Wednesday, August 11, 2010

JOHAN, BUATLAH KEBAIKAN SETIAP HARI



Usianya sudah menjangkau belasan tahun. Kebiasaannya ketika usia begini, seseorang itu telah mampu berfikir dengan baik, namun tidak bagi Johan. Disebabkan sedikit ketidaksempurnaan di bahagian otaknya, Johan hanya memiliki kemampuan berfikir seperti budak yang berusia 7 tahun. Namun demikian, Johan bernasib baik kerana memiliki seorang ibu yang penyayang. Ibunya itu tidak peduli dengan kekurangan anaknya. Wanita berhati mulia itu memelihara dan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang. Harapannya cuma satu; biarlah Johan mampu berdikari pada suatu hari nanti.

********************


Johan sangat menyayangi ibunya. Sebolehnya dia mahu membahagiakan ibunya. Suatu hari Johan mendampingi ibu yang disayanginya itu…


"Ibu, saya suka melihat ibu tertawa. Wajah ibu cantik sekali apabila ibu tertawa. Bagaimana caranya untuk saya membuatkan ibu tertawa setiap hari?" tanya Johan.

"Johan, buatlah kebaikan setiap hari, maka ibu akan tertawa setiap hari" jawab ibunya.

"Bagaimana caranya untuk berbuat kebaikan setiap hari, ibu?" tanya Johan lagi.

"Buatlah kebaikan dengan bekerja bersungguh-sungguh. Bantulah orang lain terutama orang-orang yang perlukan bantuan seperti orang susah, orang tua, orang sakit, orang cacat dan sebagainya. Johan boleh membantu meringankan pekerjaan mereka atau boleh menemani mereka dengan berbual-bual. Perlakukan orang-orang tua itu sama seperti Johan membantu ibu. Jangan sesekali mengharapkan upah. Selepas selesai membantu, mintalah sekeping kad yang bertulis tarikh untuk hari itu daripada orang yang dibantu. Jika tarikh itu berturutan, bermakna Johan telah berbuat baik setiap hari, dan sudah tentu ibu akan merasa senang dan tertawa." jawab si ibu dgn penuh kasih sayang.

********************


Pesanan ibunya itu terpahat kemas di dalam ingatan Johan. Walaupun ibunya kini telah tiada, namun Johan tetap ingin melihat ibunya tertawa.

Maka, setiap hari dia akan berjalan ke sekeliling kampung untuk membantu orang-orang yang memerlukan bantuan. Upah yang dimintanya hanyalah sekeping kad yang bertulis tarikh untuk hari tersebut. Ramai orang merasa hairan dengan upah yang diminta oleh Johan itu, tetapi mereka tetap memberi apa yang dimintanya.


"Kenapa kamu meminta sekeping kad yang bertulis tarikh sebagai upah kamu?" tanya seorang nenek kepada Johan pada suatu hari.


"Kerana setiap hari, sebaik sahaja pulang ke rumah, saya akan menyusun kad itu mengikut turutan tarikhnya. Dgn itu saya dapat pastikan bahawa saya telah berbuat kebaikan pada setiap hari. Dan yang lebih penting lagi, dgn cara itu juga, saya tahu ibu saya sedang tertawa bahagia memerhatikan saya dari atas sana. Saya senang hati membayangkan ibu saya sedang tertawa kerana wajahnya sangat cantik ketika dia tertawa." jawab Johan dgn ikhlas.

********************


Kini, Johan dikenali oleh hampir semua penduduk di kampung tersebut disebabkan kebaikan yang dilakukannya dengan ikhlas walaupun otaknya tidak berapa sempurna dan lambat berfikir. Kebanyakan penduduk di situ menjadi sahabatnya.

Kebaikan dan keikhlasannya itu juga mendapat perhatian Tok Penghulu. Semampu mungkin, Tok Penghulu berusaha membantu memudahkan kehidupan Johan. Johan diberi elaun setiap bulan bagi menampung kehidupannya yang tinggal sebatang kara.

********************


Notakaki: Adalah menjadi keperluan bagi manusia untuk hidup saling membantu dan dibantu, menolong dan ditolong, kerana keupayaan kita amatlah terbatas. Kita tidak akan dapat membuat semua perkara dan memerlukan pertolongan dari orang lain. Apabila kita ikhlas berbuat baik dan membantu orang lain sesuai dengan keperluannya tanpa mengharapkan sebarang upah dan balasan, maka ketahuilah sesungguhnya perbuatan mulia itu pastinya akan menerbitkan rasa nikmat sekali. Kita tidak akan rugi sedikit pun dengan menolong orang lain, malah hati dan jiwa kita akan menjadi aman dan tenteram. Justeru itu berbuat baiklah selalu kepada sesiapa pun dengan hati yang ikhlas… inshaAllah hidup akan sentiasa diberkati-Nya…

Monolog hati: Alangkah mulianya hati seorang insan yang tidak beberapa sihat akal fikirannya tetapi sangat sihat hatinya. Lalu bagaimana dengan hati kita? Celakalah orang yang berilmu, tetapi tidak beramal dan celakalah orang beramal tetapi tidak ikhlas. Ikhlas merupakan kesempurnaan ibadah. Jadi ayuh bermujahadahlah untuk memperolehi nikmatnya.

Kredit kepada:-
http://www.kongsibersama.info/


2 comments:

  1. nice blog...boleh kita buat link exchange??


    http://beritapagi-online.blogspot.com/p/free-link-exchange.html

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails