Tuesday, July 27, 2010

Umat Islam, Umat Membaca

Ilmu cahaya kehidupan


Terlalu sedikit umat ini yang membaca, daripada yang sedikit yang membaca itu, terlalu sedikit yang memahami, dan daripada sedikit yang memahami lebih sedikit yang mengamalkannya. Inilah realiti umat Islam masa kini. Biarpun pahit namun itulah realitinya.

Orang Islam sekarang tidak lagi mementingkan ilmu pengetahuan, menjadi golongan yang berilmu. Mereka sedang dilekakan oleh unsur-unsur hedonisme yang meragut khazanah pusaka tinggalan para ilmuan silam yang meninggalkan pelbagai catatan berharga. Umat Islam dilemaskan dengan hiburan yang tidak mendidik jiwa apatahlagi minda dan intelektual yang merupakan senjata ampuh dan berkesan dalam membangunkan diri, keluarga dan seterusnya umat yang kian ketinggalan ini. Membaca dirasakan terlalu berat dan tidak penting lagi. Melayan cerita, cerakarama dan movie dalam tv lebih harus diberikan keutamaan dalam hidup.

Itulah hakikat umat ini.

Walaupun pahit untuk diterima, namun itualah yang ditunjukkan orang islam kini. Umat yang malas membaca. Tiada apa lagi yang boleh dibanggakan pada umat ini. Segalanya telah ditelan zaman. Lalu bagaimanakah umat ini akan dimajukan? Apakah yang harus dijalankan untuk membangkitkan kesedaran yang kian dilupakan umat yang termulia ini? 

Bijak pandai pernah berkata,"Musuh yang bijak lebih berguna daripada kawan yang dungu!".

Seorang tokoh Yahudi pernah bersuara,"Kita tidak takut dengan orang Islam, sebab orang Islam kini orang yang malas membaca".

Malah seorang tokoh Yahudi pernah memperolok-olokkan orang Islam. Dia telah menulis sebuah buku tentang langkah-langkah untuk menjatuhkan umat Islam, tetapi mendapat kritikan daripada masyarakat Yahudi yang lain kerana dengan adanya buku itu maka segala rahsia rancangan mereka akan terbongkar diketahui oleh musuh mereka. Tokoh Yahudi itu selamba berkata,"Tak mengapa, orang Islam tidak akan membaca buku itu kerana mereka golongan yang malas membaca!".
Hakikatnya membaca bukanlah suatu hobi, tetapi membaca adalah suatu keperluan ibarat oksigen kepada nafas kehidupan umat Islam. Ia adalah satu keperluan dan tuntutan kepada umat ini bagi membangunkan kembali umat ini yang telah lama terleka. Dengan roh iqra' umat terdahulu dibangunkan, dan dengan roh itu jugalah umat Islam kini akan dibangunkan untuk kali kedua.

Bacalah...kerana dengan membaca ia membawa kepada ilmu, ilmu membawa kepada amal, dan seterusnya amal membawa kepada taqwa. Buah taqwa itulah yang menjadi sumbu kekuatan yang akan menunjang kepada perubahan rohani dan jasmani umat ini. Justeru itu, tidak hairanlah Allah s.w.t memilih kalimah iqra' (bacalah) sebagai permualaan kalimah untuk mengajar Nabi Muhammad dalam membangunkan bangsa dan umat Islam. Dan itulah perkara yang utama dan pertama untuk bertindak sebagai khalifah Allah di muka bumi-Nya.

Satu statistik pernah dibuat oleh Dr. Raghib al-Sirjani seorang ahli akademik mengenai budaya membaca dikalangan rakyat negara Jepun, Eropah dan Arab. Berikut adalah hasil data yang beliau simpulkan menunjukkan berapa buah buku yang dibaca rakyat masing-masing dalam satu tahun:-

Jepun - 40 buah buku setahun
Eropah - 10 buah buku setahun
Arab - 20 helaian setahun

Statistik yang dijalankan oleh pihak tempatan Malaysia pernah mencatatkan bahawa purata rakyat Malaysia hanya membaca 2 muka surat setahun! Sungguh menyedihkan. Maka tidak hairanlah orang Islam pada hari ini masih ketinggalan jauh berbanding bangsa lain. Umat Islam terpaksa bergantung kepada orang kafir untuk memenuhi segala keperluan mereka baik dari segi ilmu pengetahuan sehinggalah kepada teknologi.

Maka, apakah solusi kita terhadap kelemahan kita ini? Hanya duduk diam menunggu orang lain sahaja yang melakukannya? Kita mengharapkan sebahagian sahaja daripada kita berusaha untuk memajukan umat ini sedang kita masih tidak mahu mengubah cara hidup kita yang sangat membuang masa dengan perkara yang lalai dan hanya menonton tv?

Ya, itulah yang perlu kita buang dari tabiat peribadi. Ramai yang lebih suka menonton dari mengkaji. Ramai yang suka menelan bulat-bulat berita yang disampaikan di kedai kopi daripada memcari maklumat yang asal di dalam buku dan sebagainya. Hasilnya jadilah kita umat yang membebankan yang sudah lama terbeban oleh pelbagai beban.

Solusi
Solusinya ialah kita bangkitkan kesedaran dalam diri sendiri pentingnya untuk kita membina budaya ilmu. Budaya yang menerapkan kepentingan membaca di setiap peringkat, setiap masa di mana sahaja. Buangkan sifat malas dalam diri, sebaliknya tanamkan tekad dalam diri bahawa aku membaca kerana kewajipan ke atas diriku untuk membangunkan umat ini. Tidak sesekali aku mahu menjadi beban kepada umat ini. Untuk itu, marilah kita menjadi orang yang berilmu dan 'mengilmu' kan orang lain. Maka bermujahadahlah. Semoga darjat kita dinaikkan oleh Allah.

"Sebaik-baik daripada kalangan kamu adalah mereka yang bermanfaat untuk orang lain".(Al-Hadith)

Oleh itu, akhir kata marilah kita 'menyediakan' diri kita supaya bermanfaat untuk orang lain...

Wednesday, July 21, 2010

Mujahadah Mencari Rindu-Mu



Puas sudah
Ku cari kebahagian
Di sisi teman-teman
Ku dapat hanya kelalaian

Ku cari lagi
Di hati seorang kekasih
Ku dapat hanya kekecewaan

Dan ku terus mencari
Dalam meniti hari
Penuh kekosongan

Oh, di mana lagi harus ku mencari
Membawa sekeping hati
Yang sarat kerinduan
Rindu yang tiada haluan
Aku keliru sendiri
Apa yang ku cari?
Apa yang ku perlukan?
Aku masih tidak bisa mengerti
Yang pasti
Kekosongan hati ini minta diisi

Sejenak ku tersedar
Aku mencari cinta agung
Buat jiwaku yang merindukan
Hakikat kebenaran
Cahaya yang membelah kegelapan
Melimpah cemerlang mengisi kekosongan

Ku sedar
Destinasi pencarianku di sini
Ku mencari-Mu Tuhan
Mengharap keredaan
Menagih kebahagian
Dari sinar cahaya iman
Untuk ku buat pedoman

Tuesday, July 20, 2010

MENGHENDAP DORONG PENGUATKUASA AGAMA TERIMA RASUAH SEKS



KUALA LUMPUR 28 Mei - Pengarah Akademi Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi mendakwa amalan menghendap dalam tatacara kerja penguat kuasa agama yang dilaksanakan sekarang mendorong mereka ke arah rasuah seks.

Monday, July 19, 2010

FIKIR DALAM ZIKIR



Dalam kehidupan seharian, tanpa kita sedari kadag-kadang kita membuat satu tindakan tanpa melalui pemikiran menggunakan akal yang telah diberikan oleh Allah ini. Seringkali saja kita menyalahkan pihak lain ataupun persekitaran di atas sesuatu perkara dan kadang-kadang perkara yang kita persalahkan tersebut bukanlah dalam kawalan kita sebagai manusia. Justeru sebenarnya tanpa kita sedari kita telah meletakkan kesalahan kepada yang tidak selayaknya. Maka sebagai menghargai kejadian kita yang sempurna melebihi makhluk-makhluk yang lain, penggunaan akal dalam berfikir hendaklah membawa kita ke suatu tahap untuk mencapai zikir kepada-Nya. Ya, itulah hakikat tugas akal yang hakiki, birfikir untuk berzikir.

Marilah kita ikuti kisah seorang lelaki bersama tembikainya. Dengan sebiji tembikai, dia dapat mengjak isterinya untuk berfikir tentang hakikat buah tembikai tersebut yang akhirnya membawa kepadanya untuk berfikir tentang Allah. Sekecil-kecil perkara pun, jika kita mengaitkan dia dengan Pencipta, maka jawapan akhir akan membawa kepada zikir terhadap-Nya. Renungilah kisah tersebut dengan akal yang sentiasa berfikir serta hati yang sentiasa basah untuk berzikir.

Seorang lelaki soleh pulang ke rumah membawa sebiji tembikai. Tembikai yang dibelinya di pasar itu diserahkan kepada isterinya untuk dibelah. Sebaik sahaja tembikai itu dibelah, isteri orang soleh itu segera merasanya.Didapatinya rasa tembikai itu sangat tawar. Apalagi, keluarlah rungutan dari mulut si isteri disebabkan tembikai yang tawar itu.

Melihat keadaan isterinya yang tidak habis-habis merungut, orang soleh itu pun berkata,"Saya yang membeli tembikai itu di pasar."
"Ya, saya tahu,"jawab isterinya.
"Pada pendapat awak, ketika saya membeli tembikai di pasar tadi... apakah saya menginginkan tembikai yang manis atau tawar?"
"Tentu awak hendak yang manis,"jawab isterinya.
"Ketika penjual buah-buahan di pasar menjual tembikai itu tadi, adakah dia ingin menjual tembikai yang manis atau yang tawar?"tanya orang soleh itu lagi.
"Tentu sahaja dia hendak menjual tembikai yang manis."jawab isterinya lagi.
Orang soleh itu berhenti sejenak. Kemudian dia bertanya lagi,"Ketika peraih buah tembikai itu menjual hasil tanamannya kepada penjual di pasar itu, apakah dia hendak menjual tembikai yang manis atau yang tawar?"
"Tembikai yang manis, tentunya."
"Ketika pekebun menanam pokok tembikainya dahulu, apakah dia inginkan buah yang manis atau yang tawar?"
"Ketika awak membelah buah tembikai sebentar tadi, adakah awak inginkan buah yang manis atau yang tawar?"
"Saya inginkan yang manis... Kenapa dengan semua pertanyaan ini?"soal isteri.
Orang soleh itu tersenyum, lalu berkata,"Ketika semua inginkan buah yang manis, sebaliknya pula yang berlaku. Buah tembikai itu tawar rasanya!"
"Jadi, ketika awak marah-marah tentang rasa tembikai yang tawar, awak sebenarnya marahkan siapa? Bukankah semua inginkan buah yang manis. Tapi kuasa Allah yang memutuskan buah itu tawar rasanya. Jadi awak marahkan siapa? Marahkan saya yang membeli atau awak yang membelah, atau pekedai yang menjual atau penanam yang menanam? Atau Allah yang menentukan rasa tawar itu?"

Kadangkala perkara yang besar kita menganggap ianya remah dan sebaliknya benda yang kecil kita membesar-besarkannya melebihi had yang sepatutnya. Sebaiknya letakkan lah ia pada kadar sepatutnya. Percakapan yang baik adalah yang bermanfaat dan memberi kesan kepada pendengarnya. Dan kesan itu lahir daripada akal yang sentiasa berfikir untuk melahirkan zikir dalam diri seterusnya zikirnya itu terlimpah kepada orang sekeliling mereka. Fikir untuk zikir.

Friday, July 16, 2010

Serikandi Idaman

Jadilah kau serikandiku seperti mawar yang dilindungi duri sebagai bentengnya


Serikandiku,

Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya diciptakan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau ingin menyerah diri pada sang kumbang?

Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagar duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Serikandiku,

Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sembarangan, jadilah dirimu hanya sekuntum bunga yang indah tapi sayang tidak berduri. Kau tidak lagi dimahkotakan sebagai si mawar berduri.

Sesungguhnya utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu,
"Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita." Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka?

Ingatlah wahai serikandiku,

Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang khusus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.

Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredaan Allah, bertunjangkan ilmu dan kebenaran, bersulamkan akhlak penuh menawan. Sesungguhnya wanita solehah menjadi idaman setiap insan soleh bernama Adam.
"Wanita yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik..."

Related Posts with Thumbnails