Friday, September 24, 2010

Kenapa Ia Dikritrik Begitu Skali


Sedikit sedih rasanya apabila melihat komen-komen yang saya lihat tanpa perhalusan yang lebih tentang Sekolah Harapan di Melaka yang rata-ratanya di buat oleh kebanyakkan sahabat saya yang berjiwa da'ie. Apakah motif disebalik kritikan tersebut berunsurkan dengan fikrah politik masing-masing? Apa sahaja yang dibawa oleh golongan parti yang ditentang, maka segala perkara yang dilaksanakan juga harus ditentang. Adakah ini yang ingin cuba ditonjolkan? Jika inilah pemikiran yang cuba dibawakan, maka tiada kata-kata lain yang saya dapat berikan untuk mereka yang tertutup dengan ideologi yang tidak berapa matang ini. Apakah jika kita penyokong PAS, kita harus menentang semua perkara baik yang dianjurkan oleh UMNO? Apakah jika kita  penyokong kuat Barisan Nasional, segala yang buruk itu hanya ada pada Pakatan Rakyat? Sama-samalah kita fikirkan.

"Penubuhan Sekolah Harapan akan menyebabkan gejala zina akan meningkat kerana mereka tahu mereka mempunyai tempat untuk dituju......" lebih kurang begitulah komen dari seorang sahabat dalam facebook.

Saya menggeleng-geleng kepala apabila membaca beberapa komen yang agak kurang matang seperti ini. Komen yang diberikan secara tanpa melihat dimensi yang lebih luas. Narrow minded. Itulah agaknya istilah yang sesuai. Persolan yang berlegar di dalam kepala tatkala membaca komen tersebut,"hai, kalau sekolah harapan ini tiada, gejala zina menurun ke? Tiba-tiba pula boleh buat conclussion macam itu". Pening kepala sebentar membaca komen-komen sebegitu. Maksudnya begini, jika sekolah harapan banyak ditubuhkan, maka makin banyaklah zina berlaku. Jika sekolah harapan itu ditutup, maka gejala zina dapat dikurangkan. Begitulah agaknya maksud komen tersebut.

Jadi apa yang saya cuba lontarkan mungkin bernada berlawan arah dan mungkin berlaku pertembungan dua angin dari arah yang bertentangan. Tetapi ia tetap juga sebuah pandangan ~ bersiap sedia untuk ditempelak dan dkritik. Huhuhu

Jadi point utamanya apakah penubuhan sekolah harapan inilah yang menyebabkan gejala zina dan pembuangan bayi meningkat? Jika ia menyebabkan peningkatan, maka penubuhan sekolah tersebut harus ditentang. Tetapi bagaimanakah pula sekolah-sekolah yang lain yang berwajah sama tetapi berlainan nama seperti Raudhatus Sakinah yang ditubuhkan oleh Jemaah Islamiah Malaysia (JIM), Sri Puteri dan seumpama dengannya? Bukankah penempatan-penempatan ini memainkan peranan yang serupa? Jadi di mana sebenarnya 'duri' yang patut dicungkil? Penubuhan sekolah harapan tersebut atau 'perangsang-perangsang' yang ada disekililing kita yang membawa kepada zina?

Jika kita tidak mampu untuk menyediakan wasilah bagi mereka yang mengharapkan hidayah setelah tergelincir dalam gelanggang maksiat, usahlah kita menjadi batu penghalang untuk membantutkan usaha-usaha tersebut. Kasihankanlah mereka, mereka memerlukan sokongan moral dan bantuan untuk bangun semula. Dimanakah tempat lagi mereka boleh pergi selepas 'kita' sendiri menolak mereka di atas keterlanjuran yang mereka lakukan. Dimanakah tempat yang masih sudi menerima mereka bagi menyediakan juadah kerohanian untuk mensucikan kembali noda-noda yang pernah terlekat. Usahlah kita hanya hebat mulut mengkritik sana sini, tetapi tidak mampu menyediakan saluran yang lebih baik. Jika benar engkau seorang pendakwah, maka gunakanlah ia dalam medan ini. Mereka dahagakan ilmu, menambakan sokongan moral dan sentuhan rohani. Maka jangan menutup 'pintu' mereka ini untuk berusaha memperbaiki diri.

Persoalan yang utama sekarang adalah untuk mengawal perkara di dalam lingkungan pengaruh kita. Perkara-perkara yang boleh membawa kepada perlakuan zina itulah sepatutnya harus lebih diteliti. Tutuplah pintu-pintu zina, tetapi jangan ditutup 'pintu' mereka menagih tempat untuk berubah. Tutuplah pesta-pesta hiburan yang berada dekat disekeliling kita. Halangilah anak-anak kita mengunjungi tempat tersebut. Tutuplah screen tv di rumah kita yang menonjolkan artis-artis yang menayangkan tubuh badan mereka. Kebanyakkan pintu-pintu zina sebenarnya dapat ditemui disekeliling kita bahkan mungkin terdapat di dalam rumah kita sendiri! Persoalannya, samada kita menyedarinya atau tidak. Bukanlah semua yang dicanangkan oleh kerajaan harus dikritik dan ditentang. Kalau ia baik, apalah salahnya kita sendiri yang menghulurkan sokongan dan bantuan kerana mereka juga adalah saudara seaqidah kita.

Sunday, September 19, 2010

Menangis Dalam Diam

Bismillahirrahmanirrahim....

Sudah hampir 3 minggu aku memulakan kerja setelah 'berehat' hampir 4 bulan di rumah tanpa berbuat apa-apa. Saat duduk di rumah tanpa ada kerja untuk dilakukan, maka jiwa dalaman ini memberontak,"Aku hendak kerja! Kenapa mereka lamabat sangat panggil kerja ni! Nanti aku kerja dengan company lain marah pula". Jeritan hati yang agak panas bila aku masih tidak lagi mendapat panggila untuk bekerja setelah menamatkan pengajian selama 4 tahun itu. Manakan tidak, dalam tempoh tersebut aku mendapat beberapa panggilan telefon daripada beberapa company untuk menjalani interview bagi kemasukkan pekerja baru, dan setiap kali panggilan itu aku terima, setiap kali itu jugalah hati kecil aku merenget,"apasal lah UEM ni lambat sangat panggil kerja". Itulah fikiran yang datang setiap kali panggilan interview diterima aku.

Setelah lebih kurang 4 bulan duduk berehat, barulah aku dipanggil untuk melapor diri pada 1 September 2010 di ibu pejabat UEM Group berdekatan KL Central. Saat yang ditunggu dari dulu telah tiba jua. Tetapi apabila memulakan pekerjaan, aku dapat mengesan sesuatu kelebihan yang seolah-olah telah ditarik daripada aku. Sehingga saat ini aku masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang kurang menyelesakan jiwa dan iman. Kelebihan keluasan waktu semasa bergelar pelajar cukup terasa. Aku dapat merasakan perubahan tersebut di hari pertama lagi memulakan pekerjaan. Hati aku meronta-ronta kerana waktu tersebut ditarik dan dicantas tanpa kerelaan diri. Aku hendak balik waktu itu!

Sewaktu bergelar mahasiswa di UTM, walaupun dipenuhi dengan subjek yang memeningkan kepala dan assignment yang bertimbun tetapi aku tetap juga mempunyai masa untuk diri sendiri. Aku tetap mempunyai masa untuk membaca (bukan berkenaan akademik), masih boleh menambah hafazan, mempunyai banyak masa untuk menambah amalan khusus yang sunat. Tetapi sekarang seolah-olah semua itu telah pergi dan waktu ia akan pulang tidak tahu bila. Aku rindu itu semua. Rindu, rindu, rindu..Rindu dengan suasana tarbiyah di medan ilmu.

Satu perkara lagi yang menyeksakan batin cadalah citarasa 'up-to-date' fesyen masyarakat KL ini . Hampir tiada lagi kelihatan wanita-wanita berjubah dan bertudung labuh yang mudah aku temui sewaktu bergelar pelajar. Fitrah hati manusia yang suka melihat sesuatu yang menepati syariat. Tetapi yang ada sekarang, wanita yang berpakaian yang tidak cukup kain di bahagian dada, skirt paras lutut untuk menampakkan peha yang melepak dan pelbagai fesyen yang menyeksakan mata. Bagaimankah aku hendak menambahkan hafazan, usahkan menambah, mengekalkannya sahaja sudah menjadi semakin susah. Ya Allah, beratnya ujian ini. Aduhai Tuhan, mengapakah aku diletakkan di tempat begini? Adakah ini antara ujian untukku lantas Engkau mengetahui niatku untuk menamatkan zaman 'keseoranganku' secepat mungkin. Jika itulah sebabnya, aku terima dan mengharapkan bantuan-Mu, ya Allah.

Semoga hari-hari yang mendatang menjanjikan perubahan yang lebih baik untuk diriku. Tekad diriku untuk menjadi hafiz akan cuba untuk aku capai. Mungkin waktunya aku sendiri tidak dapat jangkakan lantaran cengkeman waktu akibat telah memasuki alam pekerjaan yang sangat menghimpit. Mungkin setahun, dua tahun, atau 20 tahun akan datang? Apa yang penting sekarang, azamku untuk menyematkan kalimah mulia Al-Quran 30 juzuk di dalam hati akan aku usahakan bersungguh-sungguh. Lillahi Ta'ala...


Saturday, August 28, 2010

Laksanakanlah Dengan Ilmu


Buat peringatan bersama ke arah membina baitul muslim yang barakah. Bukankah keberkatan itu terletak pada rendahnya mahar dan mudahnya perkahwinan yang sekarang ini berubah menjadi trend meminta hantaran yang tinggi-tinggi hingga menyesakkan dada? Lalu dek sebab ketidakmampuan untuk memenuhi hantaran kahwin yang tinggi melangit itu, maka remaja terpaksa menangguhkan perkahwinan sedangkan tuntutan syahwat di dada semakin melangit tinggi disebabkan persekitaran yang begitu 'memberangsangkan' dunia kini.

Oleh itu, marilah kita bermuhasabah jika kita mungkin tidak mampu berbuat apa-apa di atas gerbang perkahwinan yang bakal kita bina yang mungkin banyak dipengaruhi desakan ibu bapa, janganlah ia berterusan ke atas zuriat-zuriat kita. Umat Islam adalah umat yang mencintai Sunnah Nabi, justeru sunnah nabi kita adalah yang memudahkan setiap perkara dan bukanlah untuk menyukarkan umatnya. Buktikan cintamu kepada nabimu dengan mengikuti sunnahnya daripada benda yang sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besar perkara. Wallahua'lam...


Bismillahirrahmanirrahim.

Salam 17 Ramadhan. Semester kedua Ramadhan sudah berada di penghujung sebelum memasuki semester ketiga di dalam Sekolah Islam Ramadhan (a.k.a Universiti Tarbiyyah Ramadhan) dan menyambut kedatangan Syawal. Alhamdulillah, di saat semua orang sibuk bertanya tentang persiapan raya, ana bertanya pada zauj.

"Boleh tak raya nanti nak pakai baju kahwin haritu?"

Lalala... Untung kerana semua persalinan majlis akad nikah dan walimah tempah sendiri, sayang sangat rasanya kalau hanya pakai sekali dengan harga pakaian yang mahal (tetap juga nak kata mahal, kos sehelai baju -+ RM250) kemudian simpan sahaja. Sementara badan masih maintain cute, alangkah bagusnya kalau dimanfaatkan sebaiknya. Rasanya dah naik 2-3 kg ni, hoho! :)

Lagipun baru 3 bulan berkahwin, boleh lagi nak berlagak pakai baju pengantin. Tapi tak ada la nak pakai crown atau veil, hilang akal apa nak pakai macam tu nanti semua orang pelik. Bercakap tentang baju pengantin, terbitnya fajar Syawal nanti insya Allah ramai yang akan bernikah! Barakallahu lakuma wa baraka 'alaykuma wajamaa bainakuma fi khayr. Beberapa teman sudah pun mengirimkan kad jemputan, mabruk.

Ada yang sudah bernikah sebelum Ramadhan, maka Syawal nanti adalah majlis walimah. Ada pula yang akan menikah di bulan Syawal, mengikut sunnah Rasulullah menikahi Aisyah r.a. di bulan Syawal. Di antara perkara yang perlu disegerakan adalah apabila sudah bertunang, tidak perlu dipanjang-panjangan tempoh dan biarlah terus berkahwin.

Bila bicara soal majlis perkahwinan terutamanya di pihak perempuan ~ it's so complicated. Kata orang, kalau walimah di pihak perempuan mestilah dalam keadaan yang meriah (grand?) dan serba serbi 'dilihat' orang, tidaklah nampak ala kadar saja. Lebih-lebih lagi kalau anak perempuan sulung atau anak perempuan bongsu, maka majlisnya mestilah secara besar-besaran dengan kos yang besar juga!

Hantaran tak nak rendah takut orang cakap tak laku. Ada ijazah, kalau hantaran sekadar RM 2,000-3,000 tak setaraf dengan tahap pendidikan. Kalau orang kerja kilang pun hantarannya Rm 5,000 tak akan yang berijazah hantaran cuma RM 2-3 ribu saja. Iya tak? Inilah mentaliti dan realiti kini. Namun, di sebalik semua hamparan dunia ini masih ada berlian yang menyinar dan ianya tersimpan didasar, dimiliki oleh insan yang bukan calang-calang orang.

"Ustaz R dah akad nikah haritu dengan ayah mertua dia, ni nikah depan kadi pula."

"Oh, kenapa dia akad nikah 2x?"

"Kalau segi syara' dah sah tapi undang-undang di Malaysia kena nikah sekali lagi."

"Kenapa dia nikah awal ye?"

"Mudah nak bermuamalat dengan zaujah. Mas kahwin RM300 je."

Ana angguk dengan kata-kata suami, mas kahwin RM300 mungkin dirasakan TINGGI tetapi setahu ana pasangan ini tidak meletakkan hantaran perkahwinan. Maka, mahar hanyalah RM 300. Mungkin pasangan lain maharnya sekadar RM 80-100 tetapi wang hantarannya ya Rabbi...! Berpeluh lelaki mendengarnya.

"Zaujah dia belajar lagi ker?"

"Ye, buat medic di Republik Czech."

"Wow, future doctor. Mas kahwin RM 300 jer, bagusnya!"

Di saat wanita-wanita lain yang bakal berkahwin sedang merasa kecil hati melihat hantaran yang tidak seberapa ditambah pula dengan barang hantaran yang kurang bernilai, pakaian pengantin yang tidak vouge dan pendek kata impian perkahwinan ala puteri raja akhirnya menjadi ala kadar meskipun sudah beribu yang dilaburkan.

Seringkali ibubapa meletakkan kadar wang hantaran mengikut panduan taraf pendidikan anak perempuan, semakin tinggi tahap pendidikan si anak maka semakin tinggi juga hantaran yang diletakkan.

"Eh, susah aku membela anak aku sampai masuk universiti ko ingat aku nak bagi free?"

Astaghfirullah hal azhim, bukankah ianya adalah tanggungjawab ibubapa untuk memberi pendidikan kepada anak-anak. Apakah semua yang dilakukan terhadap anak-anak adalah menuntut balasan setimpal, maka semuanya mengharap dari manusia. Di mana letaknya Allah di dalam hati kita, apakah didikan yang diberikan kepada anak-anak sebelum ini adalah kerana masa depan ana bagi mendapat suami yang setaraf tahap pendidikan, dan mendapat 'habuan' pengorbanan membesarkan anak-anak dengan meletakkan hantaran yang tinggi?

Jadi, anak-anak dibesarkan bukan untuk kepentingan ummah tetapi untuk kepentingan diri sendiri.

"Mat, belajor rajin-rajin esok senang nak kojer. Nanti gaji tinggi, boleh aku numpang senangnyerrr..."

Matlamat hidup adalah untuk mendapat habuan di dunia. Itulah realitinya ummat Islam.

"Akak nak tanye... kawan akak tersepit antara mak & bakal zauj berkaitan pelamin... bakal zauj lulusan agama... dia bukan aliran agama.. tak tau how to explen.."

Ana melihat ke belakang, pengalaman berkahwin.


"Sejarah: bersanding ni datang dari india :) bakal zauj perlu menerangkan dengan hikmah kepada kawan akak atau perlu terus dengan bakal mertua. Semua ibu nak majlis perkahwinan anak mengikut adat resam yang sempurna, mengharapkan perkahwinan yang kelihatan sempurna dan mungkin bimbang dengan kata-kata orang sekeliling. Maklum, sekarang kalau tidak bersanding orang mudah menuduh kata mengandung luar nikah pula, nauzubillah.

Bila adat yang tidak selari dengan syariat ditolak, tidak ramai yang boleh menerimanya kerana menjunjung adat tanpa menyelidiki sejarah adat tersebut. Dalam hal ni kedua pihak harus memainkan peranan penting, sebagai anak sebelum berkahwin perlu menurut kata-kata ibubapa selagi sesuai dengan syarak tetapi dalam hal bersanding walaupun ada ulama' yang mengharamkan namun bicaralah dengan bahasa yang paling lembut dan hikmah bimbang mengguriskan hati ibu.

Sudah pasti bersanding selepas ijab kabul. Dan selepas ijab kabul, tanggungjawab seorang ayah dah berpindah kepada suami dan setiap urusan dunia akhirat isteri terletak di bahu suami. Pasti beban tersebut pada suami menanggung dosa isteri kerana bila bersanding pasti dihias-hias dengan keindahan pelbagai, dah tabarruj di situ... berdosa lagi.

Asal majlis perkahwinan ialah sunat muakkad bagi menghebahkan berita tentang perkahwinan tersebut namun kini perkahwinan umpama pesta dan banyak pula perkara yang dilarang oleh syariat.

Tuturlah dengan lembut pada ibu bahawa beliau (anak perempuan tersebut) dan bakal suami mahu perkahwinan yang barakah agar kehidupan berumah tangga nanti dimulakan dengan keberkatan dan keberkatan perlu dijaga dari awal (sebelum ijab kabul apatah lagi selepas ijab kabul). Memandangkan bersanding adalah adat yang datang dari india, ia tak selari dengan syariat Islam maka ia mendatangkan kerosakan pada barakah yang diharapkan.

Tambahan pula bila bersanding, ia seakan menjadi perhiasan dan seorang wanita solehah itu layaknya dijaga rapi bukan dipertontonkan seperti hiasan.

Pelamin boleh digubah tetapi SYARATNYA hanya untuk sesi bergambar bersama KELUARGA dan bukan sebagai pelamin yang akan diduduki untuk merenjis atau menepung tawar. Mungkin pelamin didekorasi sebagai tempat mengambil gambar dengan KELUARGA untuk kenangan dalam majlis perkahwinan.

Wallahua'lam bissowab."


Ana kasihan benar melihat bakal-bakal pengantin serabut dengan segala macam masalah dan perkara yang furu' sedangkan perkara yang utama seakan tenggelam. Katanya perkahwinan ini adalah membina masjid, masakan pembinaan masjid dicampur aduk dengan yang batil? Semasa tiba di Madinah, Rasulullah membina masjid Quba' dan asasnya adalah TAQWA. Iya, TAQWA. Pernah pula orang membina masjid di zaman Rasulullah dirobohkan kerana asanya bukanlah pada taqwa. Betapa pentingnya peranan taqwa dalam pembinaan masjid, dan masjid hanya layak diimarahkan dengan orang-orang yang beriman. Renung-renungkan...

"Sayang nak dengar satu kisah. Zaman dulu tak ramai orang kaya di Kelantan. Ada seorang hamba Allah ni nak beli kereta walksworgan (ana tak tahu eja), maklumlah nak beli kereta baru tak mampu jadi dia beli kereta terpakai. Bayar cash! Selesai beli pada penjual cina tu, dia pun bawa balik kereta. Dalam perjalanan, mati enjin. Dia buka bonet depan, tengok... Laaaaa, tak ada enjin. Dia dah marah sangat "tak guna punya cina, jual kereta tak ada enjin patut la kereta mati". Kemudian, dia buka bonet belakang... Dia lega... "huh, nasib baik ada enjin spare".


Ana tergelak-gelak dengan kisah yang diceritakan oleh suami. Memang la kereta walksworgan enjinnya di belakang.

"Apa pengajaran dari kisah ni?"

Ana masih bersisa tawa... Geli hati dengan kisah yang dibawa suami. Suami terus menyambung.

"Pengajarannya, bila kita nak buat sesuatu mesti ada asas. Maksudnya, nak buat apa-apa mesti dengan ILMU. Jangan ikut-ikut, kalau orang buat kita buat, tapi kita tak tahu apa yang kita buat."

Gurlp! Tawa dimatikan. Berfikir...

Kredit kepada:
Haruman Mawar

Saturday, August 21, 2010

TELEVISYEN PEROSAK JIWA DAN MINDA KANAK-KANAK


Televisyen (tv) adalah merupakan satu alat elektronik untuk menyampaikan berita-berita dan juga sebagai alat hiburan. Rata-rata kebanyakkan rumah di Malaysia mahupun di dunia mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen. Malah jika sebuah rumah mempunyai beberapa buat set tv sudah dianggap kebiasaan pada masyarakat kini kerana tv sudah dianggap perkara yang wajib ada di setiap rumah.

Oleh itu, tv secara tidak langsung memberikan impak yang sangat besar kepada ahli rumah khususnya dan masyarakat secara umumnya. Jadi teknologi tv ini sebenarnya wadah yang sangat mudah mempengaruhi fikiran dan minda manusia. Pernah suatu ketika dahulu pada tahun 2002, dunia dikejutkan berita dengan bekas Presiden USA, George W. Bush yang pengsan akibat tercekik biskut. Berita tersebut tersebar dengan pantas ke serata ceruk dunia semata-mata untuk menyebarkan seseorang telah tercekik sekeping biskut! Justeru itu, menjadi topik bualan hangat di sana-sini. Itulah kuasa pengaruh tv ke atas kehidupan.

Jika dikaji tv pada hari ini secara menyeluruh terhadap kandungan-kandungan yang disiarkan terhadap manusia, maka akan terserlah akan implikasi buruk terutamanya ke atas kanak-kanak. Malah jika tidak keterlaluan boleh kita katakan bahawa rancangan tv hari ini banyak 'membodohkan' manusia daripada 'mencerdikkan' manusia. Tetapi kita tetap juga terleka dengan penangannya walaupun hakikatnya kita sedar akan kenyataan itu.

Kebanyakkan siaran-siaran yang dihidangkan kepada kita jelas tidak mendidik jiwa dan minda malah kandungan siaran yang sekarang ini dipenuhi oleh unsur-unsur khurafat dan seks berjaya memikat manusia zaman milenium ini sekaligus berjaya menarik dan mempengaruhi anak-anak kecil yang sepatutnya dilambakkan dengan bahan yang membangunkan rohani dan minda mereka. Tetapi apa boleh buat bilamana ibu-bapa mereka sendiri meredhai pengaruh tersebut untuk sebati dalam diri anak-anak mereka malah mereka juga sebagai ibu-bapa yang turut skali 'merasai' gelombang pembatutan jiwa dan minda tersebut. Sungguh menyedihkan.

Anak-anak dibiarkan menonton rancangan yang melalaikan. Disamping jiwa yang terlalai, sebenarnya kita tidak sedar bahawa perkembangan fizikal dan fisiologi anak-anak kecil mereka diperlambatkan perkembangannya dek kerana 'hidangan' yang ibu bapa sajikan sendiri. Ya, benar kanak-kanak ini akan mengalami keterencatan terhadap perkembangan otak dan juga fizikal meraka. Kenyataan ini bukanlah sekadar provokasi semata-mata, tetapi telah dibuktikan dengan kajian-kajian yang telah dilakukan dari dulu sehingga sekarang! Oleh itu, anda yang sedang membaca tulisan ini mungkin telah mempunyai anak, ataupun sekurang-kurangnya bakal mempunyai anak, pertimbangkanlah bagaimana untuk mengawal pengaruh ini daripada terjadi kepada anak-anak anda dan juga kepada diri anda sendiri. Anda fikir-fikirkanlah sendiri.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang, secara purata kanak-kanak di Malaysia menonton tv lebih kurang kurang 2-3 jam pada hari-hari biasa dan 3-4 jam pada hari minggu. Dalam setahun bermakna hampir 1200 jam dihabiskan oleh kanak-kanak ini untuk tujuan menonton tv berbanding 1040 jam setahun dihabiskan untuk berada dalam kelas waktu sekolah! Tabiat menonton tv secara berlebihan mendatangkan kesan negatif kepada seseorang terutamanya kanak-kanak yang dalam proses tumbesaran. Justeru itu, Akademik Pediatrik Amerika (AAP) pernah menyarankan kanak-kanak yang berada di bawah umur 2 tahun tidak dibenarkan menonton tv. Ini kerana pada peringkat ini pertumbuhan otaknya adalah pada peringkat paling kritikal dan pertumbuhan ini paling berkesan dirangsang dengan sentuhan dan bukan pada imej di kaca tv.

Risiko ke atas otak kanak-kanak
Tv ternyata membantutkan perkembangan otak kanak-kanak. Kajian yang dilakukan oleh Universiti Chicago menunjukkan 3 tahun pertama adalah peringkat paling kritikal bagi otak kerana otak mengalami perkembangan yang sangat pesat. Jadi, rangsangan yang terbaik bagi kanak-kanak untuk memperoleh perkembangan optimum adalah melalui pendedahan kepada persekitaran dan realiti kehidupan mereka. Kaedah yang terbaek yang dapat digunakan adalah melalui bercakap dan berkomunikasi dengan bayi sejak dilahirkan. Membacakan bahan bacaan yang bermutu dan baik merupakan langkah yang berkesan untuk membentuk sahsiah dan daya intelektual kanak-kanak.

Risiko ke atas perkembangan emosi dan fizikal
Pergaulan dengan kawan-kawan adalah penting kepada kanak-kanak bagi perkembangan emosi dan fizikal mereka. Seorang pakar psikologi dan pendidikan, Dr. Jane M. Healy berkata kecekapan minda kanak-kanak meningkat apabila mereka dibiarkan berinteraksi dengan orang lain dan dibiarkan berfikir secara aktif. Jadi membiarkan kanak-kanak tercegat di depan tv sahaja akan merencatkan aktiviti interaksi mereka seterusnya membantutkan kecekapan fikiran mereka. Malah penemuan yang didapati oleh Fakulti Perubatan Universiti Stanford menunjukkan kes-kes kegemukkan dikalangan mereka sangat berkait rapat dengan tabiat suka menonton tv.

Risiko ke atas pertuturan

Menurut Dr. Sally Ward, seorang pakar kanak-kanak yang melakukan kajian selama 10 tahun mendapati tv membantutkan perkembangan pertuturan kanak-kanak. Dalam kajian tersebut, seorang daripada lima orang kanak-kanak akan mengalami masalah tersebut. Kanak-kanak yang berumur 3 tahun bertutur seperti berumur 2 tahun. Ini kerana masa yang sangat terbatas untuk berinteraksi dengan persekitaran kerana menonton tv. Oleh itu, ibu bapa sangat digalakkan memperbanyakkan interaksi dan percakapan dengan anak-anak mereka.

Risiko ke atas konsentrasi

Seorang pakar neurologi di Hospital Kanak-Kanak di Boston, Dr. Jane Holmes Bernstein mendapati tv melemahkan daya konsentrasi. Beliau mendapati kanak-kanak yang kerap menonton tv kerap menghadapi kesukaran mendengar dan menberikan perhatian dalam pelajaran. Hal ini terjadi kerana imej yang ditunjukkan di tv tidak constant. Ada imej yang ditayangkan selama 3 saat, kemudian diikuti 7 saat dan seterusnya. Malah kajian mendapati sebahagian kanak-kanak mengalami penyakit Gangguan Hiperaktiviti Kurang Tumpuan disebabkan sistem saraf mereka terjejas. Jadi bagaimana kita hendak melahirkan anak-anak yang cerdik dan pintar jika sistem saraf mereka sudah rosak dan terjejas sejak kecil lagi?

Risiko mendapat kesukaran tidur

Kajian yang dilakukan oleh Klinik Pediatrik Gangguan Tidur mendapati kanak-kanak yang kerap menonton tv sukar melelapkan mata. Mereka juga tidak suka tidur awal. Oleh yang demikian, ini melambatkan pertumbuhan intelektual dan fisiologi mereka kerana waktu tidur yang mencukupi adalah amat penting bagi menyimpan maklumat-maklumat yang dipelajari pada siang hari. Begitu juga dengan perkembangan fizikal juga akan terganggu disebabkan waktu rehat yang tidak cukup. Hasilnya, terjadilah anak-anak kita yang lembap. Sudahlah lembap terbantut pula fizikalnya. Lalu kita mula marah-marah jika anak-anak lemah dalam akademik mereka. Siapa yang harus disalahkan? Ibu bapa atau anak-anak?

Risiko ke atas prestasi akademik

Menurut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Amerika, prestasi kanak-kanak menurun secara mendadak apabila masa yang diperuntukkan kepada kanak-kanak menonton tv lebih daripada 10 jam seminggu ataupun 2 jam sehari secara puratanya.

Risiko ke atas jiwa dan akhlak

Pakara-pakar dari Universiti Illinois mendapati kanak-kanak yang didedahkan dengan adegan-adegan ganas dalam tv semasa berusia 8 tahun, mempunyai kecenderungan untuk menjadi pendera kanak-kanak atau isteri dan terlibat dengan jenayah ganas semasa berumur 30 tahun. Inilah penemuan yang didapati berdasarkan kajian mereka selama 20 tahun. Jadi tidak menghairankan bilamana terdapat kes-kes penderaan ke atas anak-anak dan isteri kerana mereka (anak-anak) telah dididik sebegitu sejak daripada kecil lagi. Tidak dilupakan pada tahun 1983, akhbar The Star melaporkan 4 orang kanak-kanak maut selepas meniru aksi Superman di tv dengan terjun dari tempat tinggi untuk terbang seperti Superman!

Kaitan tv dan aksi ganas

Kajian yang dilakukan oleh pelajar-pelajar Univrsiti Sains Malaysia mendapati secara purata kanak-kanak melihat 4 pembunuhan, 24 senjata, 14 tembakan senjata api dan 38 kali tumbukan di dalam kaca tv. Maka secara purata mereka mungkin melihat 3000 pembunuhan, 2000 senjata api dan mendengan beribu-ribu kali tembakan di tv dalam tempoh satu tahun di Malaysia! Seperkara lagi, penemuan penyelidik dari Universiti Yale ke atas 200 orang kanak-kanak prasekolah mendapati tabiat kanak-kanak yang bergaduh dan menendang lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak yang gemar menonton siri kartun. Ini kerana siri kartun juga tidak ketinggalan dalam memaparkan adegan-adegan ganas.

Solusinya

Pada hari ini tv lebih banyak mempromosikan rancangan-rancangan yang bersifat komersial daripada mendidik. Adegan yang dipaparkan banyak bercanggah dengan Islam. Kemunculan lagu-lagu yang melalaikan jiwa dan adegan-adegan lucah oleh para artis memberikan contoh yang buruk kepada anak-anak ini. Pastinya unsur-unsur ini dapat merosakkan jiwa bakal-bakal pejuang Islam di masa hadapan. Pejuang Islam seharusnya disuap dengan unsur-unsur yang baik yang membentuk semangat, keperwiraan dan intektual mereka. Bukan unsur yang merosakkan dan menjatuhkan ini.

Maka tindakan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa, abang, akak atau sesiapa sahaja, bertindaklah mengikut kemampuan masing-masing dalam memperbaiki masalah yang sudah lama meruncing ini. Kawallah diri kita dengan menonton rancangan yang berinfomasi dan berfaedah sahaja justeru dapat dijadikan contoh oleh orang lain terumatamya kanak-kanak. Terdapat rancangan-rancangan yang membina minda dan jiwa seperti Jejak Rasul, National Geography, dokumentari-dokumentari ilmiah dan sebagainya. Pupuklah kecenderungan mereka ke arah rancangan sebegini. Siapa lagi yang mahu diharapkan jika kita sendiri yang tidak memulakannya?

Ditegaskan juga, tugas utama dalam mendidik kanak-kanak adalah menyerapkan budaya ilmu ke dalam diri mereka. Tanamkanlah kecenderungan membaca yang tinggi dikalangan anak-anak sejak kecil lagi. Ini kerana perwira Islam adalah mereka yang lengkap dari aspek intelektual dan rohani. Mereka seimbang dari aspek fikir dan zikir. Kita tidak mahu melahirkan insan yang hanya tahu berzikir tetapi jumud dan tidak dapat mengembangkan dirinya dan juga orang lain walaupun mungkin mereka baik dari segi sahsiahnya. Kita juga tidak mahu melahirkan insan yang tinggi daya fikir dan tajam pengamatannya tetapi mengalami krisis kemanusian seperti menggelapkan wang, terlibat dengan rasuah dan perkara-perkara buruk akibat sangat kurang zikirnya.

Umat Islam sekarang memerlukan sumber manusia yang kuat fikir dan zikirnya. Oleh itu, kita yang mempunyai kesedaran ini bentuklah persekitaran dalam lingkuan pengaruh kita dalam menggerakkan budaya ilmu dikalangan mereka. Oleh itu, berilah penekanan terhadap aktiviti berfaedah dan ilmiah seperti membaca daripada aktiviti-aktiviti lain, dengan itu dapat menjadikan slogan 'Umat Islam, Umat Membaca' menjadi satu kenyataan sebagi pemangkin kepada kebangkitan Islam suatu hari nanti. InsyaAllah,
 

Wednesday, August 11, 2010

JOHAN, BUATLAH KEBAIKAN SETIAP HARI



Usianya sudah menjangkau belasan tahun. Kebiasaannya ketika usia begini, seseorang itu telah mampu berfikir dengan baik, namun tidak bagi Johan. Disebabkan sedikit ketidaksempurnaan di bahagian otaknya, Johan hanya memiliki kemampuan berfikir seperti budak yang berusia 7 tahun. Namun demikian, Johan bernasib baik kerana memiliki seorang ibu yang penyayang. Ibunya itu tidak peduli dengan kekurangan anaknya. Wanita berhati mulia itu memelihara dan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang. Harapannya cuma satu; biarlah Johan mampu berdikari pada suatu hari nanti.

********************


Johan sangat menyayangi ibunya. Sebolehnya dia mahu membahagiakan ibunya. Suatu hari Johan mendampingi ibu yang disayanginya itu…


"Ibu, saya suka melihat ibu tertawa. Wajah ibu cantik sekali apabila ibu tertawa. Bagaimana caranya untuk saya membuatkan ibu tertawa setiap hari?" tanya Johan.

"Johan, buatlah kebaikan setiap hari, maka ibu akan tertawa setiap hari" jawab ibunya.

"Bagaimana caranya untuk berbuat kebaikan setiap hari, ibu?" tanya Johan lagi.

"Buatlah kebaikan dengan bekerja bersungguh-sungguh. Bantulah orang lain terutama orang-orang yang perlukan bantuan seperti orang susah, orang tua, orang sakit, orang cacat dan sebagainya. Johan boleh membantu meringankan pekerjaan mereka atau boleh menemani mereka dengan berbual-bual. Perlakukan orang-orang tua itu sama seperti Johan membantu ibu. Jangan sesekali mengharapkan upah. Selepas selesai membantu, mintalah sekeping kad yang bertulis tarikh untuk hari itu daripada orang yang dibantu. Jika tarikh itu berturutan, bermakna Johan telah berbuat baik setiap hari, dan sudah tentu ibu akan merasa senang dan tertawa." jawab si ibu dgn penuh kasih sayang.

********************


Pesanan ibunya itu terpahat kemas di dalam ingatan Johan. Walaupun ibunya kini telah tiada, namun Johan tetap ingin melihat ibunya tertawa.

Maka, setiap hari dia akan berjalan ke sekeliling kampung untuk membantu orang-orang yang memerlukan bantuan. Upah yang dimintanya hanyalah sekeping kad yang bertulis tarikh untuk hari tersebut. Ramai orang merasa hairan dengan upah yang diminta oleh Johan itu, tetapi mereka tetap memberi apa yang dimintanya.


"Kenapa kamu meminta sekeping kad yang bertulis tarikh sebagai upah kamu?" tanya seorang nenek kepada Johan pada suatu hari.


"Kerana setiap hari, sebaik sahaja pulang ke rumah, saya akan menyusun kad itu mengikut turutan tarikhnya. Dgn itu saya dapat pastikan bahawa saya telah berbuat kebaikan pada setiap hari. Dan yang lebih penting lagi, dgn cara itu juga, saya tahu ibu saya sedang tertawa bahagia memerhatikan saya dari atas sana. Saya senang hati membayangkan ibu saya sedang tertawa kerana wajahnya sangat cantik ketika dia tertawa." jawab Johan dgn ikhlas.

********************


Kini, Johan dikenali oleh hampir semua penduduk di kampung tersebut disebabkan kebaikan yang dilakukannya dengan ikhlas walaupun otaknya tidak berapa sempurna dan lambat berfikir. Kebanyakan penduduk di situ menjadi sahabatnya.

Kebaikan dan keikhlasannya itu juga mendapat perhatian Tok Penghulu. Semampu mungkin, Tok Penghulu berusaha membantu memudahkan kehidupan Johan. Johan diberi elaun setiap bulan bagi menampung kehidupannya yang tinggal sebatang kara.

********************


Notakaki: Adalah menjadi keperluan bagi manusia untuk hidup saling membantu dan dibantu, menolong dan ditolong, kerana keupayaan kita amatlah terbatas. Kita tidak akan dapat membuat semua perkara dan memerlukan pertolongan dari orang lain. Apabila kita ikhlas berbuat baik dan membantu orang lain sesuai dengan keperluannya tanpa mengharapkan sebarang upah dan balasan, maka ketahuilah sesungguhnya perbuatan mulia itu pastinya akan menerbitkan rasa nikmat sekali. Kita tidak akan rugi sedikit pun dengan menolong orang lain, malah hati dan jiwa kita akan menjadi aman dan tenteram. Justeru itu berbuat baiklah selalu kepada sesiapa pun dengan hati yang ikhlas… inshaAllah hidup akan sentiasa diberkati-Nya…

Monolog hati: Alangkah mulianya hati seorang insan yang tidak beberapa sihat akal fikirannya tetapi sangat sihat hatinya. Lalu bagaimana dengan hati kita? Celakalah orang yang berilmu, tetapi tidak beramal dan celakalah orang beramal tetapi tidak ikhlas. Ikhlas merupakan kesempurnaan ibadah. Jadi ayuh bermujahadahlah untuk memperolehi nikmatnya.

Kredit kepada:-
http://www.kongsibersama.info/


Related Posts with Thumbnails