Monday, June 18, 2012

Ikhlas Itu Ajaib


Saat jari ingin menitipkan sesuatu, ssat itu fikiran menjadi terbelenggu apa yang mahu dititipkan. Bukan tidak mahu istiqamah, tetapi bukan mudah untuk beristiqamah.

Jika saya salah tolong perbetulkan, seingat saya, suatu ketika dahulu ada pernah terbaca imam as-Syafie apabila mengatakan tentang hadis mengenai niat, "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya...". Kata Imam as-Syafie,"Hadis ini sudah merangkumi satu pertiga dalam Islam".

Sungguh tersirat dan besar apa yang ingin disampaikan.

Anjuran untuk meluruskan niat.

Niat perbuatan hati. Tiada siapa tahu apa yang diniatkan di dalam hati seseorang melainkan Pencipta hati itu sendiri. Oleh itu point pertama yang saya ingin catatkan di sini sebelum menuju kepada isi utama adalah jika ada orang yang memberikan seseuatu atau manfaat atau apa jua kebaikkan, maka usahlah ditanya,

"Ni ikhlas ke bagi ni?"

"Ni nak tolong ni, ikhlas tak?"

"Ni buat baik ni, ikhlas ke atau ada apa-apa?"

Sekali lagi perlu kita ingat, ikhlas itu bukanlah tugas seorang hamba untuk menilainya. Jika didatangkan kepada kita seseorang menaburkan kebaikkan dan menyatakan bahawa dia ikhlas, hakikatnya dia sendiripun tidak mengetahui sejauhmana keikhlasannya.

Kerana hamba tidak mungkin dapat menggalas kerja Tuhan hamba. Justeru, jika kita ditabur dengan kebaikkan, usah dipanjangkan dengan persoalan keikhlasannya. Bahkan jika tersalah tempat, pertanyaan seperti itu boleh menjentik rasa lara hati seorang manusia yang mungkin terlalu halus isi hatinya tatkala dipersoalkan tentang kebaikkan yang dilakukannya.

Oleh itu, apabila dihadapkan dengan kebaikkan, cukuplah datangkan rasa syukur dan terbitkanlah ucapan terima kasih kepada pelakunya. Mungkin ucapan,'Jazakallahu khairan' atau 'Semoga Allah membalas kamu dengan kebaikkan' dapat dituturkan kerana ia lantas lebih mendekati sunnah, dan mudah-mudahan kebaikkan yang serupa atau lebih baik dibentangkan pula kepada pelakunya atas doa yang dipanjatkan.

Jadi tanamlah dalam hati, jangan sekali-kali mempersoalkan keikhlasan orang lain. Dia mungkin ikhlas atau juga mungkin tidak. Tetapi tugas kita hanyalah untuk sentiasa mendatangkan sangkaan baik tatkala ditabur dengan kebaikkan atau pemberian.

Jika anda mengetahui bahawa pendengaran anda hanya boleh berfungsi untuk selang beberapa tempoh waktu sahaja lagi, apakah perkara yang terakam dalam fikiran anda untuk menghabiskan sisa waktu yang berbaki?

Sebahagian musibah membatalkan kunjungannya tatkala seseorang sudah bersedia menyambut dan menerimanya.

 Saya tertarik dengan cerita seorang ikhwah mengenai seorang mak cik yang agak sudah tua yang menghidapi penyakit pada kedua-dua belah matanya.

"Kamu tahu bukan umi sudah tiga tahun mempunyai penyakit pada mata umi ini", luah perasaan seorang ibu tua kepadanya.

"Kalau boleh saya tahu bila mata umi sakit, rasanya bagaimana?", utas kata menyelami perasaan.

"Sepanjang masa umi berasa mata umi sakit, kering dan macam ada pasir atau batu-batu kecil pada bahagian dalam", jawab mesra seorang mak cik yang membahasakan dirinya umi.

Tiga tahun, bukanlah tempoh yang pendek. Apatahlagi disertai dengan kepayahan dan ketidakselesaan. Maka itu menambahkan lagi jarak tempoh yang sememangnya panjang itu.

Doktor berganti doktor. Ubat berganti ubat. Yang murah hinggalah yang mahal, hampir kesemuanya telah dicuba dalam rangka ikhtiar untuk mencari penawar. Usah juga diperbincang tentang duit yang telah dikeluarkan.

"Doktor kata, mata umi ini mengalami penyakit kering. Mata umi tidak boleh menghasilkan air mata lagi. Itulah yang menyebabkan rasa sakit. Jadi doktor beri ubat titis untuk gantikan fungsi air mata itu. Doktor pesan supaya umi titis setiap satu jam sekali", luahannya

"Setiap satu jam? Mesti payah kan umi", nada yang agak terperanjak saya fikir.

"Doktor cakap, kalau perlu setiap setengah jam titislah", jawabnya kembali.

Dapatkah kita bayangkan bagaimana mungkin seseorang dapat menistiskan ubat mata setiap setengah jam sepanjang hidupnya. Saya merasakan para penganggur pun akan merungut dan protes jika mereka disuruh untuk menitiskan ubat mata setiap setengah jam. Apakah tidak ada kerja lain untuk dilakukan.

Tetapi itulah jalan hidupnya. Tidak ada apa yang boleh dilakukan umi ini melainkan mengikut nasihat doktor. Waktu pergi ke pasar, terpaksa mencari tempat yang sesuai meletakkan beg untuk menistiskan ubat. Waktu menaiki bas juga begitu. Sepanjang waktu, harus ada ubat yang dititiskan ke dalam mata.

Begitulah ibu tua itu, bagaikan berdiri di jurang kebutaan. Tersalah kaki melangkah, maka kegelapan akan menyapa hidupnya.

"Kamu tahu bukan, umi tidak lancar membaca al-quran sebelum ini?", bualnya yang beralih arah.

"Sayang, dulu umi tidak membiasakan diri membaca al-quran secara istiqamah. Tetapi sekarang ini umi membaca al-quran setiap hari walaupun merangkak-rangkak tapi umi tetap meneruskannya", katanya.

"Semua ubatan doktor yang umi cuba tidak menyembuhkan mata umi membuatkan umi berfikir mata umi tidak akan sembuh lagi. Umi berasa mata umi akan menjadi buta", lidah menuturkan perasaannya.

"Tiba-tiba saja satu perasaan terlintas dalam fikiran umi, kalau mata umi ini akan jadi buta, maka umi tidak dapat lagi membaca al-quran. Jadi, selagi umi boleh melihat umi akan terus membaca al-quran sebanyak-banyaknya. Itu tekad umi. Baca al-quran sebanyak-banyaknya sebelum mata ini tidak boleh melihat lagi", sambung bicaranya.

"Maka umi pun tingkatkan bacaan al-quran daripada biasa. Kalau mata umi rasa sakit, umi berhenti sekejap dan titiskan ubat mata kemudian umi sambung balik baca al-quran. Macam itulah dari hari ke hari sampai bacaan al-quran umi sudah bertambah baik dan lancar. Sekarang ini pun sehari umi boleh menghabiskan bacaan al-quran lebih daripada satu juzuk", hatinya berbunga menuturkan kata.

Itulah kehidupan ibu tua itu sehari-hari. Matanya juga bertambah baik dari hari ke hari. Sehingga satu ketika bekalan ubat matanya habis, dia memutuskan untuk membiarkan saja matanya. Dia nekad jika matanya kembali sakit, dia akan bertemu doktor secepat mungkin.

Ajaib. Hari demi hari. Minggu berganti minggu dan tahun bersilih ganti, mata belaiu tidak pula berasa sakit seperti sebelumnya. Matanya tiba-tiba sembuh walaupun sudah bertahun-tahun sakit, sudah panjang baris botol ubat dan sudah banyak tangan doktor yang bertukar ganti tetapi masih tiada tanda untuk sembuh.

Tiba-tiba mata itu kini sembuh walaupun dahulunya bukan seorang dua doktor mengatakan bahawa mata itu tidak akan sembuh!

"Maksudnya, mata umi sudah betul-betul sembuh dan umi tidak guna lagi sebarang ubat-ubatan?", rasa hairan menyinggah di hati.

"Ya, seperti mata yang normal. Sejak dua bulan terakhir ini, umi sudah tidak menitiskan sebarang ubat ke dalam mata. Tetapi umi masih terus membaca al-quran, bahkan umi berasa lebih semangat lagi ketika membacanya", jawab yang dihiasi senyuman.

"Mungkin mata umi menjadi sembuh sebab niat umi yang hendak membaca al-quran selagi mata umi boleh melihat", soalnya.

"Mungkin juga begitu", ekspressi wajah yang terlukis menggambarkan kegembiraan.

Ada getaran tercetus di dalam jiwa saya apabila menyelusuri cerita sedemikian rupa. Tatkala ubat-ubatan gagal mendatangkan sinaran cahaya kesembuhan, ayat-ayat indah al-quran bertamu sebagai penawar. Tatkala doktor-doktor hebat gagal menemukan penyelesaian, datang rahmat Allah menitiskan belas kasihan.

Mungkin itulah cara Allah mendidik, diberikannya satu ujian di dunia, diselitkan nasihat-Nya untuk berbuat kebaikkan. Dan apabila nasihat itu diikuti, diganjari pula dengan jalan penyelesaian ditambahi dengan nikmat mengerjakan amalan kebaikkan yang berterusan.

Demikianlah betapa pentingnya pengaruh niat dalam kehidupan. Niat ingin meningkatkan bacaan al-quran pada permulaan, tiba-tiba Tuhan membukan jalan kemudahan dan menutup jalan kesusahan. Rasa pedih di mata tiba-tiba menjadi hilang, diganti pula kemudahan untuk terus melakukan kebaikkan seperti yang telah dirancang.

Justeru, didiklah diri dengan membiasakan memulai sesuatu pekerjaan dengan niat yang baik dan kesungguhan agar jalan kemudahan untuk melaksanakan kabaikkan yang dirancang terbuka di jalan hadapan.

9 comments:

  1. subhanallah..cerita yg memberi inspirasi, syukran!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Afwan...jazakallahu khairan atas kesudian melawat ke sini...

      Delete
  2. ummu aisya humairaJune 18, 2012 at 11:00 AM

    ikhlas, punyai makam yg tinggi selepas iman.. ia rahsia Tuhan yg tiada siapa ketahui hatta para malaikat yg hampir dgnNya sekalipun, ini pula lagikan kita, manusia biasa yg tiada punya apa-apa.
    kisah yg menarik saudara paparkan smoge jd pedoman buat diri. sama dgn tawakal, ikhlas juga mampu cetuskan keajaiban hidup, kerana ikhlas jugalah penentu amalan kite diterima /ditolak..
    sama juga dgn hal menulis, berusahalah menulis dgn ikhlas, bukan utk berbangga dgn ilmu yg ada, bukan utk kata diri hebat ramai peminat, tetapi cubalah utk ikhlas... krn siapa tahu tulisan kita inilah 'pembantu' menambah saham di alam sana. semoga terus menulis, syg andai bakat x diguna ke jalan Allah..=)
    dari, ummu aisya humaira

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah...semoga saudari juga dapat melakukan perkara yang sama, kerana menulis bukanlah untuk menunjukkan kita tahu, tapi menulis adalah sebahagian wadah untuk mencetuskan mahu untuk manusia...

      Delete
    2. ummu aisya humairaJune 19, 2012 at 9:46 PM

      mmg rase terkena kmbali...erk.ape maksud saudara 'mencetuskan mahu'? boleh sy tau

      Delete
    3. Menulis sebenarnya bukan untuk menunjukkan kita tahu..tapi lebih lagi mencetuskan para pembaca mahu mengikuti atau mengamalkan apa yg dicoretkan...Itulah hakikat penulisan, menulis untuk saham di sana...

      Delete
  3. assalammualaikum

    alhamdulillah..seronok baca kisah ummi.

    key word 'Ikhlas dan Niat"

    Panjang ceritanya tp seronok mgikutinya.

    Jazakallahu khairan

    ReplyDelete
  4. Wslm...

    Alhamdulillah,bersama mengambil manfaatnya...
    Trime kasih sudi membacanya..
    Wajazakillahu khairan..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails