Friday, September 24, 2010

Kenapa Ia Dikritrik Begitu Skali


Sedikit sedih rasanya apabila melihat komen-komen yang saya lihat tanpa perhalusan yang lebih tentang Sekolah Harapan di Melaka yang rata-ratanya di buat oleh kebanyakkan sahabat saya yang berjiwa da'ie. Apakah motif disebalik kritikan tersebut berunsurkan dengan fikrah politik masing-masing? Apa sahaja yang dibawa oleh golongan parti yang ditentang, maka segala perkara yang dilaksanakan juga harus ditentang. Adakah ini yang ingin cuba ditonjolkan? Jika inilah pemikiran yang cuba dibawakan, maka tiada kata-kata lain yang saya dapat berikan untuk mereka yang tertutup dengan ideologi yang tidak berapa matang ini. Apakah jika kita penyokong PAS, kita harus menentang semua perkara baik yang dianjurkan oleh UMNO? Apakah jika kita  penyokong kuat Barisan Nasional, segala yang buruk itu hanya ada pada Pakatan Rakyat? Sama-samalah kita fikirkan.

"Penubuhan Sekolah Harapan akan menyebabkan gejala zina akan meningkat kerana mereka tahu mereka mempunyai tempat untuk dituju......" lebih kurang begitulah komen dari seorang sahabat dalam facebook.

Saya menggeleng-geleng kepala apabila membaca beberapa komen yang agak kurang matang seperti ini. Komen yang diberikan secara tanpa melihat dimensi yang lebih luas. Narrow minded. Itulah agaknya istilah yang sesuai. Persolan yang berlegar di dalam kepala tatkala membaca komen tersebut,"hai, kalau sekolah harapan ini tiada, gejala zina menurun ke? Tiba-tiba pula boleh buat conclussion macam itu". Pening kepala sebentar membaca komen-komen sebegitu. Maksudnya begini, jika sekolah harapan banyak ditubuhkan, maka makin banyaklah zina berlaku. Jika sekolah harapan itu ditutup, maka gejala zina dapat dikurangkan. Begitulah agaknya maksud komen tersebut.

Jadi apa yang saya cuba lontarkan mungkin bernada berlawan arah dan mungkin berlaku pertembungan dua angin dari arah yang bertentangan. Tetapi ia tetap juga sebuah pandangan ~ bersiap sedia untuk ditempelak dan dkritik. Huhuhu

Jadi point utamanya apakah penubuhan sekolah harapan inilah yang menyebabkan gejala zina dan pembuangan bayi meningkat? Jika ia menyebabkan peningkatan, maka penubuhan sekolah tersebut harus ditentang. Tetapi bagaimanakah pula sekolah-sekolah yang lain yang berwajah sama tetapi berlainan nama seperti Raudhatus Sakinah yang ditubuhkan oleh Jemaah Islamiah Malaysia (JIM), Sri Puteri dan seumpama dengannya? Bukankah penempatan-penempatan ini memainkan peranan yang serupa? Jadi di mana sebenarnya 'duri' yang patut dicungkil? Penubuhan sekolah harapan tersebut atau 'perangsang-perangsang' yang ada disekililing kita yang membawa kepada zina?

Jika kita tidak mampu untuk menyediakan wasilah bagi mereka yang mengharapkan hidayah setelah tergelincir dalam gelanggang maksiat, usahlah kita menjadi batu penghalang untuk membantutkan usaha-usaha tersebut. Kasihankanlah mereka, mereka memerlukan sokongan moral dan bantuan untuk bangun semula. Dimanakah tempat lagi mereka boleh pergi selepas 'kita' sendiri menolak mereka di atas keterlanjuran yang mereka lakukan. Dimanakah tempat yang masih sudi menerima mereka bagi menyediakan juadah kerohanian untuk mensucikan kembali noda-noda yang pernah terlekat. Usahlah kita hanya hebat mulut mengkritik sana sini, tetapi tidak mampu menyediakan saluran yang lebih baik. Jika benar engkau seorang pendakwah, maka gunakanlah ia dalam medan ini. Mereka dahagakan ilmu, menambakan sokongan moral dan sentuhan rohani. Maka jangan menutup 'pintu' mereka ini untuk berusaha memperbaiki diri.

Persoalan yang utama sekarang adalah untuk mengawal perkara di dalam lingkungan pengaruh kita. Perkara-perkara yang boleh membawa kepada perlakuan zina itulah sepatutnya harus lebih diteliti. Tutuplah pintu-pintu zina, tetapi jangan ditutup 'pintu' mereka menagih tempat untuk berubah. Tutuplah pesta-pesta hiburan yang berada dekat disekeliling kita. Halangilah anak-anak kita mengunjungi tempat tersebut. Tutuplah screen tv di rumah kita yang menonjolkan artis-artis yang menayangkan tubuh badan mereka. Kebanyakkan pintu-pintu zina sebenarnya dapat ditemui disekeliling kita bahkan mungkin terdapat di dalam rumah kita sendiri! Persoalannya, samada kita menyedarinya atau tidak. Bukanlah semua yang dicanangkan oleh kerajaan harus dikritik dan ditentang. Kalau ia baik, apalah salahnya kita sendiri yang menghulurkan sokongan dan bantuan kerana mereka juga adalah saudara seaqidah kita.

Sunday, September 19, 2010

Menangis Dalam Diam

Bismillahirrahmanirrahim....

Sudah hampir 3 minggu aku memulakan kerja setelah 'berehat' hampir 4 bulan di rumah tanpa berbuat apa-apa. Saat duduk di rumah tanpa ada kerja untuk dilakukan, maka jiwa dalaman ini memberontak,"Aku hendak kerja! Kenapa mereka lamabat sangat panggil kerja ni! Nanti aku kerja dengan company lain marah pula". Jeritan hati yang agak panas bila aku masih tidak lagi mendapat panggila untuk bekerja setelah menamatkan pengajian selama 4 tahun itu. Manakan tidak, dalam tempoh tersebut aku mendapat beberapa panggilan telefon daripada beberapa company untuk menjalani interview bagi kemasukkan pekerja baru, dan setiap kali panggilan itu aku terima, setiap kali itu jugalah hati kecil aku merenget,"apasal lah UEM ni lambat sangat panggil kerja". Itulah fikiran yang datang setiap kali panggilan interview diterima aku.

Setelah lebih kurang 4 bulan duduk berehat, barulah aku dipanggil untuk melapor diri pada 1 September 2010 di ibu pejabat UEM Group berdekatan KL Central. Saat yang ditunggu dari dulu telah tiba jua. Tetapi apabila memulakan pekerjaan, aku dapat mengesan sesuatu kelebihan yang seolah-olah telah ditarik daripada aku. Sehingga saat ini aku masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang kurang menyelesakan jiwa dan iman. Kelebihan keluasan waktu semasa bergelar pelajar cukup terasa. Aku dapat merasakan perubahan tersebut di hari pertama lagi memulakan pekerjaan. Hati aku meronta-ronta kerana waktu tersebut ditarik dan dicantas tanpa kerelaan diri. Aku hendak balik waktu itu!

Sewaktu bergelar mahasiswa di UTM, walaupun dipenuhi dengan subjek yang memeningkan kepala dan assignment yang bertimbun tetapi aku tetap juga mempunyai masa untuk diri sendiri. Aku tetap mempunyai masa untuk membaca (bukan berkenaan akademik), masih boleh menambah hafazan, mempunyai banyak masa untuk menambah amalan khusus yang sunat. Tetapi sekarang seolah-olah semua itu telah pergi dan waktu ia akan pulang tidak tahu bila. Aku rindu itu semua. Rindu, rindu, rindu..Rindu dengan suasana tarbiyah di medan ilmu.

Satu perkara lagi yang menyeksakan batin cadalah citarasa 'up-to-date' fesyen masyarakat KL ini . Hampir tiada lagi kelihatan wanita-wanita berjubah dan bertudung labuh yang mudah aku temui sewaktu bergelar pelajar. Fitrah hati manusia yang suka melihat sesuatu yang menepati syariat. Tetapi yang ada sekarang, wanita yang berpakaian yang tidak cukup kain di bahagian dada, skirt paras lutut untuk menampakkan peha yang melepak dan pelbagai fesyen yang menyeksakan mata. Bagaimankah aku hendak menambahkan hafazan, usahkan menambah, mengekalkannya sahaja sudah menjadi semakin susah. Ya Allah, beratnya ujian ini. Aduhai Tuhan, mengapakah aku diletakkan di tempat begini? Adakah ini antara ujian untukku lantas Engkau mengetahui niatku untuk menamatkan zaman 'keseoranganku' secepat mungkin. Jika itulah sebabnya, aku terima dan mengharapkan bantuan-Mu, ya Allah.

Semoga hari-hari yang mendatang menjanjikan perubahan yang lebih baik untuk diriku. Tekad diriku untuk menjadi hafiz akan cuba untuk aku capai. Mungkin waktunya aku sendiri tidak dapat jangkakan lantaran cengkeman waktu akibat telah memasuki alam pekerjaan yang sangat menghimpit. Mungkin setahun, dua tahun, atau 20 tahun akan datang? Apa yang penting sekarang, azamku untuk menyematkan kalimah mulia Al-Quran 30 juzuk di dalam hati akan aku usahakan bersungguh-sungguh. Lillahi Ta'ala...


Related Posts with Thumbnails