Monday, February 6, 2012

Jalan Yang Luas Jangan Disempitkan

Bismillahirrahmanirrahim,

Sudah lama saya tidak beraksi di gelanggang tulisan ini. Laman tulisan yang saya gunakan untuk berkongsi buah fikiran dan pengalaman. Rehat yang sugguh lama saya rasakan. Kini saya rasakan penulisan saya akan sedikit berubah rancak dan nada. Tetapi tujuannya tetap sama, berkongsi dan terus berkongsi untuk mendapat saham saya di sana. InsyaAllah.

Setelah saya menamatkan pengajian di universiti, saya meneruskan perjalanan hidup dengan karier yang berdasarkan kemahiran pengajian di universiti. Pejam cilik, sudah setahun lebih saya meninggalkan dunia pengajian, tetapi dalam ingatan masih lagi segar dengan segala bentuk kenangan sepanjang tempoh pengajian. Ada yang buruk dan ada yang manis. Apa pun, itulah rencah kehidupan. Sedangkan makanan juga memerlukan unsur masam dan manis, apatahlagi sebuah kehidupan yang rasanya jauh lebih complicated dari sehidang masakan.

Jadi setelah tamat pengajian, saya tidak menunggu lama untuk memulakan pekerjaan. Tapi nak kata tak lama, lama juga. Oleh sebab saya merupakan pemegang biasiswa semi swasta, maka kehidupan saya setelah tamat pengjian tidak seperti rakan-rakan yang lain yang rata-ratanya pemegang  biasiswa JPA. Adakalanya saya terkilan, kerana saya tidak dapat memilih tempat dan suasana kerja yang saya inginkan kerana ikatan perjanjian yang telah dimeterai semasa persetujuan untuk memegang biasiswa tersebut.

Dalam waktu untuk menunggu dipanggil bekerja, saya menerima beberapa panggilan telefon daripada beberapa buah syarikat bertanya status pekerjaan saya, mahu tidak mahu, saya terpaksa menolak pelawaan mereka untuk menemuduga saya walaupun saya akui ada di antara syarikat itu menarik minat saya. Tetapi janji tetap janji. Seorang muslim harus berpegang kepada janji. Jadi saya melangkah maju ke hadapan untuk bekerja dengan syarikat yang sepatutnya saya bekerja.

Apabila sudah bekerja, maka serangan pun bertalu-talu tiba dari segala penjuru. Serangan yang saya sendiri tiada perisai untuk menahannya. Maka segala 'serangan' tadi saya cuba memperlahankan rentaknya dengan jawapan,"Nanti ada jodoh kahwin la, insyaAllah".

Bak kata pepatah, 'Ku sangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'. Maka saya mula memikirkan secara serius tentang saranan dan gesaan itu. Sudah tentu saya juga memikirkan untuk kebaikkan diri sendiri. Apakah lagi yang diperlukan oleh seorang lelaki yang sudah bekerjaya melainkan teman yang bernama seorang isteri. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa, saya tidak nampak apa-apa kaitan pun antara pepatah tadi dengan cerita saya. Huhu

"Ustazah, muslimat PAS kan?", sebuah lontaran pertanyaan yang sudah saya tahu jawapannya kepada seorang aktivis pertubuhan politik ini.

"Ya, kenapa", jawapan yang sudah saya jangkakan.

"Tolong ana carikan calon isteri. Muslimat PAS ni mesti banyak yang solehah-solehah kan? Carikan untuk ana seorang. Huhu ", luahan hasrat seorang lelaki idaman dengan ceria dan harmoni. (^_^)

"Boleh. Tapi ada satu syarat. Kena isi borang jadi ahli PAS seumur hidup", syarat pertama sudah ditetapkan.

"Kenapa perlu ahli PAS seumur hidup, ustazah? Kalau jadi ahli Islam seumur hidup tak boleh ke?" jawab balas untuk meneroka dengan lebih mendalam lagi apa yang bersarang di dalam kotak fikirannya.

"Kalau dah ahli PAS tu, tentulah ahli Islam kan", logik jawapan diberi untuk menjustifikasikan syarat yang dikenakan.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan syarat yang demikian, saya tetap terbuka dalam hal ini. Saya akui wanita mempunyai hak dan kebebasan untuk meletakkan syarat bagi lelaki untuk diri mereka walau pada pendapat saya, syarat-syarat begini seperti menyempitkan perkara yang luas. Menyusahkan perkara yang mudah. Dan yang paling penting saya menganggap golongan-golongan sebegini adalah golongan yang berfikiran sempit.


Ya, narrow minded! Berlebih-lebihan dalam perkara yang bukan sepatutnya untuk dilebihkan. Saya tahu ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini, tetapi apa boleh buat, setiap orang diberikan hak untuk mempunyai pandangan dan fikiran. Jadi usah bazirkan.

"Kalau PAS dibubarkan macam mana ustazah?" soal saya lebih lanjut untuk menduga.

"Janganlah nak main-main pula. Enta ni suka bergurau lah syeikh!", jawapan yang bukan jawapan diberikan.

"Kalau macam tu, tak apa la ustazah. Ana tak berminat. Nanti ana cari yang tak kena jadi ahli PAS seumur hidup ya", ringkas keputusan diberikan.

Seringkali apabila kita memuji sesuatu tindakan kerajaan dan mengkritik pihak pembangkang, kita akan dianggap sebagai orang kerajaan atau dengan bahasa yang lebih kasar sebagai 'penjilat' kerajaan. Sebaliknya juga apabila kita mengkritik kerajaan dalam pelbagai isu, maka kita akan dicop sebagai penentang kerajaan atau barisan pembangkang.

Itulah realitinya.


"Enta ni orang UMNO eh?", soalan yang sudah dapat diagak.

"Bukan. Ana menyokong apa sahaja benda yang mendatangkan kebaikkan", jawab saya ringkas kerana terasa bosan dengan soalan yang sudah saya agak.

Kadang-kadang semakin kita menafikan sesuatu dakwaan, semakin kuat pula desakan untuk kita akui tuduhannya. Jadi langkah yang terbaik adalah dengan tidak melayan.

"Ana cuma bergerak aktif dalam dengan aktiviti IKRAM Perlis sekarang", ringkas saya memberitahu.


"Kenapa perlu masuk IKRAM? PAS kan perjuagannya lebih menyeluruh dan syumul. Pergerakkan PAS lebih merangkumi pelbagai aspek. Enta masuk IKRAM, enta MELAMBATKAN KEMENANGAN ISLAM! Ana tengok enta ni ada kualiti, rugi kalau tak digunakan untuk pergerakkan mengangkat Islam", suatu pernyataan yang menyentap fikiran dan sedikit mendidihkan darah.

Di sinilah sebenarnya isu yang saya cuba ketengahkan. Isu tentang bakal suami mesti menjadi ahli PAS seumur hidup bagi saya adalah isu yang kecil dan remeh. Itu hak peribadi dan kehendak masing-masing. Ia perlu dihormati. Tetapi dengan menyatakan hanya parti PAS sahaja yang memperjuangkan Islam dan parti lain bukan bertujuan untuk memartabatkan Islam, bagi saya ia adalah suatu pertuduhan yang berat. Ia adalah hasil olahan pemikiran yang jumud dan tertutup!

Apatahlagi dengan menganggap penyertaan dalam gerakan-gerakan dakwah selain PAS adalah usaha yang menjatuhkan dan melambatkan kemenangan Islam adalah pernyataan yang keterlaluan. Pemikiran-pemikiran sebeginilah sebenarnya yang melambatkan pembangunan Islam. Mereka berfikir mereka membangunkan Islam, tetapi sebenarnya dengan pemikiran sebegini merekalah yang membantutkan pembangunan Islam.

Ya. Membantutkan pembangunan Islam dengan pemikiran yang sempit dan rigid!

Saya tiada masalah dengan parti PAS. Bahkan saya lebih menyukai PAS berbanding UMNO. Saya menyanjung tinggi kehidupan yang sangat bersederhana yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin tinggi PAS. Secara zahirnya, ciri-ciri islami lebih tertonjol pada anggota-anggota pertubuhan politik PAS berbanding daripada pertubuhan politik lain.

Yang paling utama, saya menyokong penuh usaha parti PAS dalam rangka untuk mewujudkan negara Malaysia yang lebih islami dan berlandaskan syariat. Saya nampak kesungguhan pemimpin-pemimpinnya.

Dan saya pasti bukan semua aktivis PAS seperti yang saya ceritakan seperti di atas. Mungkin hanya segelintir. Tetapi yang sedikit itulah yang selalunya tertonjol dan mendapat perhatian.

Oleh itu, marilah kita menilai dan bermuhasabah kembali. Berbilang-bilang persatuan bukanlah bermaksud kita terpisah antara satu sama lain. Mungkin sebilangan orang selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh sesuatu gerakan dakwah, dan sebaliknya sebilangan orang yang lain mungkin lebih selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh gerakan dakwah yang lain. Jadi sepatutnya kepelbagaian gerakan dakwah ini patut dilihat sebagai wadah dalam menyediakan ruang kepada umat Islam yang sudah tentu berbeza dari segi latar belakang kehidupan, pendidikan, minat dan sebagainya.

Justeru itu, usahlah kita terlalu taksub dengan kumpulan atau jemaah kita sahaja. Semua yang datang dari jemaah kita sahaja adalah benar dan tidak mungkin salah, sebaliknya apa sahaja yang datang dari jemaah lain adalah batil dan terpesong. Lebih teruk lagi apabila kita ini hanya tahu menyalahkan orang lain, padahal diri kita sebenarnya tidak melakukan apa-apa langsung. Ini pula lagi satu masalah yang membingungkan.

'Jemaah tabligh tidak betul, ikhwanul muslimin sesat dan sebagainya', dan pelbagai lagi hukuman yang diberikan kepada jemaah-jemaah yang berjalan di atas jalan dakwah. Semuanya salah, semuanya tidak betul. Yang betul hanyalah dirinya yang tidak melakukan apa-apa.

Mungkin setiap gerakan dakwah mempunyai kelemahan masing-masing. Jadi di sinilah gunanya kepelbagaian dakwah lain untuk saling melengkapi dan menambah kekurangan dalam gerakan dakwah yang lain. Dari situlah akan terzahirnya keperluan terhadap antara satu sama lain.

Akhir kata, janganlah menganggap perbezaan jemaah itu sebagai suatu perpecahan. Tetapi pandanglah ia dari sisi yang berbeza. Kita tidak akan sekali-kali berbeza atau berpecah dengan sebab berbezanya parti atau gerakan, selagi kita semua berada di bawah satu naungan kalimah,"Tiada tuhan yang layak diibadahi melainkan Allah, dan Muhammad itu utusan dan hamba-Nya".
Related Posts with Thumbnails