Tuesday, January 5, 2010

Buatmu Muslimah


Ratuku...
Inginku luahkan
apa yang sudah lama inginku luahkan
tentang kebimbanganku ini
tatkala melihat bunga-bunga keguguran
dipetik tangan-tangan yang ganas
lagi bernafsu serakah

Ratuku...
kebimbanganku ini
masih menebal
apabila ku dengar dengungan kumbang perosak
yang cuba menyedut madumu
walau tanpa relamu

Ratuku...
kebimbanganku ini bertambah lagi
bilaku melihat bunga
yang tak segan silu
melempiaskan kecantikannya ketika sedang mekar
melupakan kuntuman
yang sebelum ini melindunginya

Ratuku...
aku masih terpinga-pinga
masih wujudkah lagi
ratu idaman hatiku
kerana apa yang ku lihat
hari ini
semakin banyak
bunga-bunga gugur
bagaikan tibanya musim luruh

Ratuku...
bukanlah ku harap
kau segigih Siti Hajar
yang berlari-lari
antara Safa dan Marwah
bukan juga sesetia Ainul Mardhiah
menanti kekasih di pintu syurga

Ratuku...
akuilah hakikat yang tersurat
engkau bukanlah Siti Khadijah
mahupun Siti Fatimah
engkau bukan A'ishah
bukan juga Rabi'atul Adawiyyah
wanita suci terpuji

kerana
aku tidak layak
berharap sedemikian rupa
cukuplah sekadar
kau cuba mencontohi
bunga-bunga itu
kembang mekar mewangi sehingga harumannya
melewati pintu-pintu syurga

jangan kau risau ratuku
kadangkala musim berganti
sehingga bunga
tak dapat berkembang mekar
tapi itu hanya ujian buatmu

Ratuku....
esok musim bunga pasti akan tiba
dan kau akan mampu
berkembang lagi
cuma yang kuharapkan
ketika itu
kau jaga kelopakmu itu
jangan sampai
tangan-tangan kasar
memetikmu lagi

jangan goda
kumbang-kumbang ganas
menghisap madumu
jangan biarkan
gagak-gagak hitam itu
merosakkan serimu
kerana
kau idaman kalbu

Ratuku...
aku bukanlah
memandang kecantikkanmu
walaupun kadangkala
aku tertarik memandangnya
tapi
bukan itu yang kuharapkan

aku yakin ratuku
masih ada sinar harapan
yang bisa membuatku
tersenyum lega
kerana akan ketemui
Ratu yang benar-benar Ratu...


Friday, January 1, 2010

KASIHNYA IBU....

Pada suatu hari seorang pemuda yang bernama Rohan terlibat dalam kemalangan. Dia dilanggar oleh sebuah teksi di sebatang jalan raya. Akibat daripada kemalangan itu dia cedera parah, kepalanya luka, tangannya patah dan perutnya terburai. Setelah dibawa ke hospital, doktor mendapati keadaannya terlalu teruk dan menjangkakan dia tidak ada harapan untuk hidup. Ibunya, Rohani segera dihubungi dan diberitahu tentang kemalangan yang menimpa anaknya dan keadaannya.

Hampir pengsan Rohani ketika mendapat tahu berita tentang anaknya. Dia segera bergegas ke hospital tersebut. Berlinang air mata si ibu melihat keadaan anaknya, walaupun telah diberitahu bahawa anaknya itu tidak ada harapan untuk diselamatkan, Rohani tidak henti-henti berdoa, bermohon agar anaknya itu diselamatkan Allah s.w.t. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, keadaan Rohan tidak banyak berubah. Saban hari Rohani akan datang menjenguk anaknya itu, saban malam dia bangun untuk melakukan solat malam. Dalam keheningan malam, sambil berlinangan air mata, Rohani merintih meminta agar anaknya disembuhkan oleh Allah. Ini antara doa Rohani untuk anaknya:

"Ya Allah ya Tuhanku, kasihanilah aku dan kasihanilah anak aku. Susah payah aku membesarkannya, dengan susu aku yang Engkau kurniakan kepadaku, aku suapkan ke dalam mulutnya. Ya Allah, aku pasrah dengan apa jua keputusan-Mu! Aku rela dengan qadak dan qadar-Mu."

"Ya Allah, dengan air mataku ini aku bermohon kepada-Mu, Engkau sembuhkanlah anakku dan janganlah Engkau matikannya, aku sangat sayang kepadanya, aku sangat rindu kepadanya, susah rasanya bagiku untuk hidup tanpa anakku ini. Terngiang-ngiang suaranya kedengaran di telingaku memanggil-manggil aku ibunya."

"Ya Allah, tidak ada tuhan melainkan hanya Engkau. Tunjukkan kuasa-Mu ya Allah, aku reda kalau anggota badanku dapat didermakan kepadanya agar dengannya dia dapat hidup sempurna semula. Ya Allah, aku reda nyawaku Engkau ambil sebagai ganti asalkan Engkau hidupkan anak kesayanganku. Engkaulah yang Maha dalam segala hal, berkat kebesaran-Mu ya Allah..."

Keyakinan Rohani terhadap kuasa Ilahi sangat kuat walaupun tubuh badan anaknya hancur cedera dan dikatakan tidak ada harapan hidup. Namun, Allah benar-benar mahu menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya. Setelah lima bulan terlantar, akhirnya Rohan menampakkan tanda-tanda kesembuhan dan akhirnya sembuh sepenuhnya, berkat doa seorang ibu yang ikhlas.

Rohan dapat meneruskan hidupnya hingga berumah tangga dan beranak-pinak. Ibunya, Rohani semakin hari semakin tua dan uzur. Suatu hati, Rohani yang berusia hampir 75 tahun jatuh sakit. Pada mulanya, Rohan masih menjengah-jengah ibunya di hospital. Tetapi, semakin hari semakin jarang dia datang menjenguk ibunya hinggalah pada suatu hari pihak hospital menghubunginya untuk memberitahu keadaan ibunya yang semakin teruk. Rohan segera bergegas ke rumah sakit. Di situ dia dapati nafas ibunya semakin lemah. Doktor memberitahu bahawa ibunya sudah tidak ada masa yang lama untuk hidup. Ibunya akan menghembuskan nafasnya terakhir pada bila-bila masa.

Melihat keadaan ibunya yang sedemikian dan kononnya dia terseksa, maka Rohan lantas berdoa seperti ini: "Ya Allah, seandainya mati lebih baik untuknya, maka Engkau matikanlah ibuku! Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Ya Allah, aku akan reda dengan pemergiannya...."

Begitulah bezanya doa ibu terhadap anak dan doa anak terhadap orang tuanya. Apabila anak yang sakit walau seteruk mana sekalipun, walau badan hancur sekalipun, namun ibu bapa akan tetap mendoakan semoga anaknya dihidupkan. Tetapi anak-anak yang 'baik' pada hari ini akan mendoakan agar ibu atau bapanya yang sakit agar segera diambil oleh Allah, pada hal ibu bapa itu baru sahaja sakit. Mereka meminta agar Allah segera mematikan ibu atau bapanya kerana kononnya sudah tidak tahan melihat 'penderitaan' ibu bapanya!

p/s: kisah ini dipetik dari buku 'Kaedah Mendidik Isteri & Anak, Antara Galakan dan Larangan Memukul dalam Islam'. Begitulah hakikatnya kasih seorang ibu. Penulis pasti dan yakin jika para pembaca sekalian yang berada ditempat Rohan terlantar di hospital akibat kemalangan, pasti dan pastinya ibu dan bapa anda tidak akan jemu untuk berdoa supaya anda disembuhkan seperti sediakala. Mereka akan sanggup melalukuan apa sahaja, mengorbankan tenaga, masa dan wang untuk menyembuhkan anda. Sebaliknya, apakah seorang anak boleh melakukan pengorbanan yang sama terhadap ibu dan bapa bila mereka ditimpa bencana. Sama-sama kita renungkan. Hargailah ibu-bapa sementara mereka masih ada...



Jadilah Seorang Lelaki yang Beriman


Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.


Sumber:
www.iLuvislam.com

Monday, December 28, 2009

RENUNGAN



KENAPA AKU DIUJI?


أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللّهِ


"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dab cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang berada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah..."
(Al-Baqarah,2:214)


أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Al-Ankabut,29:2-3)


KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?


وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ


"....boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah,2:216)


KENAPA UJIAN SEBERAT INI?


لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya(keupayaannya)..."
(Al-Baqarah,2:286)



RASA KECCEWA(FRUST)?


وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Ali-Imran,3:139)


BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Ali-Imran,3:200)


APA YANG AKU DAPAT DARI SEMUA INI?


إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ


"Sesungguhnya Allah telah membeli diri orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka...."
(At-Taubah,9:111)


KEPADA SIAPA HARUS AKU MENGHADAP?


حَسْبِيَ اللّهُ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ


"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakal. Dan Dia adalah tuhan yang memiliki Arasy yang agong."
(At-Taubah,9:129)


AKU DAH TAK DAPAT TAHAN LAGI!!!!


وَلاَ تَيْأَسُواْ مِن رَّوْحِ اللّهِ إِنَّهُ لاَ يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ


"....Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Yusuf,12:87)



JADILAH AKU INSAN YANG BERSYUKUR....


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


"Dan (ingatlah), tatkala tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih."
(Ibrahim,14:7)


BERDOALAH KEPADANYA(ALLAH)......


أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ


"Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku"
(Al-Baqarah,2:186)



DAN BERSABARLAH...


وَاللّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ


"Dan Allah bersama oran-orang yang bersabar."
(Al-Baqarah,2:249)

أَلا إِنَّ نَصْرَ اللّهِ قَرِيبٌ

"......Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
(Al-Baqarah,2:214)



YAKINKAN DIRI...


إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ


"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain."
(Nasyrah,94:6-7)

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, itulah keberuntungan yang besar."
(Al-Buruj,85:11)



TAWAKKAL ILALLAH...


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً


"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikenehndakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
(At-Talaq,65:2-3)


فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

"Maka nikmat Allah yang manakah yang kamu dustakan?"
(Ar-Rahman,55:13)




Thursday, December 24, 2009

Keutamaan Para Sahabat Di Sisi Ibn Mubarak



Pernah suatu ketika, Abdullah Ibnu Mubarak, seorang tabiin terkenal lagi tawaduk dan zuhud terhadap dunia pernah didatangi seseorang bertanya tentang sahabat nabi s.a.w, Muawiyah r.h. Ibnu Mubarak berkata,"Bagaimanakah aku akan memperkatakan sesuatu tentang seorang yang bersembahyang sekali dibelakang Rasulullah. Apabila Rasulullah menyebut,'Sami'Allahu liman hamidah,' lantas dalam menjawabnya, beliau mengucapkan,'Rabbana walakalhamdu',".


Pada suatu ketika yang lain juga beliau pernah didatangi oleh seseorang mengemukakan soalan yang berbunyi,"Apa kata tuan tentang Muawiyah dan Umar bin Abd Aziz, siapakah diantara mereka berdua yang lebih utama?". Si tukang tanya tersebut meletakkan Saidina Muawiyah sahabat nabi s.a.w dikaitkan dengan bermacam-macam tuduhan ke atasnya, sebaliknya pada satu pihak yang lain, mengagongkan Umar bin Abd Aziz yang kewarakkan dan ketinggian kedudukannya disepakati umat.

Sebaik sahaja mendengar lontaran soalan tersebut, lantas Abdullah Ibn Mubarak tidak semena-mena naik marah kemudian berkata,"Kamu bertanyakan nisbah keutamaan di antara mereka berdua. Demi Allah! Debu yang masuk ke dalam hidung Muawiyah kerana berjihad bersama Rasulullah S.A.W itu sahaja lebih baik daripada Umar bin Abdul Aziz".

Begitulah ketinggian kedudukan para sahabat di sisi Rasulullah. Jadi siapakah yang digelar para sahabat? Golongan yang membawa gelaran 'RadhiAllahuanhu' atau 'Allah meredhai nya'. Secara kasar terdapat sekurang-kurangnya terdapat 3 ciri khas untuk melayakkan seseorang itu digelar sebagai para sahabat. Terdapat pelbagai pendapat tentang berapakah jumlah sebenar para sahabat Rasulullah, terdapat yang mengatakan seratus ribu orang, sebahagian yang lain mengatakan lebih daripada itu dan sebahagian yang lain pula mengatakan kurang daripada itu. Tidak terdapat fakta yang jelas dalam hal ini tentang bilangan sebenar para sahabat nabi.

3 ciri untuk layak digelar sebagai para sahabat:-

1) Mestilah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Orang-orang kafir musyrik di zaman baginda tidak dianggap sebagai para sahabat.

2) Mestilah pernah bertemu dengan nabi s.a.w. Oleh yang demikian, sesiapa yang hidup pada zaman nabi tetapi tidak pernah berjumpa dengan nabi, maka dia tidak digelar sebagai para sahabat. Contohnya adalah seperti Najasyi, seorang raja Habsyah. Walaupun dia beriman kepada Rasulullah dan memberikan perlindungan kepada orang mukmin semasa zaman nabi, tetapi beliau tidak pernah berjumpa dengan nabi, maka Najasyi tidak dianggap sebagai para sahabat.

3) Mati dalam keadaan beriman. Justeru orang-orang yang murtad selepas kewafatan nabi tidak dianggap sebagai para sahabat walaupun mereka pernah beriman kepada Islam. Hal ini mahsyur dalam sejarah semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar dimana ramai yang murtad. Begitu juga halnya kepada Abu Talib, bapa saudara kepada nabi. Walaupun dalam hayatnya, hidupnya pernah berkhidmat untuk melindungi Nabi s.a.w daripada ancaman musyrikin Mekah, tetapi disebabkan dia tidak beriman sehingga ajalnya, maka dia tidak termasuk dalam golongan para sahabat.


"Nilai Diri Pada Manfaatnya"





Related Posts with Thumbnails