Saturday, July 14, 2012

Andaiku Tahu Apa Yang Tersimpan Disebalik Ujian Itu Buatku...


Jika dahulu seorang pemuda mengeluh mengenangkan betapa banyaknya ujian yang telah dia tempuhi, tetapi dia lupa sebenarnya ujian itulah telah membawa hidupnya ke saat ini. Jika seorang wanita kecewa dahulunya kerana tidak dapat mengahwini seorang lelaki yang dicintai, tetapi dengan jalan itulah dia sekarang masih lagi bahagia sehingga detik ini.

Ujian atau seringkali disama ertikan sebagai musibah sering kali dilihat atau sememangnya dilihat sebagai suatu perkara yang menyakitkan. Bahkan memang musibah itu sifatnya memeritkan. Senang untuk kita bicarakan bahawa setiap musibah itu ada tersimpan kebaikkan yang terselindung di dalamnya. Tetapi realiti untuk mengamalkan apa yang diperkata bukan semudah apa yang diperkata.

Ingat, sesungguhnya apabila musibah itu datang, ketahuilah bahawa itu petanda kebaikkan akan datang menyapa.

Ummu Salamah tatkala didatangkan musibah dengan berita kematian suaminya di medan perang. Dia sedih. Tetapi dengan kesedihan itulah didatangkan kepadanya suatu pertama berharga bersuamikan seorang manusia yang termulia daripada seluruh kalangan manusia.

Suka saya berkongsi kisah nyata seorang ayah bertemu hidayah dengan kelahiran anak yang cacat penglihatan. Tiadalah dugaan yang lebih besar bagi pasangan suami isteri yang menanti kelahiran pertama mereka melainkan mendapat anak yang tidak sempurna sifat.

Dia begitu kecewa dengan kehadiran bayi itu disisi keluarga sehingga dia berkata,"Aku tidak membencinya, tetapi aku juga tidak dapat menyayanginya".

Begitulah kekecewaannya sehingga membungkamkankan nilai kasih seorang ayah terhadap anak kecilnya.

"Aku tidak memberikan perhatian kepada Salim sehingga aku berpura-pura seperti dia tiada di sisi keluarga kami di rumah", ujarnya bagaimana detik Salim diperlakukan di rumah.

Anak kecil yang dilayan bukan sebagai anak kecil. Hanya kerana kekurangan pada penglihatan mata. Tangis esak kecilnya seperti tidak didengari oleh seorang bernama sang ayah. Bahkan ayah kepada anak kecil bernama Salim itu, tegar keluar daripada bilik untuk tidur di tempat lain semata-mata untuk mengelak mendengar suara esak tangisan bayinya.

Tetapi segalanya berubah apabila suatu hari Salim menangis teresak-esak tanpa diketahui punca. Hati ayah tetap seorang ayah. Sejauh manapun seorang ayah cuba lari daripada anaknya, sesungguhnya fitrahnya tidak dapat lari dari ikatan itu.

"Patutkah aku melihat apakah perkara yang menyebabkan Salim menangis?", soalnya teragak-agak di dalam hati.

"Salim apakah yang menyebabkan engkau menangis?", naluri seorang ayah tiba-tiba terdetik di dalam hati.

"Sekarang ayah baru perasan akan saya? Hanya setelah 10 tahun anakmu di sini?", luahan dari hati kecil seorang anak kecil.

Salim masuk ke dalam biliknya. Umar, adik kepada Salim yang biasa membawa Salim ke masjid untuk bersolat terlewat tidak seperti kebiasaan. Salim menangis kerana menunggu adiknya yang tidak pulang lagi. Salim menangis kerana takut tidak dapat berada di saf pertama, lebih-lebih lagi hari itu hari Jumaat.

"Oh Salim, kerana inikah engkau menangis?", tanya ayahnya kepada Salim yang tanpa tahu sebabnya tiba-tiba menitiskan air mata.

"Salim, jangan sedih. Engkau tahu siapa yang akan membawa engkau ke masjid hari ini?", watak seorang ayah tiba-tiba menjelma.

"Tentulah Umar", Salim menjawab.

"Tidak Salim, ayahlah yang akan membawa kamu ke masjid hari ini", pujuk ayahnya yang dahulunya tidak pernah mengendahkan dirinya.

Ayah Salim yang tidak pernah mengenal sujud, akhirnya rebah bersujud. Itulah pertama kali yang menggetarkan hatinya, menimbulkan rasa takut dalam benaknya.

Kekesalan berputik dalam sanubarinya.

Selepas solat, Salim meminta mushaf al-Quran dihulurkan. Ayahnya tergamam. Bagaimana anak kecilnya yang buta matanya boleh membaca al-Quran.

Tetapi betapa terkejutnya dia apabila mendapati bahawa surah al-Kahfi sudah sebati di dalam dada anak kecilnya.

Dia menangis.

Sehinggalah ayah Salim insaf dan menemukan titik perubahan. Perubahan yang membolak seluruh titik kehidupannya ke arah yang bertentangan semaza zaman jahiliyyahnya..

Tetapi, taqdir mendahului perancangan manusia. Salim meninggal dunia tatkala ayahnya mengikuti jemaah atas usaha dakwah. Betapa sedihnya hati seorang ayah bila buah hatinya pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Bahkan ayahnya tidak sempat untuk menatap wajah kecil manusia yang telah menemukan titik cahaya dalam hidupnya buat kali terakhir.

Anaknya yang dahulunya tidak dihiraukan, tetapi beruabah menjadi anak yang paling disayangi dikalangan abang-abang mereka.

"Bagaimana aku tidak mencintainya? Sedangkan petunjuk dalam hidupku ini melalui tangannya!", tangis yang berpanjangan sehigga ke saat ini.

Kadang-kala kita berasa hampa dengan kehadiran sesuatu yang kita panggil ia sebagai ujian. Tetapi sebenarnya, kehampaan yang didatangkan kepada kita itulah kurniaan yang paling besar buat kita. Kurniaan yang diwajahkan dalam bentuk kehampaan.

Teringat saya kepada sebuah kisah yang diceritakan dalam majalah al-Islam. Bagaimana seorang pemuda yang sihat dari Sarawak ditimpakan kepadanya penyakit lumpuh. Lalu hari-harinya bertukar tidak seperti dulu, kini harinya dipenuhi dengan esak tangisan penyesalan terhadapa nasib diri yang menimpa.

Hampir putus seluruh semangat hidupnya.

Tetapi hari-hari beliau tetap diteruskan dengan setiap waktu dikelilingi oleh doktor dan jururawat di hospital. Keluarganya kini adalah pesakit disekeliling. Bualnya manjanya dihabiskan bersama jiran katil sakit bersebelahan. Tetapi tidak lama senggang waktu selepas itu, dia akhirnya menemui cahaya hidayah.

Cahaya Islam mula menerobos sedikit demi sedikit hingga ke dasar hatinya.

Akhirnya dia menerima Islam sebagai jalan hidupnya. Cahaya yang dia hanya dapat apabila menghuni hospital tatkala telah lumpuh tubuh badannya.

"Sebenarnya aku lebih beruntung apabila menjadi lumpuh berbanding sebelum menjadi lumpuh!", luahan hati yang kini berbeza nada berbanding sebelumnya.

Bagaimana tidak demikian, hanya setelah menjadi lumpuh baru dirinya berjaya menggapai sinar penyelamat urusan akhiratnya. Sinar yang akan menentukan haluan rumah yang akan diduduki di akhirat buat selama-lamanya. Sama ada taman di syurga ataupun di sangkar neraka!

Kita mungkin tidak suka apa yang terjadi kepada kita sekarang. Tetapi ingatlah, perkara yang kita tidak suka itulah yang akan menjadi perkara yang kita syukuri suatu hari nanti.

Justeru, kita lihat ramai manusia yang tidak berjaya dibawa kepada perubahan kebaikkan melainkan didatangkan kepadanya ujian. Dahulunya mungkin dia lah orang yang paling banyak meninggalkan solat, tetapi selepas tersungkur dilanda badai musibah, dia lah orang yang paling banyak duduk bersingkuh di dalam tahajuj menghadap Tuhannya sambil mengadah tangan berdoa,

"Ya Allah, ampunkanlah aku. Ampunkahlah dosa-dosa aku.".

Oleh itu, kadang-kala ujian atau musibah itu sifatnya halus. Ia memerlukan masa untuk memahaminya. Tetapi sekali kita sudah mengetahui hikmah yang terkandung disebaliknya, pasti perkara itu menjadi perkara yang paling disyukuri nikmatya. Tidak mustahil akan terbit di hujung lidahnya,

"Andaiku tahu apa yang tersimpan disebalik ujian itu buatku...."

Paparan penuh kisah Salim boleh ditonton seperti dibawah:



Monday, June 18, 2012

Ikhlas Itu Ajaib


Saat jari ingin menitipkan sesuatu, ssat itu fikiran menjadi terbelenggu apa yang mahu dititipkan. Bukan tidak mahu istiqamah, tetapi bukan mudah untuk beristiqamah.

Jika saya salah tolong perbetulkan, seingat saya, suatu ketika dahulu ada pernah terbaca imam as-Syafie apabila mengatakan tentang hadis mengenai niat, "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya...". Kata Imam as-Syafie,"Hadis ini sudah merangkumi satu pertiga dalam Islam".

Sungguh tersirat dan besar apa yang ingin disampaikan.

Anjuran untuk meluruskan niat.

Niat perbuatan hati. Tiada siapa tahu apa yang diniatkan di dalam hati seseorang melainkan Pencipta hati itu sendiri. Oleh itu point pertama yang saya ingin catatkan di sini sebelum menuju kepada isi utama adalah jika ada orang yang memberikan seseuatu atau manfaat atau apa jua kebaikkan, maka usahlah ditanya,

"Ni ikhlas ke bagi ni?"

"Ni nak tolong ni, ikhlas tak?"

"Ni buat baik ni, ikhlas ke atau ada apa-apa?"

Sekali lagi perlu kita ingat, ikhlas itu bukanlah tugas seorang hamba untuk menilainya. Jika didatangkan kepada kita seseorang menaburkan kebaikkan dan menyatakan bahawa dia ikhlas, hakikatnya dia sendiripun tidak mengetahui sejauhmana keikhlasannya.

Kerana hamba tidak mungkin dapat menggalas kerja Tuhan hamba. Justeru, jika kita ditabur dengan kebaikkan, usah dipanjangkan dengan persoalan keikhlasannya. Bahkan jika tersalah tempat, pertanyaan seperti itu boleh menjentik rasa lara hati seorang manusia yang mungkin terlalu halus isi hatinya tatkala dipersoalkan tentang kebaikkan yang dilakukannya.

Oleh itu, apabila dihadapkan dengan kebaikkan, cukuplah datangkan rasa syukur dan terbitkanlah ucapan terima kasih kepada pelakunya. Mungkin ucapan,'Jazakallahu khairan' atau 'Semoga Allah membalas kamu dengan kebaikkan' dapat dituturkan kerana ia lantas lebih mendekati sunnah, dan mudah-mudahan kebaikkan yang serupa atau lebih baik dibentangkan pula kepada pelakunya atas doa yang dipanjatkan.

Jadi tanamlah dalam hati, jangan sekali-kali mempersoalkan keikhlasan orang lain. Dia mungkin ikhlas atau juga mungkin tidak. Tetapi tugas kita hanyalah untuk sentiasa mendatangkan sangkaan baik tatkala ditabur dengan kebaikkan atau pemberian.

Jika anda mengetahui bahawa pendengaran anda hanya boleh berfungsi untuk selang beberapa tempoh waktu sahaja lagi, apakah perkara yang terakam dalam fikiran anda untuk menghabiskan sisa waktu yang berbaki?

Sebahagian musibah membatalkan kunjungannya tatkala seseorang sudah bersedia menyambut dan menerimanya.

 Saya tertarik dengan cerita seorang ikhwah mengenai seorang mak cik yang agak sudah tua yang menghidapi penyakit pada kedua-dua belah matanya.

"Kamu tahu bukan umi sudah tiga tahun mempunyai penyakit pada mata umi ini", luah perasaan seorang ibu tua kepadanya.

"Kalau boleh saya tahu bila mata umi sakit, rasanya bagaimana?", utas kata menyelami perasaan.

"Sepanjang masa umi berasa mata umi sakit, kering dan macam ada pasir atau batu-batu kecil pada bahagian dalam", jawab mesra seorang mak cik yang membahasakan dirinya umi.

Tiga tahun, bukanlah tempoh yang pendek. Apatahlagi disertai dengan kepayahan dan ketidakselesaan. Maka itu menambahkan lagi jarak tempoh yang sememangnya panjang itu.

Doktor berganti doktor. Ubat berganti ubat. Yang murah hinggalah yang mahal, hampir kesemuanya telah dicuba dalam rangka ikhtiar untuk mencari penawar. Usah juga diperbincang tentang duit yang telah dikeluarkan.

"Doktor kata, mata umi ini mengalami penyakit kering. Mata umi tidak boleh menghasilkan air mata lagi. Itulah yang menyebabkan rasa sakit. Jadi doktor beri ubat titis untuk gantikan fungsi air mata itu. Doktor pesan supaya umi titis setiap satu jam sekali", luahannya

"Setiap satu jam? Mesti payah kan umi", nada yang agak terperanjak saya fikir.

"Doktor cakap, kalau perlu setiap setengah jam titislah", jawabnya kembali.

Dapatkah kita bayangkan bagaimana mungkin seseorang dapat menistiskan ubat mata setiap setengah jam sepanjang hidupnya. Saya merasakan para penganggur pun akan merungut dan protes jika mereka disuruh untuk menitiskan ubat mata setiap setengah jam. Apakah tidak ada kerja lain untuk dilakukan.

Tetapi itulah jalan hidupnya. Tidak ada apa yang boleh dilakukan umi ini melainkan mengikut nasihat doktor. Waktu pergi ke pasar, terpaksa mencari tempat yang sesuai meletakkan beg untuk menistiskan ubat. Waktu menaiki bas juga begitu. Sepanjang waktu, harus ada ubat yang dititiskan ke dalam mata.

Begitulah ibu tua itu, bagaikan berdiri di jurang kebutaan. Tersalah kaki melangkah, maka kegelapan akan menyapa hidupnya.

"Kamu tahu bukan, umi tidak lancar membaca al-quran sebelum ini?", bualnya yang beralih arah.

"Sayang, dulu umi tidak membiasakan diri membaca al-quran secara istiqamah. Tetapi sekarang ini umi membaca al-quran setiap hari walaupun merangkak-rangkak tapi umi tetap meneruskannya", katanya.

"Semua ubatan doktor yang umi cuba tidak menyembuhkan mata umi membuatkan umi berfikir mata umi tidak akan sembuh lagi. Umi berasa mata umi akan menjadi buta", lidah menuturkan perasaannya.

"Tiba-tiba saja satu perasaan terlintas dalam fikiran umi, kalau mata umi ini akan jadi buta, maka umi tidak dapat lagi membaca al-quran. Jadi, selagi umi boleh melihat umi akan terus membaca al-quran sebanyak-banyaknya. Itu tekad umi. Baca al-quran sebanyak-banyaknya sebelum mata ini tidak boleh melihat lagi", sambung bicaranya.

"Maka umi pun tingkatkan bacaan al-quran daripada biasa. Kalau mata umi rasa sakit, umi berhenti sekejap dan titiskan ubat mata kemudian umi sambung balik baca al-quran. Macam itulah dari hari ke hari sampai bacaan al-quran umi sudah bertambah baik dan lancar. Sekarang ini pun sehari umi boleh menghabiskan bacaan al-quran lebih daripada satu juzuk", hatinya berbunga menuturkan kata.

Itulah kehidupan ibu tua itu sehari-hari. Matanya juga bertambah baik dari hari ke hari. Sehingga satu ketika bekalan ubat matanya habis, dia memutuskan untuk membiarkan saja matanya. Dia nekad jika matanya kembali sakit, dia akan bertemu doktor secepat mungkin.

Ajaib. Hari demi hari. Minggu berganti minggu dan tahun bersilih ganti, mata belaiu tidak pula berasa sakit seperti sebelumnya. Matanya tiba-tiba sembuh walaupun sudah bertahun-tahun sakit, sudah panjang baris botol ubat dan sudah banyak tangan doktor yang bertukar ganti tetapi masih tiada tanda untuk sembuh.

Tiba-tiba mata itu kini sembuh walaupun dahulunya bukan seorang dua doktor mengatakan bahawa mata itu tidak akan sembuh!

"Maksudnya, mata umi sudah betul-betul sembuh dan umi tidak guna lagi sebarang ubat-ubatan?", rasa hairan menyinggah di hati.

"Ya, seperti mata yang normal. Sejak dua bulan terakhir ini, umi sudah tidak menitiskan sebarang ubat ke dalam mata. Tetapi umi masih terus membaca al-quran, bahkan umi berasa lebih semangat lagi ketika membacanya", jawab yang dihiasi senyuman.

"Mungkin mata umi menjadi sembuh sebab niat umi yang hendak membaca al-quran selagi mata umi boleh melihat", soalnya.

"Mungkin juga begitu", ekspressi wajah yang terlukis menggambarkan kegembiraan.

Ada getaran tercetus di dalam jiwa saya apabila menyelusuri cerita sedemikian rupa. Tatkala ubat-ubatan gagal mendatangkan sinaran cahaya kesembuhan, ayat-ayat indah al-quran bertamu sebagai penawar. Tatkala doktor-doktor hebat gagal menemukan penyelesaian, datang rahmat Allah menitiskan belas kasihan.

Mungkin itulah cara Allah mendidik, diberikannya satu ujian di dunia, diselitkan nasihat-Nya untuk berbuat kebaikkan. Dan apabila nasihat itu diikuti, diganjari pula dengan jalan penyelesaian ditambahi dengan nikmat mengerjakan amalan kebaikkan yang berterusan.

Demikianlah betapa pentingnya pengaruh niat dalam kehidupan. Niat ingin meningkatkan bacaan al-quran pada permulaan, tiba-tiba Tuhan membukan jalan kemudahan dan menutup jalan kesusahan. Rasa pedih di mata tiba-tiba menjadi hilang, diganti pula kemudahan untuk terus melakukan kebaikkan seperti yang telah dirancang.

Justeru, didiklah diri dengan membiasakan memulai sesuatu pekerjaan dengan niat yang baik dan kesungguhan agar jalan kemudahan untuk melaksanakan kabaikkan yang dirancang terbuka di jalan hadapan.

Monday, March 26, 2012

FAMILY = (F)ather (A)nd (M)other (I) (L)ove (Y)ou

Aku terlanggar seorang asing semasa berjalan,"Oh maafkan saya, saya tak perasan". Katanya "Maafkan saya juga, saya tak nampak saudara". Kami amat bersopan dan saling menghormati, kami saling melambai sambil berlalu pergi. Tetapi di rumah, lain pula ceritanya. Bagaimana kita melayan orang tersayang, tua dan muda...

Lewat petang, ketika memasak makan malam, anak lelaki kecilku berdiri di dapur secara diam-diam, bila berpaling aku hampir-hampir melanggarnya jatuh. "Jangan buat kacau di sini, pergi main jauh-jauh!". Dia berlalu pergi, hatinya hancur luluh dan beku, aku tidak sedar betapa kasarnya kata-kataku. Sedang aku berbaring di katil mendengar muzik, terdengar suara halus datang berbisik,"Bila bersama orang tak dikenali, begitu bersopan dan merendah diri, tetapi ahli keluarga tersayang, sering dimarahi dan dicaci".

"Cubalah kau lihat di lantai dapur, kau kan temui bunga-bungaan berteraburan". "Itu adalah bunga-bunga yang dibawanya untuk kamu, dia memetiknya sendiri, kuning, biru dan ungu". "Dia berdiri senyap agar jadi kejutan buat kamu. Kamu tak pernah sedar air matanya yang sedang bertamu".

Pada tika ini, aku berasa amat kecil sekali. Air mataku mencurah ibarat air di kali. Senyap-senyap aku ke biliknya, dan melutut di katil,"Bangunlah anakku, bangunlah si kecil, apakah bunga-bunga ini dipetik untuk ibu?". Dia tersenyum,"Adik terjumpanya belakang umah di semak". "Adik memetiknya kerana ia cantik seperti ibu. Ibu tentu suka tertutamanya yang ungu".

"Maafkan ibu, atas sikap ibu hari ini, ibu tak harus menjerkah kamu sebegini". Katanya,"Oh, ibu, itu tak mengapa, saya tetap sayang ibu melebihi segalanya". Bisikku,"Anakku, ibu pun sayang kamu, dan ibu suka bunga itu, terutamanya yang ungu".


Adakah kamu sedar, sekiranya kita mati hari ini, syarikat tempat kita bekerja akan senang-senang dapat pengganti dalam hanya beberapa hari. Tetapi keluarga yang kita tinggalkan, akan merasa kehilangan kita sepanjang hayat. Dan sedarlah, sekiranya kita menghabiskan masa kepada kerja melebihi keluarga kita, adalah merupakan satu pelaburan yang tidak bijak. Bukankah begitu? Jadi apakah maksud tersirat?

Tahukah anda maksud "FAMILY"?

FAMILY = (F)ather (A)nd (M)other (I) (L)ove (Y)ou

"HARGAILAH KELUARGA ANDA"

-Nukilan Diari Muslim 2011-

Monday, February 6, 2012

Jalan Yang Luas Jangan Disempitkan

Bismillahirrahmanirrahim,

Sudah lama saya tidak beraksi di gelanggang tulisan ini. Laman tulisan yang saya gunakan untuk berkongsi buah fikiran dan pengalaman. Rehat yang sugguh lama saya rasakan. Kini saya rasakan penulisan saya akan sedikit berubah rancak dan nada. Tetapi tujuannya tetap sama, berkongsi dan terus berkongsi untuk mendapat saham saya di sana. InsyaAllah.

Setelah saya menamatkan pengajian di universiti, saya meneruskan perjalanan hidup dengan karier yang berdasarkan kemahiran pengajian di universiti. Pejam cilik, sudah setahun lebih saya meninggalkan dunia pengajian, tetapi dalam ingatan masih lagi segar dengan segala bentuk kenangan sepanjang tempoh pengajian. Ada yang buruk dan ada yang manis. Apa pun, itulah rencah kehidupan. Sedangkan makanan juga memerlukan unsur masam dan manis, apatahlagi sebuah kehidupan yang rasanya jauh lebih complicated dari sehidang masakan.

Jadi setelah tamat pengajian, saya tidak menunggu lama untuk memulakan pekerjaan. Tapi nak kata tak lama, lama juga. Oleh sebab saya merupakan pemegang biasiswa semi swasta, maka kehidupan saya setelah tamat pengjian tidak seperti rakan-rakan yang lain yang rata-ratanya pemegang  biasiswa JPA. Adakalanya saya terkilan, kerana saya tidak dapat memilih tempat dan suasana kerja yang saya inginkan kerana ikatan perjanjian yang telah dimeterai semasa persetujuan untuk memegang biasiswa tersebut.

Dalam waktu untuk menunggu dipanggil bekerja, saya menerima beberapa panggilan telefon daripada beberapa buah syarikat bertanya status pekerjaan saya, mahu tidak mahu, saya terpaksa menolak pelawaan mereka untuk menemuduga saya walaupun saya akui ada di antara syarikat itu menarik minat saya. Tetapi janji tetap janji. Seorang muslim harus berpegang kepada janji. Jadi saya melangkah maju ke hadapan untuk bekerja dengan syarikat yang sepatutnya saya bekerja.

Apabila sudah bekerja, maka serangan pun bertalu-talu tiba dari segala penjuru. Serangan yang saya sendiri tiada perisai untuk menahannya. Maka segala 'serangan' tadi saya cuba memperlahankan rentaknya dengan jawapan,"Nanti ada jodoh kahwin la, insyaAllah".

Bak kata pepatah, 'Ku sangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'. Maka saya mula memikirkan secara serius tentang saranan dan gesaan itu. Sudah tentu saya juga memikirkan untuk kebaikkan diri sendiri. Apakah lagi yang diperlukan oleh seorang lelaki yang sudah bekerjaya melainkan teman yang bernama seorang isteri. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa, saya tidak nampak apa-apa kaitan pun antara pepatah tadi dengan cerita saya. Huhu

"Ustazah, muslimat PAS kan?", sebuah lontaran pertanyaan yang sudah saya tahu jawapannya kepada seorang aktivis pertubuhan politik ini.

"Ya, kenapa", jawapan yang sudah saya jangkakan.

"Tolong ana carikan calon isteri. Muslimat PAS ni mesti banyak yang solehah-solehah kan? Carikan untuk ana seorang. Huhu ", luahan hasrat seorang lelaki idaman dengan ceria dan harmoni. (^_^)

"Boleh. Tapi ada satu syarat. Kena isi borang jadi ahli PAS seumur hidup", syarat pertama sudah ditetapkan.

"Kenapa perlu ahli PAS seumur hidup, ustazah? Kalau jadi ahli Islam seumur hidup tak boleh ke?" jawab balas untuk meneroka dengan lebih mendalam lagi apa yang bersarang di dalam kotak fikirannya.

"Kalau dah ahli PAS tu, tentulah ahli Islam kan", logik jawapan diberi untuk menjustifikasikan syarat yang dikenakan.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan syarat yang demikian, saya tetap terbuka dalam hal ini. Saya akui wanita mempunyai hak dan kebebasan untuk meletakkan syarat bagi lelaki untuk diri mereka walau pada pendapat saya, syarat-syarat begini seperti menyempitkan perkara yang luas. Menyusahkan perkara yang mudah. Dan yang paling penting saya menganggap golongan-golongan sebegini adalah golongan yang berfikiran sempit.


Ya, narrow minded! Berlebih-lebihan dalam perkara yang bukan sepatutnya untuk dilebihkan. Saya tahu ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini, tetapi apa boleh buat, setiap orang diberikan hak untuk mempunyai pandangan dan fikiran. Jadi usah bazirkan.

"Kalau PAS dibubarkan macam mana ustazah?" soal saya lebih lanjut untuk menduga.

"Janganlah nak main-main pula. Enta ni suka bergurau lah syeikh!", jawapan yang bukan jawapan diberikan.

"Kalau macam tu, tak apa la ustazah. Ana tak berminat. Nanti ana cari yang tak kena jadi ahli PAS seumur hidup ya", ringkas keputusan diberikan.

Seringkali apabila kita memuji sesuatu tindakan kerajaan dan mengkritik pihak pembangkang, kita akan dianggap sebagai orang kerajaan atau dengan bahasa yang lebih kasar sebagai 'penjilat' kerajaan. Sebaliknya juga apabila kita mengkritik kerajaan dalam pelbagai isu, maka kita akan dicop sebagai penentang kerajaan atau barisan pembangkang.

Itulah realitinya.


"Enta ni orang UMNO eh?", soalan yang sudah dapat diagak.

"Bukan. Ana menyokong apa sahaja benda yang mendatangkan kebaikkan", jawab saya ringkas kerana terasa bosan dengan soalan yang sudah saya agak.

Kadang-kadang semakin kita menafikan sesuatu dakwaan, semakin kuat pula desakan untuk kita akui tuduhannya. Jadi langkah yang terbaik adalah dengan tidak melayan.

"Ana cuma bergerak aktif dalam dengan aktiviti IKRAM Perlis sekarang", ringkas saya memberitahu.


"Kenapa perlu masuk IKRAM? PAS kan perjuagannya lebih menyeluruh dan syumul. Pergerakkan PAS lebih merangkumi pelbagai aspek. Enta masuk IKRAM, enta MELAMBATKAN KEMENANGAN ISLAM! Ana tengok enta ni ada kualiti, rugi kalau tak digunakan untuk pergerakkan mengangkat Islam", suatu pernyataan yang menyentap fikiran dan sedikit mendidihkan darah.

Di sinilah sebenarnya isu yang saya cuba ketengahkan. Isu tentang bakal suami mesti menjadi ahli PAS seumur hidup bagi saya adalah isu yang kecil dan remeh. Itu hak peribadi dan kehendak masing-masing. Ia perlu dihormati. Tetapi dengan menyatakan hanya parti PAS sahaja yang memperjuangkan Islam dan parti lain bukan bertujuan untuk memartabatkan Islam, bagi saya ia adalah suatu pertuduhan yang berat. Ia adalah hasil olahan pemikiran yang jumud dan tertutup!

Apatahlagi dengan menganggap penyertaan dalam gerakan-gerakan dakwah selain PAS adalah usaha yang menjatuhkan dan melambatkan kemenangan Islam adalah pernyataan yang keterlaluan. Pemikiran-pemikiran sebeginilah sebenarnya yang melambatkan pembangunan Islam. Mereka berfikir mereka membangunkan Islam, tetapi sebenarnya dengan pemikiran sebegini merekalah yang membantutkan pembangunan Islam.

Ya. Membantutkan pembangunan Islam dengan pemikiran yang sempit dan rigid!

Saya tiada masalah dengan parti PAS. Bahkan saya lebih menyukai PAS berbanding UMNO. Saya menyanjung tinggi kehidupan yang sangat bersederhana yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin tinggi PAS. Secara zahirnya, ciri-ciri islami lebih tertonjol pada anggota-anggota pertubuhan politik PAS berbanding daripada pertubuhan politik lain.

Yang paling utama, saya menyokong penuh usaha parti PAS dalam rangka untuk mewujudkan negara Malaysia yang lebih islami dan berlandaskan syariat. Saya nampak kesungguhan pemimpin-pemimpinnya.

Dan saya pasti bukan semua aktivis PAS seperti yang saya ceritakan seperti di atas. Mungkin hanya segelintir. Tetapi yang sedikit itulah yang selalunya tertonjol dan mendapat perhatian.

Oleh itu, marilah kita menilai dan bermuhasabah kembali. Berbilang-bilang persatuan bukanlah bermaksud kita terpisah antara satu sama lain. Mungkin sebilangan orang selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh sesuatu gerakan dakwah, dan sebaliknya sebilangan orang yang lain mungkin lebih selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh gerakan dakwah yang lain. Jadi sepatutnya kepelbagaian gerakan dakwah ini patut dilihat sebagai wadah dalam menyediakan ruang kepada umat Islam yang sudah tentu berbeza dari segi latar belakang kehidupan, pendidikan, minat dan sebagainya.

Justeru itu, usahlah kita terlalu taksub dengan kumpulan atau jemaah kita sahaja. Semua yang datang dari jemaah kita sahaja adalah benar dan tidak mungkin salah, sebaliknya apa sahaja yang datang dari jemaah lain adalah batil dan terpesong. Lebih teruk lagi apabila kita ini hanya tahu menyalahkan orang lain, padahal diri kita sebenarnya tidak melakukan apa-apa langsung. Ini pula lagi satu masalah yang membingungkan.

'Jemaah tabligh tidak betul, ikhwanul muslimin sesat dan sebagainya', dan pelbagai lagi hukuman yang diberikan kepada jemaah-jemaah yang berjalan di atas jalan dakwah. Semuanya salah, semuanya tidak betul. Yang betul hanyalah dirinya yang tidak melakukan apa-apa.

Mungkin setiap gerakan dakwah mempunyai kelemahan masing-masing. Jadi di sinilah gunanya kepelbagaian dakwah lain untuk saling melengkapi dan menambah kekurangan dalam gerakan dakwah yang lain. Dari situlah akan terzahirnya keperluan terhadap antara satu sama lain.

Akhir kata, janganlah menganggap perbezaan jemaah itu sebagai suatu perpecahan. Tetapi pandanglah ia dari sisi yang berbeza. Kita tidak akan sekali-kali berbeza atau berpecah dengan sebab berbezanya parti atau gerakan, selagi kita semua berada di bawah satu naungan kalimah,"Tiada tuhan yang layak diibadahi melainkan Allah, dan Muhammad itu utusan dan hamba-Nya".
Related Posts with Thumbnails