Monday, September 5, 2011

Memoir Seorang Anak Yatim

Ramadhan telah berlalu. Sebulan dipenuhi dengan sambutan ibadah. Begitu jugalah sambutan kepada anak-anak yatim. Ditatang bagai minyak yang penuh. Sungguh bahagia mereka.

Tetapi sedih.

Sedih kerana rata-ratanya mereka hanya dapat bergembira di bulan Ramadhan sahaja.

Hakikat realiti yang sukar digelengkan kebenarannya.

Dilayan dengan mesra, disuap dengan makanan yang enak, diberi rasa seperti punyai ibu bapa dan pelbagai lagi bentuk 'belaian' yang menyentuh hati hanya dalam satu bulan, kemudian kembali menjadi yatim untuk 11 bulan yang seterusnya.

Itulah kehidupan mereka. Setiap tahun silih berganti 'ibu bapa'. Setiap tahun itulah mereka merasakan inilah ibu bapaku yang terbaik. Mereka mengharapkan ibu bapa inilah yang akan menjaga mereka sepanjang tahun. Tapi sedih, angan-angan itu selalunya tidak menjadi kenyataan.

"Boleh abang tahu cita-cita adik bila besar nanti?",mukaddimah saya dalam satu program lawatan ke rumah anak yatim hampir 2 tahun lepas sebagai pemanis bicara merapatkan rasa ukhuwwah.

Satu-persatu kerjaya disebutkan. Ada yang mahu menjadi doktor, peguam, bussinessman,  pelukis dan bermacam-macam lagi sesuai dengan kerjaya idaman masing-masing.

"Best tak bulan Ramadhan selalu dapat makan berbuka kat hotel?",soal hati mengungkit rasa ingin tahu terhadap kehidupan anak-anak yatim ini.

"Seronok abang. Makan sedap-sedap. Jarang sangat dapat makan macam tu. Kalau nak makan sedap-sedap kena tunggu Ramadhan lah. Lepas tu balik dari hotel semua perut buncit-buncit. Hehe",lawak yang cuba diselitkan mengundang rasa sayu di hati yang cuba dilindungkan dengan riak muka ceria tanda meraikan jenaka yang cuba dimasukkan.

Hati mana yang tidak sayu mendengar luahan begitu. Iya, kita mungkin boleh bercakap,"Ala, kira beruntunglah juga dapat makan kat hotel. Aku ni tiap-tiap hari makan dekat umah saja. Tak bising pun".

Benar, makan di rumah. Di rumah bersama keluarga, abah, emak beserta adik-beradik. Nikmat itulah yang cuba dicapai oleh anak yatim ini. Tapi apakan daya, peluang untuk itu sudah berakhir. Lalu keseronokkan makan bersama keluarga diterjemahkan dalam bentuk keseronokkan apabila dilayan dan disambut oleh orang-orang lain yang mereka anggap sangat caring dan loving.

Mereka terasa terhibur. Terhibur dengan belaian yang dianggap sebagai pengganti kepada ibu dan bapa mereka. Tetapi belaian itu sayangnya hanya hadir dalam sebulan, kemudian rasa sunyi dan rindu kembali bertaut untuk bulan-bulan berikutnya.

Itulah realiti seorang anak yatim.

Selepas Ramadhan, jika kita masih lagi makan bersama keluarga, mereka kembali makan bertalam bertemankan kawan-kawan. Jika kita sakit masih ada yang mahu melayan selera makan kita yang tidak menentu, mereka tetap makan seperti apa yang dimakan oleh kawan-kawan yang lain. Jika kadang-kadang kita pergi melancong atau bersiar-siar bersama keluarga, mereka tetap meneruskan aktiviti riadah mereka hanya di dalam lingkungan asrama.
Sayu apabila membandingkan 'kita' dan 'mereka'.

Sedih apabila membandingkan kita yang punyai ibu bapa untuk sepanjang bulan, manakala mereka 'beribu bapa' untuk sebulan, kemudian ditanggalkan menjadi yatim untuk 11 bulan.

Pengamatan dalam kehidupan kadang-kadang memang memberikan satu pedoman untuk manusia untuk menilai dan merenung untuk kita mensyukuri apa yang kita perolehi. Dengan kelebihan yang kita punyai itu lantas membuatkan kita berfikir tentang orang lain yang mungkin kekurangan seperti apa yang kita punyai sekarang.

Dengan demikian, semoga ramailah yang lahir untuk memberikan belaian kepada anak-anak yatim ini bukan dalam bulan ramadhan sahaja tetapi untuk bulan-bulan yang lainnya juga. Mungkin tidaklah dengan membawa mereka setiap hari untuk makan di hotel atau di restoran-restoran mewah. Tapi, cukuplah dengan keberadaan kita supaya mereka merasai 'kebersamaan'. 

"Adik nak tak kalau dah besar nanti, bawa orang-orang yang macam adik yang tiada ayah atau ibu dah pergi makan kat hotel tiap-tiap bulan? Bukan bulan Ramadhan sahaja",getus hati untuk mencetuskan  rasa mahu dalam diri insan yang istimewa itu.

"Nak",ringkas jawapan yang disambut dengan anggukan kepala.

"Kalau macam tu, belajar rajin-rajin. Nanti masuk universiti jadi orang senang adik boleh bantu orang-orang yang macam adik sekarang",iringan pesanan disalauti doa ikhlas dari hati untuk insan sepertinya.

............................................................................................

Kenanganku










Saturday, August 20, 2011

Ramadhan Pencetus Istiqamah Diri

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah lama kiranya saya tidak menetakkan jari di atas papan kekunci untuk menulis sesuatu di teratak maya peribadi ini. Semakin lama ditinggalkan, semakin berat rasanya untuk memulakannya kembali. Itulah kesannya. Teringat kepada kata-kata guru saya yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani & Kesihatan,"Atlit tidak boleh berhenti buat latihan lebih dari 3 hari. Kalau mereka berhenti lebih daripada masa tersebut, secara automatik stamina mereka akan jatuh merudum. Semakin banyak hari yang ditinggalkan, semakin mereka akan 'pancit' bila memulakan latihan kembali".

Hakikatnya memang itulah yang terjadi. Dan hakikat itu jika dilihat dari sudut yang lain, memang dapat dikaitkan dengan banyak perkara lain dalam kehidupan. Orang yang komited dalam solat berjemaah, apabila mula saja kehilangan beberapa waktu solat jemaah, pasti batang hidung itu semakin susah untuk dilihat berjemaah kembali. Orang yang menghafaz al-quran itu lebih lagi nyata kesannya apabila ditinggalkan rutin harian hafazannya. Semakin lama ditinggalkan, semakin banyak pula ayat-ayat suci itu akan dihanyutkan.

Semua itu sebabnya hanya satu. Apakah sebab itu?

Istiqamah.

"Nak pergi kurusun motivasi dekat mana? Tak payah. Buang masa sahaja pergi kursus-kursus motivasi ni. Sama sahaja nanti pergi ke tidak,"pesimis saya suatu ketika dahulu terhadap penganjuran-penganjuran kursus sedemikian. 

Stereotype yang terhasil daripada analisa persekitaran dan pengalaman. Saya akuinya bukan sahaja modul-modul kursus motivasi buatan manusia sahaja yang kebanyakkannya menatijahkan 'hangat-hangat tahi ayam' dalam diri manusia. Tetapi modul-modul kursus motivasi ciptaan tuhan juga tidak lari daripada menghasilkan keputusan yang sama. Seperti tahi ayam yang hangat sewaktu mula-mula 'dilepaskan', kemudian hangatnya itu hilang dan yang tinggal hanya najisnya sahaja. Mungkin itulah analogi yang mudah dapat diberikan.Bersemangat untuk berubah kepada kebaikkan di awal-awal kepulangan dari menghadiri kursus, tetapi kembali pada takuk yang lama di setelah beberapa waktu kemudian.

Saya tak pernah main-main dengan tahi ayam ok. Panas atau hangat tu tekaan sahaja. Huhu

Berapa ramai mereka yang pulang daripada menunaikan haji dapat mengekalkan status dirinya yang diibaratkan seperti bayi yang baru dilahirkan bersih dan suci kesan daripada haji yang dilakukan? Tidak ramai bukan?

Jadi isunya sama apabila kita dihidangkan dengan bulan Ramadhan ini. Bulan yang di dalamnya Allah sediakan kursus intensif untuk hamba-hambanya. Bagaimana kesannya terhadap kita, barangkali jawapannya sudah kita jangka.

Ya, bukanlah masalah kursus itu samada buatan tuhan atau manusia. Tetapi masalah itu pada diri manusia yang ada pasang surutnya. Jadi memang rumit untuk diperkata.

"Apa selepas ramadhan. Bagimana aku selepas bulan ini?".

"Mampukah aku terus menjadi 'orang ramadhan' di luar ramadhan kelak. Akan kekalkah tarbiyah ramdhan dalam diri ini?".

Persoalan demi persoalan muncul dalam benak fikiran menjadi renungan. Persoalannya cuma satu, mampukah aku mengekalkan momentum kebaikkan ramadhan ini diluar ramadhan nanti.Mampukah aku untuk kekal istiqamah? Istiqamah untuk kekal baik dan menjadi lebih baik.

Pelik tapi benar! 

Pelik melihatkan ramai yang berbondong-bondong datang ke masjid untuk mengejar SUNAT tarawih tetapi meninggalkan yang solat fardhu yang WAJIB dilakukan sepanjang tahun.

Pelik melihatkan hanya ramadhan memperlihatkan manusia bersentuhan dengan al-quran, tetapi bulan-bulan lain, al-quran dijaga rapi hanya untuk hiasan.

Pelik hanya bulan ramadhan sahaja mendatangkan orang-orang dermawan yang banyak harta setiap harinya mengeluarkan wang mengisi kocek dan membelanja anak-anak yatim berbuka puasa, tetapi pada 11 bulan yang lain, anak yatim ini ditinggalkan derita.

Itulah sebahagian kepelikkan dan keganjilan kita. Seolah-olah tuhan itu hanya ada dalam bulan ramdahan sahaja tetapi dalam bulan yang lain Dia meninggalkan kita.Menyembah Allah dalam ramadhan tetapi meninggalkan Allah pada waktu lainnya. Keganjilan yang timbul akibat daripada pembawaan diri dan watak yang berbeza dalam bulan yang kita sebut sebagai bulan biasa. Itulah rumitnya persoalan istiqamah.

Akhir kata,semoga ramadhan kali ini memberi kita nafas baru dalam menterjemahkan kesannya dalam bulan-bulan lainnya. Mungkin kita termasuk dalam golongan yang pelik itu dalam ramadhan-ramadhan yang lepas, tetapi ramadhan pada kali ini marilah kita berusaha melakukan sedaya upaya dalam menterjemahkan ramadhan sebagai titik permulaan untuk mengubah segala kepelikkan yang berlaku dalam lingkungan upaya kita supaya ayat 'pelik tapi benar' dapat kita tukarkan ia kepada 'pelik tapi tidak benar'.

Semoga ramadhan kali ini memberi sinarnya bukan sahaja di bulan ini tetapi impak cahayanya terkesan dalam menerangi bulan-bulan yang lain. InsyaAllah. 

Tuesday, May 17, 2011

Bukan Milik Kita Sepenuhnya

Di saat tubuh badan tidak lagi memiliki kecergasan dan kesempurnaan kesihatan, di saat itulah fikiran melayang-layang merenung nikmat yang sering diabaikan iaitu semasa sihatnya. Pelbagai angan-angan dan cita-cita yang baik selalu ditangguh-tangguh sehingga lama-kelamaan hasrat yang baik tadi dibiarkan berlalu begitu saja umpama, "Desiran lembut ombak yang menyapu tepian pantai, berdikit-dikit pasir ditarik ke dasar sehingga tiada lagi pasir yang ketinggalan melainkan semuanya dihanyutkan".

Begitulah hakikatnya hidup insan. Suka bertangguh melakukan sesuatu kebaikkan sehingga akhirnya tiada lagi kebaikkan yang tinggal untuk dilaksanakan.

Dahulu, sewaktu di universiti pada musim peperiksaan. Saya mempunyai suatu sikap yang kurang tepat. Sikap yang sering bertangguh melakukan ulangkaji pelajaran disebabkan jadual peperiksaan yang mempunyai senggang waktu yang agak panjang menatijahkan sesuatu yang di luar jangkaan.

Akhirnya, saya selalu dihinggap penyakit demam sewaktu hampir-hampir kepada hari peperiksaan. Sungguh menakutkan. Mungkin itu perkataan yang boleh menyimpulkan keadaan saya sewaktu itu.

"Abah, Hadi demam, exam dah nak dekat. Kalau tak dapat buat macam mana?", soal saya kepada abah bagaikan abah pula yang hendak menduduki kertas peperiksaan. Huhuhu

Kenapa saya begitu risau? Jawapannya hanya satu. Biasiswa yang saya pegang harus saya terpenuhi syaratnya. Apa syaratnya? Malas nak cerita dah.=P

"Tak apa lah, study perlahan-lahan. Minum air kosong banyak-banyak", abah yang sentiasa tenang untuk menenangkan.

Begitulah kenangan hidup silam. Sungguh mendebarkan tetapi membahagiakan.

Justeru itu, apabila hati dibisikkan untuk melakukan kebaikkan, maka lakukanlah ia dengan segera supaya ia tidak tinggal menjadi kenangan yang tidak dilaksanakan.

"Encik tahu apa salah encik?", soal seorang pegawai trafik sebaik saja menahan kereta saya di bahu jalan.

"Errr... Tak pakai tali pinggang keselamatan", balas saya dengan suara yang agak perlahan.

"Macam mana ni? Nak saya saman ke tidak?" soalan pilihan yang saya tidak punyai hak untuk memilih.

"Maaf la encik", ringkas jawapan yang diberikan kerana tidak tahu apa lagi perkataan yang harus dikeluarkan.

"Tak apa lah, kali ini saya maafkan. Tapi lain kali, saya saman", pilihan telah dimuktamadkan.

Alhamdulillah. Bagus juga kalau ramai pegawai polis macam ini. Kalau nak saman, bagi pilihan dulu kat pesalah untuk membuat keputusan perlu disaman atau tidak. Inilah yang dikatakan hak pengguna diutamakan. (^_^)

"Bila kali terakhir aku derma duit?", sentak hati untuk kembali muhasabah diri tatkala duit hampir saja diterbangkan.

Bukanlah maksud cerita saya untuk menggambarkan bahawa saya adalah seorang yang pemurah dan sering mendermakan harta, tetepi sekadar mahu berkongsi cerita dan rasa. Barangkali mungkin saya lah insan yang paling kedekut di antara semua.

Teringat kembali perbualan bersama kawan tatkala membincangkan sifat kedekut yang ada dalam diri insan. Perbincangan yang sememangnya melekatkan sesuatu dalam kotak fikiran. Ia memang mengingatkan diri untuk sentiasa beringat tentang harta yang dimiliki, elaun atau gaji yang diterima bukanlah hak milik mutlak kita sepenuhnya. Ia harus disisihkan sebahagiannya daripada kita. Terpulanglah kepada kita bagaimana cara kita memilih jalan untuk membelanjakannya.

"Hadi, aku rasa ada satu masa duit aku keluar macam air. Motor rosak, tayar pancit, pak guard saman dan macam-macam lah. Laju gila duit keluar", cetus rakan membuka perbincangan.

"Kau dah lama tak belanja aku kot", seloroh untuk menyantaikan perbualan.

"Entahlah, kadang-kadang aku check (muhasabah) balik, waktu yang banyak duit keluar tu la waktu yang aku rasa aku paling selalu berat nak infaq duit", getus perasaan meluahkan rasa.

"Aha, kadang-kadang aku pun dapat rasa juga macam tu", balas untuk mengiyakan pernyataan.

"Aku rasa semakin kita berat nak keluar (infaq) duit, semakin banyak pula duit yang ditarik keluar. Cuma bezanya, duit tu keluar kerana terpaksa", perbincangan yang akhirnya sampai kepada satu kesimpulan.

Ya, ia sampai kepada satu kesimpulan. Kesimpulan yang mengetuk fikiran bagi insan yang mahu memikirkan. Ia mungkin bersifat abstrak menyebabkan anda tidak merasakan perkara yang sama, tetapi sehingga kini saya masih menganggap ia satu hukum alam yang ditetapkan ke atas diri insan.

Hukum yang terhasil dari hati yang merenung kembali detik pengalaman silam.


Jika insan enggan mengeluarkan sebahagian harta yang dianugerahkan kepadanya untuk manfaat bersama, maka tunggu dan lihat, pasti harta itu ditarik secara paksa tanpa dapat ditahan oleh pemiliknya. Maka terpulanglah kepada kita untuk memilih samada menyerahkannya secara berpahala ataupun melihatnya mengalir tanpa mendapatkan apa-apa.

Sememangnya harta itu hakikatnya menjadi indah pada pandangan dan sukar untuk dilepaskan. Sifat zahir harta itu sendiri yang semakin dikeluarkan semakin menyusut sedikit bilangannya menyebabkan insan sukar melepaskan. Semakin banyak yang diperolehi, semakin banyak lagi pula yang dicita-cita tetapi dalam masa yang sama semakin sedikit pula yang dikongsi untuk manfaat bersama insan yang lain.

Tidak salah untuk mengumpul harta. Tapi jangan kedekut harta.

Teringat kepada nasihat seorang ustaz dalam kuliahnya yang lebih kurang berbunyi, "Ketika terdetik hati kita untuk bersedekah, maka jangan ditangguh-tangguh. Berinfaqlah di saat itu juga walaupun hanya sedikit yang kita keluarkan kerana mungkin waktu itulah waktu yang paling kita ikhlas (tidak dipengaruhi oleh apa-apa)".

Kadangkala tatkala hati berkata supaya mengeluarkan harta buat bekalan di sana, maka syaitan pun datang membisikkan perangkapnya,

"Tak payah lah nak derma-derma. Simpan je duit tu dalam bank. Cepat sikit banyak nanti".

"Ala, baik kau beli barang yang kau nak tu daripada kau derma ni, lambat lagi la kau dapat beli benda tu".

"Kau pun bukannya banyak duit sangat pun. Nak derma-derma buat apa. Baik kau simpan boleh guna buat makan mewah-mewah sikit hari-hari. Lagipun, banyak lagi orang yang banyak duit kat luar sana, orang macam tu la lebih patut dermakan duit daripada kau".

Mungkin begitulah gaya pujuk syaitan dalam mencipta alasan untuk menakut-nakutkan hati insan.

Akhir sekali, saya tahu rata-rata dari pengunjung teratak ini terdiri daripada golongan yang terdidik mindanya, ataupun dengan kata lain orang-orang yang berjaya menempatkan kaki ke institusi pengajian tinggi samada masih lagi belajar mahupun telah bekerja. Mungkin dengan kelebihan menggenggam segulung ijazah itu, anda menerima gaji setiap bulan yang dikreditkan ke dalam akaun bank anda, mungkin berangka 3 ribu, 4 ribu, 5 ribu dan sebagainya.

Oleh itu, alangkah beruntungnya kita andai kita dapat memastikan sebahagian duit yang masuk ke dalam akaun kita tersebut benar-benar menjadi 'simpanan bank' sebenar kita di akhirat sana dengan memperuntukkan sedikit daripada wang yang diterima untuk kegunaan selain untuk kepentingan diri kita. Lakukanlah pembahagian mengikut kemampuan dan keikhlasan. Itulah yang lebih utama.

Bagaimana untuk menyalurkannya juga mempunyai pelbagai jalan dan cara, samada disalurkan ke rumah-rumah Allah, infaq ke arah menyumbang tabungan amal jariah yang berpanjangan pahalanya, memberikan hadiah kepada ahli keluarga mahupun rakan taulan, dan akhir sekali kalau dah tak tahu sangat nak salur ke mana, mungkin boleh belanja saya. Saya pasti itu juga masih lagi dalam kategori berpahala. lalala =P

Semoga apabila bertemu di hadapan Allah kelak, maka ada juga perkara yang boleh kita banggakan untuk berbicara dengan-Nya.

Pastinya Allah akan bertanya, "Ya fulan, apakah yang telah engkau perbuat dengan harta yang telah Aku berikan kepada engkau sewaktu di dunia dahulu?".

"Wahai Tuhan, sewaktu di dunia dahulu gaji aku 5 ribu ringgit sebulan, setiap kali masuk gaji, 5 ringgit akan aku asingkan untuk tujuan infaq di jalan-Mu", jawab si fulan kepada Tuhannya.

Mungkin jawapan di atas akan ditertawakan jika diucapkan dihadapan teman dan taulan. Tetapi percayalah, jika dengan infaq yang dilakukan itu dibuat secara istiqamah dari hati yang ikhlas walau dengan nilai sekecil itu, pasti ia akan datang sebagai berita yang sangat menggembirakan di hari kemudian.

p/s: Kalau 5 ringgit daripada 5 ribu ringgit, nampak macam kedekut sangat pula. Tambahlah sikit lagi ya. Yang tu sebagai contoh saja. Apapun nilainya, istiqamahlah dan ikhlaslah. Itu yang lebih utama.

Thursday, May 5, 2011

Menulis Buku: Mampukah Aku?

Bismillahirrahmanirrahim...

Saat artikel ini ditulis, jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi dan saya baru menamatkan inspection di kawasan kilang. Itulah kerja seorang kuli, terbelenggu dengan arahan untuk mencari sesuap nasi. Dek kerana itu, saya menyimpan cita-cita untuk membuka perniagaan apabila mempunyai sumber dan pengalaman di hari kelak kemudian. Perniagaan apa? Biarkan ia terus menjadi rahsia diantara kita. Jadi join partner saya dulu, baru saya beritahu bisnes apa yang saya bercita-cita untuk jalankan...=)

"Hadi, aku tengok tulisan kau ada gaya macam tulisan Ustaz Hasrizal la. Aku rasa kau boleh tulis buku la",kata seorang rakan kepada saya.

"Isy, mana ada, jauh kot tulisan aku terbelakang berbanding dia. Kau ni nak bandingkan aku dengan dia, ketinggalan jauh tu",kata-kata Encik Hadi merendah dirinya. Huhu.

Segan rasanya dibuat perbandingan begitu. Bagaikan langit dengan pokok. Jauh sekali jaraknya.

 Ada ke perbandingan bagaikan langit dengan pokok. Tapi apa salahnya, asyik nak ikut orang saja, bila nak maju.

Terdetik di fikiran saya tatkala permintaan tersebut datang secara tiba-tiba. Teringat kembali sewaktu dahulu, membina blog ini bukanlah dibuat untuk menjadikannya sebagai hobi pada waktu lapang, tetapi pada waktu itu ia lebih sekadar try saja-saja untuk mengembangkan  kemahiran dalam ber'IT' akibat penangan tiada kerja sangat sewaktu menjalani latihan praktikal semasa cuti akhir tahun 3. Daripada duduk saja, lebih baik saya mengusahakan sesuatu yang boleh saya lihat hasilnya.

Pada mulanya blog ini dibina hanya menjadi pengisi masa lapang, kemudian mencoretkan sesuatu di dalamnya sebagai sesuatu yang suka-suka, dan akhirnya ia bertukar menjadi azam dan komitmen pada diri untuk mencoretkan sesuatu yang bermanfaat bagi tujuan sebagai pemberat timbangan di hari kelak.

Sungguh, saya tidak menganggap menulis di teratak ini sebagai sesuatu yang suka-suka. Tetapi jauh di sudut hati saya, saya menginginkan ia menjadi suatu saham yang berkekalan aliran pahalanya. Tidak lain, tidak bukan kerana saya merasakan saya adalah hamba yang kurang berpahala. Sejak itulah, saya berazam terhadap pengisian tulisan saya supaya terdapat pengisian yang mungkin baik untuk diambil oleh pembaca blog supaya kunjungan yang dibuat tidak menjadi sia-sia supaya kedua-dua anda dan saya memperolehi manfaatnya.

"Encik hadi, saya tak tahu kenapa saya suka post ni... tulisan yg berkesan sgt.. encik hadi boleh buat buku @(^;^)@.. kalau sayelah penerbit buku, sy akn lamar encik hadi jadi penulis buku... bestseller ni..$$... encik hadi, teruskan menulis, demi Islam"- komen pengunjung teratak BERHIJRAH SEKALIPUN SUKAR

Tetapi untuk menulis sebuah entry bukanlah sesuatu yang mudah untuk orang yang seperti saya. Mungkin orang lain dapat menyelesaikan satu atau dua entry hanya dalam setengah jam. Sebaliknya saya memerlukan dua atau tiga jam sekurang-kurangnya untuk mengarang sebuat cerita  di atas paparan maya. Itu pun kadangkala bertangguh-tangguh kerana idea terhenti daripada tercurah ke pena kekeunci. 

Terkadang memang saya memikirkan saranan rakan-rakan untuk cuba menulis buku, tetapi setelah dilihat kepada kebolehan dan kemampuan diri, ditambah penilaian terhadap gaya bahasa dan olahan dalam 'karya-karya' saya yang lama, saya menyimpulkan masa itu belum tiba. Saya belum layak dan mahu untuk menulis sebuah naskah yang dipanggil buku.

Apapun, walaupun tidak menulis buku. Menulis tetap menulis. Menulis sebagai bekalan yang lebih menguntungkan dan lebih berpanjangan. Walaupun bukan di atas lembaran kertas, sebaliknya hanya dalam paparan kaca yang bewarna. Perkongsian tetap harus dilaksanakan. Tiadalah kemanisan hidup ini apabila hidup ini tidak dikongsi. Kemanisan itu lebih terasa apabila perkongsian yang kita lakukan mendatangkan kesan kepada hidup insan. Kerana erti hidup pada memberi.

Akhir kalam, saya tertarik untuk berkongsi dengan anda sebuah kata-kata yang melekat pada hati ini, semoga bersama kita menghayati makna kalimah yang tersimpul di dalam coretan kata tersebut. 
Dakwah itu sentiasa harus berjalan, andai kemampuanmu hanya pada penulisan jangan berhenti menulis, sehingga saat rohmu bercerai dari jasad, menulislah dengan hatimu. Kalau harimau mati meninggalkan belang biar manusia mati meninggalkan peringatan. Dan andai peringatan itu melalui tulisan, tulislah apa yang kau rasa. Semoga manusia sentiasa saling ingat mengingati dengannya.

Tuesday, April 5, 2011

Bahagiakah Diri Kita?

Masih saya ingat lagi pada waktu itu walaupun mungkin telah berbelas tahun ianya berlalu, ketika itu malam sedang melabuhkan tirainya. Emak bertanya kepada saya,

"Nanti emak mati, Hadi nak duduk dengan siapa?".

Saya yang masih lagi keanak-anakkan yang tidak lagi mengenal erti sebenar realiti kehidupan membalas pertanyaan emak,

"Hadi nak ikut emak masuk dalam kubur. Hadi nak duduk sebelah emak".
  
Jawapan itu bukan dibuat-buat. Bukan juga hasil dari pemikiran. Tetapi ia adalah jawapan dari hati yang tulus seorang anak kecil kepada ibunya. Bahkan dalam pemikiran anak kecil seperti saya pada waktu itu memang berfikir bahawa hidup bersama orang yang telah mati itu tidak mendatangkan masalah. Dalam kata yang lain, ia praktikal dan boleh dilaksanakan!

Emak lantas memeluk saya. Saya terasa sungguh bahagia apabila terkadang mengenangkan semula zaman kegemilangan menjadi anak kecil yang berstatus bongsu walaupun suatu ketika mengundang kelucuan mengenangkan kadangkala saya menolak badan emak kembali dengan memberi alasan,

"Emak, Hadi panaslah. Rimas". 

Ya. Ia mengundang satu kebahagian. Kebahagian masa silam.

Pernah suatu ketika yang lain, emak pulang dari kerja dengan membawa bungkusan yang berisi kelengkapan perkakasan alat tulis dan pencil box. Ketika itu saya masih lagi tidur mengakibatkan saya gagal menjadi orang pertama yang 'menyambut' bungkusan tersebut menyebabkan abang saya dapat memilikinya terlebih dahulu.

Seperti biasa, apabila saja terbangun dari tidur melihatkan abang mendapat sesuatu yang tidak saya perolehi, maka alunan tangisan pasti berkumandang dengan syahdunya.

"Nazreen, bagi dekat Hadi alat tulis tu. Lain kali emak beli lagi untuk kamu", pucuk dicita ulam mendatang. Emak memujuk dalam memberi arahan.

Akhirnya, perkakasan alat tulis itu jatuh ke tangan 'raja'. Itulah kelebihan menjadi anak bongsu. Sentiasa menjadi pemenang dan dimenangi. Sungguh bahagia.

Ya. Ia mengundang satu kehagian. Kebahagian masa silam.

Bahagia
Suatu perkataan yang mempunyai takrifan yang pelbagai.

"Dah besar nanti aku nak jadi kaya lah. Ada banyak duit, boleh beli banyak benda. Mesti bahagia hidup".

"Besarnya rumah dia. Cantik. Mesti best hidup kalau dapat tinggal dalam rumah macam tu. Bahagia saja rasanya".

"Cantiknya perempuan tu. Kalau dapat isteri cantik macam tu mesti bahagia kan".

Satu persatu takrifan tentang kebahagian diberikan. Takrifan yang adakalanya benar dan adakalanya menyimpang. Semuanya terpulang kepada diri bagaimana kita mentakrifkan kebahagian sesuai kehendak diri sendiri.

Tapi terkadang, ramai di antara kita selalunya menganggap sesuatu perkara itu adalah suatu kebahagian, tetapi pada realitinya ia bukan. Bahkan jika diperhatikan dari hakikat sebenar ia mungkin suatu penderitaan. Mungkin pada pandangan zahir kita melihat seseorang itu hidupnya diselaputi kebahagian tetapi pada sudut pandangan batinnya, mereka terseksa dan menderita!

Anda pernah menjumpai watak yang sedemikian?

Saya pernah. Saya menjangkakan anda juga pasti pernah.

Kita selalu duduk termenung mengenangkan nasib diri, kita merasakan hidup ini tidak bahagia dan bermakna lantas menyebabkan kita merenung jauh kepada mereka yang hidupnya penuh dengan keseronokan dan kegembiraan. Namun hakikatnya kita masih belum lagi mengenal erti sebenar kebahagian sebenar-benarnya.
"Ramai orang tersalah sangka maksud kebahagian dan ketenangan dalam hidup mereka. Selalunya kita mengaitkan kebahagian itu dengan faktor banyaknya harta dan kekayaan. Meskipun itu mungkin boleh menjadi faktor penyumbangnya, tetapi itu bukanlah segala-galanya. Betapa ramai orang yang berada di dalam rumah yang besar, tidur di atas katil yang empuk, tetapi tidak lebih lena tidur dan nyenyaknya. Bahkan mungkin ada orang yang tidur di pondok yang buruk, kadang-kadang tidurnya lebih lena dan indah berbanding kita".
"Ada orang yang dihadapannya dihidangkan dengan makanan yang hebat dan sedap-sedap. Lauk-pauk yang bagus, tetapi lidahnya tidak dapat rasai enaknya makanan tersebut. Bahkan mungkin orang yang kadang-kadang makan hanya satu dua lauk, tetapi dia lebih rasa sedap dan nikmat makanannya".
Begitulah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat-Nya. Semua orang sangka kalau orang itu ada rumah yang besar atau makan yang sedap-sedap, tentu hidupnya tenang dan bahagia. Ketahuilah, ia belum tentu!

Ketenangan yang hakiki itu datangnya dari hati. Ia datang dari kehadiran kesyukuran terhadap pemberian-Nya. Itulah makna yang sebenar kekayaan dalam hidup ini.

Begitulah Allah mewujudkan keajaiban dalam kehidupan.

Masih teringat lagi ketika saya berada di tahun akhir pengajian di UTM. Waktu itu saya sedang menyiapkan final year project dan thesis yang hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk diselesaikan. Pelbagai masalah yang timbul ditambah pula dengan penyertaan diri dalam lawatan akademik ke Arau Saudi yang mengundang bebanan tambahan kepada diri.

"Kenapa result simulasi ni macam tahi?! Macam sampah!", geram melanda diri tatkala melihatkan hasil keputusan terhadap simulasi yang dibuat berulang kali memberikan bacaan yang entah apa-apa.

Sampai suatu ketika saya berasa sungguh takut dan berputus asa mengenangkan nasib diri menyebabkan saya mengalirkan air mata sambil berbaring di atas katil (perlu sebut ke?). Huhu. Lalu terbit lintasan doa yang betul-betul dari hati yang penuh pengharapan,

"Ya Allah. Tolonglah aku ya Allah. Siapkanlah projek aku. Aku tak nak extend ya Allah. Aku ada scholarship. Kalau aku extend ya Allah, nanti aku kena bayar balik duit scholarship, mana aku nak dapat duit tu Ya Allah. Bantulah aku ya Allah".

Pada saat itu, perkara itu mungkin adalah perkara yang paling menakutkan. Tetapi apabila dikenangkan kembali, ternyata perkara tersebut mengukirkan senyuman yang turut dihadiri dengan rasa bahagia. Ternyata kesusahan pada waktu itu adalah kebahagian pada waktu sekarang. (Ada kaitan ke dengan tajuk artikel ni). Huhu

Oleh itu, punca utama untuk kebahagian adalah hati. Hati yang bersyukur. Sebab itu ada orang mengatakan syukur itu terkadang lebih tinggi maqamnya daripada sabar. Kerana ramai orang apabila mereka ditimpa kesusahan mereka 'terpaksa' bersabar kerana mereka tidak mempunyai pilihan tetapi belum tentu orang yang dianugerahi nikmat itu dapat bersyukur kerana ia adalah suatu pemberian, bukan kehilangan. Kerana itulah untuk mendidik hati bersyukur lebih sukar daripada mendidiknya untuk bersabar.

Bersyukurlah wahai diri...Kerana itu mendatangkan kebahagian diri...

Bukan salah untuk kita mengharapkan perkara yang belum ada, tetapi janganlah dilupakan apa yang telah kita ada.

Hidup ini walaupun sederhana terasa lebih bermakna dan indah jika hati sentiasa dihadiri dengan rasa bahagia berbanding dengan mereka yang berharta tetapi hati selalu dirudung resah. Kerana itu, berbahagialah dengan apa yang kita ada kerana adakalanya ia menjadikan kita lebih beruntung daripada mereka.

Related Posts with Thumbnails