amal soleh. Itulah penamat segala cita-cita. Cita-cita yang ramai orang selalu menginginkannya tetapi seramai itu juga yang mudah melupakannya. Ibarat lintasan angin yang menghembus lembut ke badan, hembusannya meniupkan kedinginan, tetapi kedinginan itu hanya singgah hanya sekejap saja.

Ya, hanya sekejap kerana keinginan yang ditanam dalam hati juga adalah 'sekejap'. Tidak sama seperti cita-cita dunia yang dibiarkan dalam lintasan hati dan fikiran lama sehingga kita  betul-betul mencapai apa yang dicitakan. Ramai yang bercita-cita hendak mendapatkan kerja yang bagus, maka cita-cita itu disemai dalam hati sejak dibangku sekolah lagi sebagai perangsang untuk belajar bersungguh-sungguh. Cita-cita untuk memiliki kereta dan rumah yang selesa menyebabkan lintasan itu sentiasa diperingat dari semasa ke semasa supaya menjadi pemangkin untuk bekerja lebih kuat dan keras. Semuanya itu akan tertanam dalam waktu panjang dan tempoh lama dalam diri.

Cita-cita dunia yang mudah tersimpan kemas dalam hati kerana ia datang secara 'instant' ketika di dunia lagi. Tidak seperti akhirat ataupun syurga, ia lambat dan jauh untuk menuai hasil yang telah ditanam di dunia. Jadi tidak hairanlah lintasan untuk mendapatkan syurga tidak sekuat dan sekukuh sebagaimana untuk mendapatkan dunia. Justeru itu tidak hairanlah jika manusia itu senang berubah. Berubah dari baik kepada sebaliknya. Bahkan lebih-lebih lagi dalam urusan dunia.

"Semakin bertambahnya rezeki, semakin banyak pula cita-cita untuk memiliki, semakin sukar pula untuk memberi, celaka sungguh hati manusia, mudahnya engkau berubah daripada pemurah kepada penyembah dunia, dunia yang diibaratkan sebagai tinja jika dilencongkan arah tujuannya".

Lumrah sebagai manusia, selalunya alpa tentang yang penting diantara yang penting. Kita selalu menumpukan seluruh tenaga dan usaha untuk mendapatkan habuan yang nampak di mata dan cepat pula pulangannya. Lantas itu kita sering membiarkan perkara yang ghaib di mata dan jauh dari pandangan nyata.

Itulah sifat manusia. Lupa dan alpa. Sifat saya dan anda juga. Ada suatu masa, kita berasa akhlak kita sungguh terjaga dan amalan soleh kita terpelihara. Di satu masa yang lain, ia beruabah sekelip mata. Yang dahulunya rapi terjaga tetapi sekarang ia terlerai menderita. Yang dahulunya terpelihara tetapi sekarang ia punah binasa.

Itulah manusia. Jiwa yang mudah berubah dan pelupa.

Justeru itu, marilah sama-sama kita pandang ke belakang. Melihat kembali kelemahan dan kekurangan untuk diatasi. Kadang-kadang seseorang itu mudah sahaja berubah mengikut suasana. Kadang-kadang kerana kawan-kawan di sekitarnya. Kadang-kadang kerana sejarah hitam lepasnya. Saya dan anda juga pasti tidak terlepas daripada terkana tempiasnya. Tapi, ingat jangan terlalu mudah untuk berputus asa.

"Oleh itu, kadang-kadang jika kita lihat seseorang itu dahulunya baik dan sangat terjaga peribadinya, lalu dia berubah sekelip mata, janganlah terus dikeji dan dihina. Ia pasti mendatangkan kesakitan dan akan lebih menjahanamkan. Selalunya kita hanya memandang ringan percakapan buruk kita kepada orang lain. Kita seringkali menganggapnya sebagai tidak mengapa. Tetapi apabila ianya berbalik terkena pada batang hidung kita, kita mengatakan mereka jahat dan tidak berperikemanusiaan. Di saat itu, baru kita berasa sakit dan pedihnya. Tetapi ternyata jauh pada detik lama dahulu, perbuatan yang sama telah kita 'hiaskan' kepada kehidupan orang lain tanpa kita sedar".

Coretannya sudah tidak bergalur dan terfokus. Maafkan saya. Rasanya mungkin ini akibat lamanya berhenti daripada menyumbangkan buah tangan untuk teratak ini. Ada yang menegur saya, mengapa tidak menggunakan hari minggu untuk menulis kerana sudah lama teratak ini tidak terisi dengan suratan pena. Bukan tidak mahu menggunakannya tetapi saya tidak mempunyai waktu itu. Beberapa minggu yang lepas, urusan kerja pejabat saya bukan lagi 5 hari seminggu tetapi ia bertukar 7 hari seminggu.

Siang malam shift silih berganti menyebabkan perubahan biologi badan saya sedikit sebanyak terganggu. Lantaran itu, tulisan ini juga tergendala dalam rangka penyiapannya. Seringkali tertangguh. InsyaAllah saya tidak mahu berhenti menulis, bahkan saya ingin menjadikan ia sebagai aset saya 'di sana'. Kerana saya orang yang tidak banyak berpahala, lalu biarlah tulisan dalam ruangan ini menambahkannya walaupun kandungannya biasa-biasa.

Akhir kalam, marilah kita menulis blog. Jangan malas-malas...=D 

Muhammad Hadi yang telah menjangkau ke umur 24 tahun..=)

Related Posts with Thumbnails