Di saat tubuh badan tidak lagi memiliki kecergasan dan kesempurnaan kesihatan, di saat itulah fikiran melayang-layang merenung nikmat yang sering diabaikan iaitu semasa sihatnya. Pelbagai angan-angan dan cita-cita yang baik selalu ditangguh-tangguh sehingga lama-kelamaan hasrat yang baik tadi dibiarkan berlalu begitu saja umpama, "Desiran lembut ombak yang menyapu tepian pantai, berdikit-dikit pasir ditarik ke dasar sehingga tiada lagi pasir yang ketinggalan melainkan semuanya dihanyutkan".
Begitulah hakikatnya hidup insan. Suka bertangguh melakukan sesuatu kebaikkan sehingga akhirnya tiada lagi kebaikkan yang tinggal untuk dilaksanakan.
Dahulu, sewaktu di universiti pada musim peperiksaan. Saya mempunyai suatu sikap yang kurang tepat. Sikap yang sering bertangguh melakukan ulangkaji pelajaran disebabkan jadual peperiksaan yang mempunyai senggang waktu yang agak panjang menatijahkan sesuatu yang di luar jangkaan.
Akhirnya, saya selalu dihinggap penyakit demam sewaktu hampir-hampir kepada hari peperiksaan. Sungguh menakutkan. Mungkin itu perkataan yang boleh menyimpulkan keadaan saya sewaktu itu.
"Abah, Hadi demam, exam dah nak dekat. Kalau tak dapat buat macam mana?", soal saya kepada abah bagaikan abah pula yang hendak menduduki kertas peperiksaan. Huhuhu
Kenapa saya begitu risau? Jawapannya hanya satu. Biasiswa yang saya pegang harus saya terpenuhi syaratnya. Apa syaratnya? Malas nak cerita dah.=P
"Tak apa lah, study perlahan-lahan. Minum air kosong banyak-banyak", abah yang sentiasa tenang untuk menenangkan.
Begitulah kenangan hidup silam. Sungguh mendebarkan tetapi membahagiakan.
Justeru itu, apabila hati dibisikkan untuk melakukan kebaikkan, maka lakukanlah ia dengan segera supaya ia tidak tinggal menjadi kenangan yang tidak dilaksanakan.
"Encik tahu apa salah encik?", soal seorang pegawai trafik sebaik saja menahan kereta saya di bahu jalan.
"Errr... Tak pakai tali pinggang keselamatan", balas saya dengan suara yang agak perlahan.
"Macam mana ni? Nak saya saman ke tidak?" soalan pilihan yang saya tidak punyai hak untuk memilih.
"Maaf la encik", ringkas jawapan yang diberikan kerana tidak tahu apa lagi perkataan yang harus dikeluarkan.
"Tak apa lah, kali ini saya maafkan. Tapi lain kali, saya saman", pilihan telah dimuktamadkan.
Alhamdulillah. Bagus juga kalau ramai pegawai polis macam ini. Kalau nak saman, bagi pilihan dulu kat pesalah untuk membuat keputusan perlu disaman atau tidak. Inilah yang dikatakan hak pengguna diutamakan. (^_^)
"Bila kali terakhir aku derma duit?", sentak hati untuk kembali muhasabah diri tatkala duit hampir saja diterbangkan.
Bukanlah maksud cerita saya untuk menggambarkan bahawa saya adalah seorang yang pemurah dan sering mendermakan harta, tetepi sekadar mahu berkongsi cerita dan rasa. Barangkali mungkin saya lah insan yang paling kedekut di antara semua.
Teringat kembali perbualan bersama kawan tatkala membincangkan sifat kedekut yang ada dalam diri insan. Perbincangan yang sememangnya melekatkan sesuatu dalam kotak fikiran. Ia memang mengingatkan diri untuk sentiasa beringat tentang harta yang dimiliki, elaun atau gaji yang diterima bukanlah hak milik mutlak kita sepenuhnya. Ia harus disisihkan sebahagiannya daripada kita. Terpulanglah kepada kita bagaimana cara kita memilih jalan untuk membelanjakannya.
"Hadi, aku rasa ada satu masa duit aku keluar macam air. Motor rosak, tayar pancit, pak guard saman dan macam-macam lah. Laju gila duit keluar", cetus rakan membuka perbincangan.
"Kau dah lama tak belanja aku kot", seloroh untuk menyantaikan perbualan.
"Entahlah, kadang-kadang aku check (muhasabah) balik, waktu yang banyak duit keluar tu la waktu yang aku rasa aku paling selalu berat nak infaq duit", getus perasaan meluahkan rasa.
"Aha, kadang-kadang aku pun dapat rasa juga macam tu", balas untuk mengiyakan pernyataan.
"Aku rasa semakin kita berat nak keluar (infaq) duit, semakin banyak pula duit yang ditarik keluar. Cuma bezanya, duit tu keluar kerana terpaksa", perbincangan yang akhirnya sampai kepada satu kesimpulan.
Ya, ia sampai kepada satu kesimpulan. Kesimpulan yang mengetuk fikiran bagi insan yang mahu memikirkan. Ia mungkin bersifat abstrak menyebabkan anda tidak merasakan perkara yang sama, tetapi sehingga kini saya masih menganggap ia satu hukum alam yang ditetapkan ke atas diri insan.
Hukum yang terhasil dari hati yang merenung kembali detik pengalaman silam.
Jika insan enggan mengeluarkan sebahagian harta yang dianugerahkan kepadanya untuk manfaat bersama, maka tunggu dan lihat, pasti harta itu ditarik secara paksa tanpa dapat ditahan oleh pemiliknya. Maka terpulanglah kepada kita untuk memilih samada menyerahkannya secara berpahala ataupun melihatnya mengalir tanpa mendapatkan apa-apa.
Sememangnya harta itu hakikatnya menjadi indah pada pandangan dan sukar untuk dilepaskan. Sifat zahir harta itu sendiri yang semakin dikeluarkan semakin menyusut sedikit bilangannya menyebabkan insan sukar melepaskan. Semakin banyak yang diperolehi, semakin banyak lagi pula yang dicita-cita tetapi dalam masa yang sama semakin sedikit pula yang dikongsi untuk manfaat bersama insan yang lain.
Tidak salah untuk mengumpul harta. Tapi jangan kedekut harta.
Teringat kepada nasihat seorang ustaz dalam kuliahnya yang lebih kurang berbunyi, "Ketika terdetik hati kita untuk bersedekah, maka jangan ditangguh-tangguh. Berinfaqlah di saat itu juga walaupun hanya sedikit yang kita keluarkan kerana mungkin waktu itulah waktu yang paling kita ikhlas (tidak dipengaruhi oleh apa-apa)".
Kadangkala tatkala hati berkata supaya mengeluarkan harta buat bekalan di sana, maka syaitan pun datang membisikkan perangkapnya,
"Tak payah lah nak derma-derma. Simpan je duit tu dalam bank. Cepat sikit banyak nanti".
"Ala, baik kau beli barang yang kau nak tu daripada kau derma ni, lambat lagi la kau dapat beli benda tu".
"Kau pun bukannya banyak duit sangat pun. Nak derma-derma buat apa. Baik kau simpan boleh guna buat makan mewah-mewah sikit hari-hari. Lagipun, banyak lagi orang yang banyak duit kat luar sana, orang macam tu la lebih patut dermakan duit daripada kau".
Mungkin begitulah gaya pujuk syaitan dalam mencipta alasan untuk menakut-nakutkan hati insan.
Akhir sekali, saya tahu rata-rata dari pengunjung teratak ini terdiri daripada golongan yang terdidik mindanya, ataupun dengan kata lain orang-orang yang berjaya menempatkan kaki ke institusi pengajian tinggi samada masih lagi belajar mahupun telah bekerja. Mungkin dengan kelebihan menggenggam segulung ijazah itu, anda menerima gaji setiap bulan yang dikreditkan ke dalam akaun bank anda, mungkin berangka 3 ribu, 4 ribu, 5 ribu dan sebagainya.
Oleh itu, alangkah beruntungnya kita andai kita dapat memastikan sebahagian duit yang masuk ke dalam akaun kita tersebut benar-benar menjadi 'simpanan bank' sebenar kita di akhirat sana dengan memperuntukkan sedikit daripada wang yang diterima untuk kegunaan selain untuk kepentingan diri kita. Lakukanlah pembahagian mengikut kemampuan dan keikhlasan. Itulah yang lebih utama.
Bagaimana untuk menyalurkannya juga mempunyai pelbagai jalan dan cara, samada disalurkan ke rumah-rumah Allah, infaq ke arah menyumbang tabungan amal jariah yang berpanjangan pahalanya, memberikan hadiah kepada ahli keluarga mahupun rakan taulan, dan akhir sekali kalau dah tak tahu sangat nak salur ke mana, mungkin boleh belanja saya. Saya pasti itu juga masih lagi dalam kategori berpahala. lalala =P
Semoga apabila bertemu di hadapan Allah kelak, maka ada juga perkara yang boleh kita banggakan untuk berbicara dengan-Nya.
Pastinya Allah akan bertanya, "Ya fulan, apakah yang telah engkau perbuat dengan harta yang telah Aku berikan kepada engkau sewaktu di dunia dahulu?".
"Wahai Tuhan, sewaktu di dunia dahulu gaji aku 5 ribu ringgit sebulan, setiap kali masuk gaji, 5 ringgit akan aku asingkan untuk tujuan infaq di jalan-Mu", jawab si fulan kepada Tuhannya.
Mungkin jawapan di atas akan ditertawakan jika diucapkan dihadapan teman dan taulan. Tetapi percayalah, jika dengan infaq yang dilakukan itu dibuat secara istiqamah dari hati yang ikhlas walau dengan nilai sekecil itu, pasti ia akan datang sebagai berita yang sangat menggembirakan di hari kemudian.
p/s: Kalau 5 ringgit daripada 5 ribu ringgit, nampak macam kedekut sangat pula. Tambahlah sikit lagi ya. Yang tu sebagai contoh saja. Apapun nilainya, istiqamahlah dan ikhlaslah. Itu yang lebih utama.