Saturday, November 21, 2009

Persoalan Taklid Mazhab dan Memcampuradukkan Mazhab

Tertarik saya untuk membawakan perkara di atas bilamana saya membaca buku yang bertajuk 'Formula Solat Sempurna' yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman. Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut lagi berkenaan tentang solat, beliau terlebih dahulu menerangkan manhaj penulisan beliau buku tersebut. Saya juga bersetuju dengan saranan beliau supaya keterbukaan dalam menerima pandangan fiqh daripada pelbagai pendapat dan tidak hanya menerima hanya pada satu pendapat sahaja lebih-lebih lagi bilamana ternyata pendapat yang kita pegang itu lemah dari sudut pendalilannya. Oleh itu, seharusnya kita beralih kepada pendapat atau pandangan yang lebih kuat walaupun menyanggahi pegangan mazhab kita.
Tertarik saya untuk membawakan perkara di atas bilamana saya membaca buku yang bertajuk 'Formula Solat Sempurna' yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman. Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut lagi berkenaan tentang solat, beliau terlebih dahulu menerangkan manhaj penulisan beliau buku tersebut. Saya juga bersetuju dengan saranan beliau supaya keterbukaan dalam menerima pandangan fiqh daripada pelbagai pendapat dan tidak hanya menerima hanya pada satu pendapat sahaja lebih-lebih lagi bilamana ternyata pendapat yang kita pegang itu lemah dari sudut pendalilannya. Oleh itu, seharusnya kita beralih kepada pendapat atau pandangan yang lebih kuat walaupun menyanggahi pegangan mazhab kita.


Berikut beberapa perkara asas yang disebut dalam persoalan taklid mazhab dan memcampuradukkan mazhab:

1. Mazhab-mazhab ini merupakan madrasah dan aliran-aliran fiqh bagi mentafsirkan nas-nas syariat dan pengambilan hukum-hukum daripadanya. Maka ia adalah metodologi-metodologi fiqh dalam beristinbat (mengeluarkan hukum) dan mengetahui hukum. Ia bukan syariat baru dan bukan sesuatu yang lain daripada Islam.

2. Sesungguhnya syariat Islam, iaitu nas-nas al-Quran dan al-Hadis lebih besar dan lebih luas daripada mana-mana mazhab.

3. Syariat Islam menjadi hujah ke atas setiap mazhab, bukan mazhab yang menjadi hujah ke atas syariat Islam.

4. Sesungguhnya, asas yang mengharuskan mengikut mazhab-mazhab ini adalah kerana diyakini ia telah berjaya memperkenalkan kepada pengikutnya hukum-hukum syariat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian, apabila ternyata bahawa mazhab tertentu tersalah dalam sesuatu masalah dan yang betulnya berada di satu pihak yang lain dengan jelas, maka perlulah orang yang mengikut mazhab itu berpaling daripada mazhabnya dalam masalah ini kepada pandangan mazhab yang lebih tepat itu.

5. Bagi seseorang mengikut mazhab tertentu, adalah DIHARUSKAN mengikut mazhab lain dalam sesetengah masalah, kerana tidaklah wajib dia terikat dengan keseluruhan ijtihad mazhab yang menjadi ikutannya. Tetapi, ikutan kepada mazhab lain itu hendaklah berasaskan kepada dalil-dalil yang kuat dan mendorongnya beralih. Ia juga harus bertanya kepada mana-mana ulama lain daripada mazhabnya tentang hukum syarak dalam apa jua masalah dan beramal dengan fatwanya.

6. Sebagai seorang muqallid (pengikut mazhab), hendaklah dirinya bersih daripada taasub kepada mazhabnya secara melulu, kerana mazhab fiqh bukanlah pemecah belah Islam, dan bukan sebagai agama yang menasakhkan syariat Islam. Bahkan ia hanya merupakan aliran-aliran dalam mentafsirkan syariat dan fahamannya. Ia juga sebagai metodologi dalam penyelidikkan, kajian dan kefahaman, disamping sebagai cara ilmiah dalam istinbat hukum, kesemuanya bertujuan untuk mengenali hukum-hukum.

7. Kita tidak harus merasa sempit dada dengan adanya perbezaan pandangan dan ijtihad mazhab-mazhab, kerana perbezaan kefahaman itu adalah sesuatu perkara tabii kepada manusia. Akal, pengetahuan dan kefahaman seseorang adalah berbeza-beza. Maka sudah pasti berbeza tentang istinbat dan kefahaman. Bahkan kita harus berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh ini yang telah mewariskan kepada kita perbendaharaan yang besar, dan kita menganggap itu sebagai tanda kesuburan dan hidupnya fiqh. Betapa luasnya pemikiran fuqaha agung kita dalam melaksanakan khidmat kepada syariat Islam yang mulia.

8. Hendaklah kita memahami daya usaha yang dicurahkan oleh ulama-ulama mujtahidin daripada pelbagai mazhab itu. Hendaklah kita menghormati dan beradab terhadap mereka serta mendoakan kebaikkan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan mendapat ganjaran pahala sama ada ijtihad mereka tepat atau tidak, asalkan mereka ikhlas dan telah bersungguh-sungguh dengan takwa dan iman dalam mengeluarkan hukum.

(Formula Solat Sempurna,Zaharuddin Abd. Rahman,m/s 3-4 yang bersumber daripada Al-Wajiz Fi Ilmi Usul al-Fiqh, Syeikh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan)

Sebagai kesimpulan, umat Islam tidak perlu merasa sempit dalam hal fiqh dan harus menggunakan keluasan tersebut sesuai dengan syarat-syaratnya. Oleh itu, seseorang yang bermazhab Syafi'i tidaklah wajib ia berpegang dengan pendapat mazhab Syafi'i dalam segala masalah, tetapi mereka boleh menggunakan pendapat mazlab lain dalam perkara yang lain dan begitulah sebaliknya. Keluasan mazhab ini adalah rahmat dan kesemua pandangan mazhab boleh dipakai selagi mana asas penghujahan pendapat mereka mempunyai dalil dari al-Quran dan al-Hadis. Jika sesuatu pendapat mazhab kita yang ternyata tidak mempunyai dalil daripada al-Quran dan Al-Sunnah ataupun lemah daripada sudut penghujahan, maka wajib bagi kita untuk memilih pendapat yang lebih kukuh dan jelas penghujahan dari al-Quran dan al-Sunnah dalam mazhab lain. Hal itu tidaklah menunjukkan kita tidak menghormati tokoh ulama mazhab tersebut, kerana kebenaran adalah lebih agung daripada tokoh, kebenaran lebih berhak diikuti daripada tokoh. Imam kita yang agung, Imam Syafi'i juga pernah berkata,"jika sahih sesuatu hadis itu, maka itulah mazhabku". Dia juga pernah berkata dengan kata-kata yang mahsyur,"jika terdapat hadis sahih daripada Rasulullah s.a.w menurut ahli hadis dalam sesuatu masalah yang menyanggahi pendapatku, maka aku menarik balik pendapatku, baik semasa aku hidup mahupun setelah aku mati"..


"Nilai Diri Pada Manfaatnya"

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails