Bismillahirrahmanirrahim....
Syukur alhamdulillah saya masih lagi berkesempatan untuk mengupdate teratak ini walaupun kelelahan demi kelelahan, kepenatan demi kepenatan sepanjang seminggu bekerja. Mana tidaknya, dulu bekerja duduk di depan komputer hanya membaca di skrin monitor, tetapi sekarang telah berpindah tempat kerja, maka kilang pula menjadi tempat permainan untuk bersuka ria.
Memang penat. Maaf kepada rakan blogger kerana tidak sempat membuat blog walking ke laman anda. Bayangkan duduk di office menghadap skrin komputer sudah terasa penat pada sebelah malamnya, ini kan pula berjalan-jalan mengelilingi kilang yang panas dan penuh berdebu. Kepenatannya adalah ganda kuasa dua! Anda tidak percaya? Kalau tidak percaya sudah. Nanti post selepas ini saya akan upload gambar kilang saya untuk membuktikan saya tidak bersalah kerana tidak membuat blog walking ke blog anda.
Tak apa, selepas ini saya akan cuba untuk memperuntukkan sedikit waktu untuk melawat ke teratak pengujung setia blog ini. Kesian pula rasanya, dia lawat blog kita, kita tidak melawat ke blog dia. Jangan merajuk ya...(^_~)
Suatu kecil dahulu saya mempunyai banyak cita-cita. Terlihat kelibat pegawai polis di kaca TV dengan pakaian yang kemas dengan beruniform ditambah dengan tugasnya yang sentiasa menampakkan watak 'hero' menangkap pelaku jenayah menyebabkan saya jatuh hati untuk menjadikannya sebagai cita-cita saya.
Lalu apabila setiap hujung penggal persekolahan, lalu ruangan cita-cita pada report card saya akan terisi:-
Cita-cita 1: Polis
Cita-cita 2: Pegawai Bank
Cita-cita yang berubah mengikut kesukaan diri yang berubah-berubah pada watak yang didedahkan kepada diri saya. Ya, pendedahan watak secara langsung melalui kehidupan seharian atau secara tidak langsung melalui lakonan di kaca TV memang mempengaruhi minda.
Jadi memang benarlah apa yang dikatakan, jika kita menunjukkan peranan dan tingkah laku yang baik pada orang sekeliling, maka mereka tidak pernah gagal dalam meneladaninya, lebih-lebih lagi kepada orang yang anda mempunyai pengaruh kuat ke atasnya seperti adik-adik ataupun anak-anak.
Jika anda seorang yang ulat buku, anda akan dapati kecenderungan yang sama akan berlaku pada orang sekeliling anda. Ini lebih kuat kesannya kepada ahli keluarga yang terdekat. Jika anda seorang yang pembersih, kemas dan teratur, maka anda akan lihat mereka (adik-adik) akan cuba menjadikan kecomelan kita menjadi kecomelannya. Saya katakan atas dasar realiti dan pengalaman. Sebab mereka di bawah pengawalan kita, jadi 'aura' yang kita tempiaskan kepada mereka akan lebih bermakna.
Pulak dah. Dah main aura-aura dah. Cerita ultraman mana pula dia tengok ni...=D
Untuk abang atau kakak kita, aura nya kurang kuat sikit sebab sinaran ultra nya tidak begitu terasa kerana mereka sudah tidak di bawah penguasaan kita.
"Jadi memang benarlah, anak-anak mungkin gagal untuk mengikuti cakap ibu bapanya. Tetapi anak-anak tidak pernah gagal untuk meneladani tingkah laku mereka. Kerana otak manusia akan lebih terakam gambaran (perbuatan) berbanding percakapan. Maka sedikitkan arahan, perbanyakkan gambaran (perbuatan) yang baik. Itulah sebaik-baik asas dalam pendidikan anak-anak. Jika tiada anak, adik pun boleh".
Kenapa cita-cita nombor 2 nak jadi pegawai bank ya? Soalan cepu emas kepada anda...=)
Pendidikan awal yang saya terima adalah seawal usia 4 tahun seingat saya. Saya telah dimasukkan ke Madrasah al-Islamiyyah Brickfields. Di sanalah saya diajar al-quran, hadis, fiqh, sirah dan lain-lain. Kebanyakkan pelajaran berbentuk hafalan. Sesuai lah dengan usia 'tua' saya pada waktu itu. Apabila diberi hadis, hafal. Diajar hukum-hukum tajwid dan makhrajnya, hafal. Disuap dengan pelajaran fiqh, hafal. Semuanya berkisar hafal, hafal, hafal. Tiada lain selain hafal.
"Kalau suka belajar agama, nanti dah besar abah hantar ke Mesir", cakap abah yang sewaktu itu saya telah menjangkau umur 9-10 tahun.
Abah bukanlah seorang yang memaksa anak-anaknya untuk menjadi itu dan ini. Abah saya seorang yang simple,
"Anak-anak abah nak kerja apa, abah tak kisah. Asalkan dapat bina kehidupan bila dah besar nanti, cukuplah. Tak ada apa-apa yang lain yang abah harapkan",begitulah kata-kata abah.
Kata-kata abah untuk menghantar saya ke Mesir bukanlah sebab abah ingin anaknya untuk menjadi seorang ustaz. Abah terbuka. Tetapi abah melihat pencapaian saya dalam subjek agama memang memberangsangkan. Bahkan di sekolah agama rakyat, saya pernah mendapat markah penuh untuk subjek fiqh dan al-quran Memang benar, apabila saya memasuki sekolah agama rakyat, saya merasakan pelajarannya terlalu mudah. Bukan untuk mendabik dada atau meninggi diri, kerana hakikatnya apa yang saya belajar di sekolah agama tersebut telah saya hafal bermula dari umur 4 tahun!
Apa yang hendak dihairankan, kebanyakkan yang diajar di sekolah agama telah saya belajar seawal umur 4 tahun dan telah kemas dalam hafalan. Ditambah pula pada usia seawal sedemikian, titik-titik dosa masih belum terhinggap pada hati menyebabkan hafalan terlekat lama dan utuh. Itulah kelebihan menjadi kanak-kanak. Benda yang sukar menjadi mudah.
"Hafalan al-quran sewaktu kanak-kanak seumpama ukiran seni yang dipahat pada batu. Ia akan bertahan lama dan tidak mudah hilang. Sebaliknya hafalan al-quran orang dewasa umpama ukiran lukisan di atas pepasiran pantai. Ia mudah sekali untuk hilang walau dengn sekali sapuan desiran ombak di persisiran".
Jadi kalau ingin menjadikan bakal anak tuan-tuan dan puan-puan menjadi hafiz dan hafizah. Maka mulakan dari kecil. Mak bapak nya hafal lah sekali. Janganlah nak anak hafal quran, tapi mak bapak duduk layan cerita doremon!
Dipendekkan cerita, atas sebab tertentu saya tidak dapat memohon untuk memasuki sekolah menengah aliran agama. Sebaliknya saya ditawarkan untuk meneruskan pengajian di MRSM. Di sana saya meneruskan kehidupan awal remaja saya sehinggalah saya menamatkan SPM.
Maka, sebenarnya di sinilah fokus utama terhadapa apa yang saya hendak ceritakan buat perkongsian bersama. Mengurai hikmah disebalik taqdir yang telah dituliskan penanya. Setelah mendapat keputusan SPM, saya menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke oversea. Jiwa muda membakar membara untuk menghirup pengalaman di negara orang. Cita-cita yang bersinar bak umpama kilauan bintang yang sinarnya begitu indah di pandang mata seindah impian cita-cita yang ditanam dalam hati untuk memilikinya.
Saya apply saluran-saluran yang ada yang menyediakan peluang bagi orang-orang seperti saya yang mengidamkan untuk melanjutkan pelajaran ke oversea. Satu persatu permohonan dicop sebagai tidak berjaya. Sedih dan kecewa menghambat diri. Saya redha.
Saya meneruskan rehlah pencarian ilmu ke Kolej Matrikulasi Melaka. Alhamdulillah. Saya cemerlang di sana. Setelah menamatkan 2 semester di matrikulasi, pencarian ilmu diteruskan. Saya sedar bahawa impian untuk menjejakkan kaki ke negara orang harus dilupakan. Saya akur. Saya harus melakukan yang terbaik untuk peluang yang berbaki.
Bak kata orang, sesungguhnya Allah menunda permintaan kita untuk memberikan yang lebih baik buat kita. Saya mendapat tawaran daripada Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Teknologi Malaysia. Kedua-dua universiti yang gah dalam bidang teknologi untuk saya terokai dikurniakan-Nya untuk saya sebagai pujukan-Nya terhadap sedu tangisan diri. Saya bersyukur.
Pujukan-Nya tidak terhenti di situ. Dia anugerahi saya dengan 2 tawaran biasiswa untuk dipilih bagi menaja pelajaran saya. Subhanallah. Kesyukuran yang menurunkan nikmat. Nikmat buat insan yang sentiasa redha terhadap pemberiannya.
"Memang sesuatu perkara yang kita sangat idamkan kadang-kala kita gagal mendapatkannya walaupun telah berhempas pulas kita berusaha mendapatkannya. Kita pasti berasa sedih dan hampa. Tetapi ingatlah, sebenarnya 'kehampaan' yang diberikan Allah kepada kita itulah sebenarnya kurniaan buat kita. Kurniaan yang didatangkan dalam bentuk kehampaan. Ia hanya akan disedari oleh orang yang mahu merungkaikan hikmah disebaliknya".
Kadang-kadang kita selalu terfikir apakah hikmah disebalik kejadian yang menimpa. Kita berfikir berkali-kali tetapi gagal merungkaikan hikmahnya. Kita gagal merungkaikannya kerana tabiat 'hikmah' itu sendiri kadang-kala mengambil masa untuk kita memahaminya. Ia datang secara berperingkat dan beratur. Itulah kebijaksaan si Pengaturnya. Dia datangkan sedikit demi sedikit untuk kita perlahan-perlahan meneguk satu persatu butiran mutiara yang disimpan untuk kita supaya nikmat yang disimpan itu akan lebih terasa.
"Perempuan sana awak belanja sekotak rokok, bayar sekali minuman arak-arak dia. Dah boleh ajak tidur dah. Senang sangat",cerita manager yang menguruskan urusan biasiswa saya tentang pengalamannya study di luar negara.
"Dekat sana, 'magazine-magazine' dorang dahsyattt... Mana sama dengan sini. Berganda-ganda kali dahsyatnya. Jual tepi-tepi jalan jer. Nak dapat senang macam surat khabar",cerita beralih topik kepada 'kemudahan' dalam mengakses majalah-majalah lucah di pasaran.
"Itulah pelajar-pelajar kita yang tak tahu bawa diri, semuanya habis. Ada dulu seorang pelajar melayu ni, penuh rumah dia dengan majalah-majalah lucah. Kawan-kawan yang malas nak beli, datanglah melepak rumah dia baca. Save budget. Ada yang main perempuan, tengah-tengah semester duit dah kering. Mulalah nak pinjam sana sini. Saya kalau orang macam tu ketuk rumah saya, saya saja tak buka. Tahu sangat nak pinjam duit",luahan hati beliau tentang gelagat pelajar-pelajar melayu yang tersasar tujuan tatkala cubaan yang mendatang mengatasi curahan iman di dada.
Sejenak selepas berborak-borak dengan beliau, terdetik rasa syukur di hati. Mungkin di sana terdapat hikmah mengapa Allah tidak memilih saya untuk berhijrah ke negara orang dalam rehlah pencarian ilmu. Sebaliknya Dia memilih negara saya sendiri sebagai medan perjuangan mencari pengetahuan.
Dia tidak memilih saya untuk ke sana kerana Dia tidak mahu menghancurkan saya. Mungkin jika suatu masa dahulu saya ditaqdirkan ke sana, mungkin saya akan rosak seperti pelajar-pelajar melayu yang rosak seperti yang diceritakan. Mungkin pub dan disko tidak asing lagi buat saya. Mungkin arak menjadi minuman ringan seharian saya. Mungkin berpuluh perempuan juga telah saya tiduri. Tetapi tidak! Dia mentaqdrikan saya untuk berada di sini supaya saya menjadi manusia yang berjaya. Mungkin Dia tahu yang saya tidak kuat lantas Dia tempatkan saya di sini untuk menyelamatkan saya dari ceburan api neraka. Saya bersyukur kepada-Mu ya Allah.
Alhamdulillah...
"Cukuplah paparan kisah yang dikongsi bersama ini dapat menjadikan ia pedoman untuk merenung hikmah di sebalik nasib yang ditaqdirkan untuk kita. Anda mungkin tidak menyukai apa yang anda perbuat sekarang, tetapi ingatlah, perkara yang anda tidak sukai itulah sebenarnya perkara yang bakal anda syukuri suatu hari nanti. Bersyukurlah dan renungkanlah hikmah yang tersembunyi di sebaliknya".
Saya bersyukur terhadap segala apa yang ditaqdirkan dalam hidup saya. Saya bersyukur terhadap segala apa yang Dia kurniakan kepada saya. Mungkin saya tidak mempunyai kesempatan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi sekurang-kurangnya saya telah menjadi seorang engineer. Engineer yang berjaya. InsyaAllah.. (^_^)