Friday, December 24, 2010

MARI BERZINA? PERCUMA

Sudah seminggu lebih saya tidak menuliskan sesuatu di ruangan perkongsian ini. Bukan tiada masa atau idea, keadaan diri yang agak tidak stabil dan berkeceramuk membuatkan saya untuk berdiam diri untuk mencari ketenangan. Menulis bagi mencari ketenangan sudah tidak berkesan. Idea dan rasa hati tidak dapat dicoretkan tatkala hati dan perasaan terganggu.

Sebelum saya berbicara dengan lebih panjang lagi, dengan ini Encik Hadi ingin membebel sekejap kepada para pembaca supaya membaca artikel ini sehingga habis. Ini kerana kesimpulan yang dibuat tanpa membaca sehingga habis akan mendatangkan musibah kepada saya. Jangan nanti keluar tajuk di akhbar metro,"Blogger terlampau menagajak pembacanya berzina!". 

Sebenarnya tulisan kali ini adalah ulangan terhadap tulisan yang terdahulu cuma dipanjangkan dan diperkemaskan lagi bertujuan sebagai perkongsian untuk manfaat bersama. Ada beberapa perkara yang saya ingin bawakan kepada anda semua untuk kita renungkan supaya kita dapat membuat perubahan apabila berkeupayaan nanti.

"Do you want to have sex with me? Just for RM100",seorang pekerja wanita menawarkan tubuhnya kepada rakan sekerjanya.

"So expensive... Can I have it for RM50?",rakan sekerja lelaki cuba tawar menawar.

"Sure!",persetujuan diberikan.

"Where do you want to do it?",tanya lelaki tersebut untuk mengetahui 'port' yang sesuai untuk menjalankan perjanjian yang telah dibuat.

"Anywhere you want. If you want it now, we can do it behind the machine",pekerja wanita itu memberikan cadangan 'port' untuk tubuhnya dijamah.

"I'm sorry.. I am married",pekerja lelaki itu menolak setelah sengaja melakukan tawar-menawar dengan rakan sekerjanya itu.

"Ok, I give it for free!",pekerja wanita tadi masih lagi tidak berputus asa untuk menggoda.

Dialog di atas bukanlah rekaan skrip saya semata-mata. Tetapi ia berkisarkan sebuah peristiwa yang sebenar yang diceritakan oleh pensyarah saya semasa saya berada di tahun akhir pengajian di UTM dahulu. Kisah ini diceritakan sendiri oleh seorang rakan pensyarah saya kepada beliau  tentang pengalamannya ditawarkan seks oleh pekerja wanita Filiphina yang bertugas sebagai operator pengeluaran (kalau saya tidak silap jawatan wanita itu) di kilang tempat beliau bekerja sebagai engineer.

Saya percaya perkara ini masih lagi giat berlaku dalam sektor perindustrian di Malaysia. Suatu realiti di industri-industri, kebanyakkan engineer memang mendapat 'perhatian' dikalangan pekerja operator wanita untuk pelbagai tujuan. Bukan untuk mengangkat status engineer kerana saya seorang engineer, tetapi sekadar mahu menyatakan hakikat situasi yang sebenar.

Saya masih teringat lagi sewaktu usrah di waktu tahun satu di universiti, naqib ada menceritakan tentang pengalaman saudaranya yang juga merupakan seorang engineer di sebuah kilang. Apa yang terjadi ialah seorang operator wanita masuk ke dalam biliknya, lantas dengan tanpa segan silu berkata,

"Rabalah saya".

Dahsyatnya cubaan tersebut. Ya, sunggut dahsyat bagi seorang lelaki yang memang telah dijadikan kelemahannya terletak pada wanita. Yang kuat imannya pun belum tentu terselamat jika menghadapinya. Saya juga tidak pasti adakah diri ini akan terselamat jika ditaqdirkan ujian sedemikian (a'uzubillahi min zalik). Anda bagaimana? Adakah anda pasti anda akan terselamat? Sebesar-besar fitnah bagi kaum lelaki adalah wanita, itulah peringatan junjungan kita yang mulia.

Sa'id bin al-Musayyab r.a berkata:
"Tidaklah Allah mengutuskan seorang nabi, melainkan dia tidak merasa aman dari gangguan iblis, yang akan merosakkannya melalui perantaraan wanita".                                                                           (Talbis Iblis)

Realiti Sekarang
Perempuan dan lelaki tidak dapat tidak, mesti akan dikaitkan dengan perkahwinan. Ikatan antara keduanya melalui akad akan menghalalkan apa yang telah diharamkan sebelumnya. Perempuan akan tertarik kepada lelaki dan begitulah sebaliknya. Masing-masing memerlukan antara satu sama lain untuk memenuhi keperluan biologi yang wujud secara fitrah dalam diri.

"Pengalaman ana dulu sadis betul, pihak keluarganya menolak kerana ana bukan orang situ (tidak senegeri)",cetus seorang sahabat yang mengisahkan cerita dukanya ditolak hasratnya untuk bernikah kerana menetap di berlainan negeri.

"Mak aku tak boleh terima dia sebab dulu ayah dia pernah ada masalah dengan mak aku",luah seorang sahabat lagi yang agak tertekan dengan tindakan ibunya yang tidak mengizikan dia untuk mendirikan 'masjid' dengan wanita pilihannya.

Ini antara contoh kisah kehidupan yang berlegar-legar dalam hidup saya. Saya pasti kisah seumpama ini masih lagi berlaku dan mungkin akan terus berlaku jika tiada transformasi dibuat. 

Halangan-halangan sebegini menyebabkan anak-anak muda terhalang hasratnya untuk melunaskan fitrah dirinya. Fitrah diri yang memerlukan pasangan yang berlainan. Hendak bersatu dalam ikatan yang halal ditegah, melempiaskan nafsu syahwat diri tanpa ikatan syariat juga ditegah. Lalu apakah lagi yang tinggal untuk anak muda ini bagi menyelamatkan dirinya apabila mereka berasa sudah perlu dan bersedia untuk berumah tangga?

Hendak berzina sudah tentu haram, hendak bernikah juga 'diharamkan'?
Persoalan untuk renungan bersama.

"Apabila ditanya mengapa ibu bapa mereka menghalang, ternyata alasannya bukanlah alasan yang syarie. Alasan yang dibuat untuk kepentingan peribadi, tiada satu pun yang bersangkutan dengan agama. Kepentingan peribadi lebih diutamakan berbanding daripada kepentingan agama. Maka fasad lah jadinya."

Bukanlah tujuan utama saya mencoretkan kisah ini untuk menyedarkan ibu bapa tadi tetapi sekadar menitipkan kata-kata dari dasar hati buat sahabat di luar sana supaya dapat mengambil peringatan dan pelajaran. Mungkin anda semua belum mempunyai anak dara atau teruna untuk dinikahkan. Tetapi saya pasti anda pasti menyimpan hasrat untuk bernikah dan mempunyai anak. Sudah tentu perkara-perkara sebegini akan anda lalui suatu masa nanti.

Cuma yang bezanya adalah pada masa tersebut, anda lah yang memberikan kata restu kepada anak anda berbanding masa sebelumnya di mana anda lah yang meminta restu daripada ibu bapa anda. Situasinya sama, tetapi keadaan dan masanya saja berbeza.

"Hadi, kita kena buat transformasi ni dalam urusan kahwin",seloroh sahabat apabila kami mula bercerita tentang bila masing-masing hendak mendapatkan jodoh. 

Sungguh besar cita-cita itu. Chaiyok3x...(^_^)

Saya tidak mahu untuk memanjangkan tulisan ini yang akhirnya akan menyebabkan anda dirundung  kebosanan untuk menatapnya sehingga habis. Oleh itu, saya cuma mahu berkongsi beberapa pandangan peribadi dalam hal ini moga-moga suatu hari nanti anda mungkin teringat akan coretan ini apabila anak-anak anda sudah memasuki fasa untuk 'dipasangkan'.

Nasihat Saya
Mungkin sekarang nasihat ini tidak begitu relevan kerana anda juga termasuk saya, bukan sekadar tidak mempunyai anak untuk dinikahkan, kahwin saja belum lagi. Tapi, nasihat ini mungkin berguna untuk dipertimbangkan dalam 25 tahun akan datang. Kenapa 25 tahun pula? Entah, suka hati saya la nak letak berapa..=P

1) Apabila anak anda menyatakan niat untuk bernikah. Maka janganlah disukarkan dengan pelbagai halangan. Apatahlagi disekat dengan perkara yang remeh seperti orang jauh, nanti nak balik kampung susah. Raya nanti kena bergilir-gilir. Selagi halangan tersebut bukan didasarkan atas perkara syarie, maka bantulah mereka.

2) Jika anak-anak menyatakan hasrat untuk bernikah tetapi masih lagi dalam waktu pengajian, cubalah tunaikan hasrat mereka jika anda berkemampuan untuk membantu mereka terutamanya dalam hal kewangan. Janganlah berkira-kira. Apabila mereka menyatakan hasrat sedemikian bermakna mereka takut akan terjatuhnya ke jurang maksiat, dan ini menunjukkan kepekaan mereka terhadap agama masih tinggi. Ini sepatutnya dibanggakan dan patut disokong. Jika anda menolong mereka, sebenarnya anda menolong agama mereka.

3) Jika anak-anak hendak berkahwin, janganlah dibebankan dengan hantaran dan perbelanjaan yang membebankan. Untuk apa di'gah'kan majlis yang sehari itu jika selepas itu kesimpitan yang datang berhari-hari. Lakukanlah mengikut kemampuan.

4) Pesanan tulus buat peringatan bersama, gunakanlah akal dan rasa hati bilamana kemahuan kita mungkin berlainan arah dari kemahuan anak-anak dalam hal perkahwinan ini. Meminggirkan salah satu pandangan samada ibu bapa atau anak merupakan tindakan yang tidak tepat. Apatahlagi hal-hal sebegini dimana mereka yang akan menanggung risiko sepanjang hayat dikemudian hari. Oleh itu, sinergi di antara kedua-dua belah pihak dirasakan yang terbaik untuk diguna pakai.

Cubalah letakkan diri kita di tempat mereka, pesongkan dimensi bahawa mereka ibu ayah, dan kita pula menjadi anak. Apakah perasaan kita apabila kemahuan kita disekat atas alasan yang remeh. Pastinya kita akan berasa sedih bukan? Ketahuilah, perasaan itulah juga yang tertanam dalam hati anak-anak. Kasihan bukan?

Akhir sekali, saya mengakui bahawa perkahwinan bukanlah solusi yang menyeluruh terhadap 'bencana' yang saya tekankan di awal perbincangan. Saya bukanlah seorang yang 'simplistic'. Saya terdidik untuk mengkaji sesuatu perkara dari pelbagai aspek dan sudut.

Saya tidak mengatakan perkahwinan merupakan penyelesaian tuntas untuk menghadapi masalah sosial yang semakin hari semakin menggila ini. Mungkin ada juga orang yang sudah berkahwin tetapi masih lagi berzina. Tetapi apa yang cuba hendak saya sampaikan, dengan kita meringankan 'syarat' yang kita sendiri buat dalam urusan pernikahan anak-anak, pintu-pintu zina hampir dapat ditutup. Dengan itu, hampir keseluruhan masalah yang terbit daripada perbuatan ini dapat dikurangkan. 

Itulah jawapan mengapa saya bawakan kisah di atas sebenarnya.

Apabila nikah menjadi susah, manakala zina terbuka mudah.
Maka, padah dan binasalah jawabnya.

Saya tidak berniat untuk menulis panjang lagi, semakin ditulis semakin panjang jadinya. Mestilah, takkan jadi pendek pula. Eloklah saya tutup dengan sebuah pantun. Baca ya...=D

Anak kecil mengulum coklat
Apabila dewasa menjadi hebat
Jika mereka sudah berhajat
Bantulah mereka menjaga syariat

Saturday, December 11, 2010

Kesalahan Yang Bukan Kesalahan

Bismillahirrahmanirrahim
"Aku hanya seorang Umar... Kemulianku kerna Islam... Semua ke syurga, kecuali dia... Ku bimbangi dialah diriku..."
Bait-bait nasyid yang menyinggah sewaktu mencoretkan sesuatu di teratak ini. Sungguh syahdu. Perkataan yang biasa tetapi membuahkan makna bagi yang menghayatinya. Rom dan Parsi tersungkur menyembah di kakinya. Pun begitu, tidurnya tetap beratapkan pelepah tamar, katilnya tetap beralaskan pepasiran tanah. Kesusahan rakyatnya adalah kesusahan dirinya. Tiada apa yang berbeza antara dirinya dengan rakyat di bawahnya.

Sungguh berbeza dengan pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini.

 Dimanakah akan ditemui lagi pemimpin sepertinya di zaman ini.

Muhasabah buat diri.

Hebatnya dirinya.
Hebatnya dia bukan kerana pangkat dan kuasa, tetapi kerana nilai yang ada di dalam dirinya.

Seperti biasa perjalanan saya perjalanan yang akan mengisi minda. Bukan sekadar perjalanan biasa. Fikiran akan ligat mencari dan memerhati bagi menambah nilai dalam diri. Kerana orang yang hebat sentiasa cuba menambah nilai yang ada pada dirinya dari hari ke hari. Justeru itu, mari kita bersama-sama berfikir apakah nilai yang boleh kita tambah dalam diri pada hari ini.

Tugasan pejabat minggu lepas agak melelahkan. Keletihan yang bukan seperti letih biasa. Meeting sana sini menuntut saya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Tapi apakan daya, tugas tersebut harus tetap dijalankan kerana daripadanya lah saya mendapatkan sumber untuk terus berbakti.

Perjalanan saya ke ibu pejabat PLUS (Pusat Lebuh Raya Utara Selatan) di Damansara untuk tugasan kerja memberikan pengalaman kepada saya. Pengalaman yang menuntut saya supaya lebih berhati-hati dalam membawa diri. Supaya dengan itu, diri menjadi selamat dan kesalahan dapat dielakkan.

"You tengah buat apa sekarang?",tanya boss saya yang menyandang pangkat General Manager.

"Tengah buat slide untuk company profile Aamal",jawapan ringkas tetapi memenuhi kehendak soalan.

"Nanti ikut saya pergi PLUS",permintaan yang berbentuk arahan. Saya akur.

Jadi, pengalaman yang hendak dikongsi bukanlah kerja-kerja yang dibincangkan. Tetapi pelajaran yang saya dapat adalah selepas menamatkan tugasan pada hari itu. Dek kerana cuaca yang hujan yang menyebabkan keadaan Lebuhraya Persekutuan yang sememangnya sesak menjadi lebih sesak. Keadaan tersebut menyebabkan bos meminta 'kebenaran' kepada saya untuk menurunkan saya di station komuter di Subang Jaya, bukan di lokasi kerja.

Jadi, setelah membeli tiket untuk ke KL Sentral, maka seperti biasa, saya menunggu ketibaaan train seperti penumpang-penumpang yang lain. Maka waktu senggang tersebut saya gunakan seperti biasa untuk menyelak buku supaya masa tidak menjadi sia-sia. Dalam waktu perjalanan, saya lebih cenderung memilih untuk membawa buku yang tidak 'berat' kandungannya. Saya lebih memilih menyelati lembaran kisah-kisah golongan yang telah tercatat kisah hidupnya dengan tinta emas.

Sambil-sambil menunggu, dapatlah juga mengambil ibrah dan nilai bagi diisi dalam kehidupan. Kerana manusia itu diangkat oleh sejarah kerana nilai yang ada pada dirinya. Dan kitalah yang akan menentukan nilai pada diri kita sendiri. Mulianya diri atau hinanya kehidupan bergantung kepadanya. Hanya kita saja boleh menentukan.

Buku yang saya baca ketika itu adalah bertajuk 'Gambaran Kehidupan Para Sahabat'. Pedoman yang baik bagi mereka yang mencari makna kehidupan diri.

Setelah train tiba, saya pun masuk dan teruskan pembacaan seperti biasa dalam keadaan berdiri. Biasalah train komuter kan macam sardin dan bergerak terkedek-kedek..Hehehe. Tambah-tambah lagi waktu peak hour sepert waktu balik kerja, bertambah-tambah lah sardin lagi jadinya. Tapi waktu itu, 'kesardinan' train tidaklah begitu padat kerana kebanyakkan orang akan menghala keluar dari Kuala Lumpur, tetapi saya mengambil train menghala ke Kuala Lumpur.

Jadi, walaupun saya terpaksa berdiri sepanjang perjalanan menuju ke KL tetapi keadaannya tidaklah begitu sesak. Sedang membaca, saya perasan banyak mata-mata memandang kepada saya. Pada mulanya saya tidak menghiraukan. Tetapi lama-kelamaan saya mula mencari apa yang tidak kena pada diri. Kemudian saya tersedar, saya memasuki coach yang dikhaskan untuk wanita tanpa saya tahu dan sedar!

Saya tidak berniat untuk memasuki coach itu bahkan saya tidak terfikir langsung bahawa coach tersebut dikhaskan untuk wanita kerana sudah lama tidak menggunakannya sebagai pengangkutan diri. Saya melihat kiri dan kanan, terdapat juga 2 orang laki yang mungkin 'tersesat' atau buat-buat 'tersesat' bersama saya di tempat 'larangan' tersebut.

"Huh, selamat ada juga lelaki dalam ni!",bisikan hati untuk menenangkan perasaan...=P

Yelah, orang kata dengan kehadiran teman, ketakutan dapat dikurangkan.
Sekarang, hipothesis tersebut telah dibuktikan.
Terbukti dengan kejadian yang tidak dirancangkan...=)

Jadi terpaksalah diri bertahan menaiki train bagaikan diapit dengan wanita-wanita yang tidak dikenali dikeliling. Wajah-wajah memandang diri umpama tiada lagi lelaki lain di muka bumi. Yang mungkin ada hanya diri ini. Itulah perumpamaan yang mungkin boleh dianalogi atas perbuatan yang tidak disedari

Setelah sampai, saya merenung kesalahan diri mencari hikmah dan pelajaran yang tersirat dari kejadian tadi. Memang kebiasaan saya suka merenung kejadian silam dalam mencari makna dan nilai diri. Saya berfikir dan terus berfikir untuk mengaitkan dengan kehidupan. Akhirnya saya temui hikmah dalam diri sebagai pedoman dan peringatan diri buat masa hadapan.
"Jangan kita terlalu cepat menghukum atas kesalahan yang dilakukan oleh seseorang walaupun ternyata apa yang dilakukannya itu memang merupakan suatu kesalahan. Terkadang boleh jadi kesalahan tersebut dilakukannya tanpa dia ketahui ia merupakan suatu kesalahan, lantas kita dengan tanpa selidik terus menyalahkan. Jika demikian, kitalah yang sebenarnya bersalah atas tindakan kita yang salah dalam menyalahkan pesalah atas kesalahannya itu".
Manusia itu memang dijadikan tidak terlepas melakukan kesilapan dan kesalahan. Berpunca daripada sikap yang terburu-buru yang terdapat dalam diri kita, maka kita selalu akan terus menyalahkan tanpa memberi peluang satu pun kepada pelaku kesalahan untuk menerangkan situasi sebenar. Maka, akan terpendamlah perasaan sedih, terasa hati dan pelbagai lagi.

Hasilnya, terbitlah satu lagi kesalahan selepas kesalahan. Lebih teruk lagi jika kesalahan tersebut akan membuahkan kesalahan demi kesalahan atas tindakan melulu kita yang sering menyalahkan. Maka buruklah akibat yang akan ditimbulkan.

Itulah pelajaran yang saya dapat kaitkan dengan kehidupan.
Pelajaran yang akan menambah nilai diri supaya diri lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan.

"Hadi, tolong akak angkatkan tong air tu gantikan dengan yang dah abis tu. Boleh tak?",pinta seorang kakak yang merupakan rakan sepejabat.

Saya terus mencucuk lubang kepala tong air tersebut kemudian saya angkat untuk diletakkan di atas tempat air 'picit-picit' (tak tahu nak panggil apa benda kejadah tu) menyebabkan air sedikit tertumpah apabila ditonggengkan kerana kepala tong air tersebut telah ditebuk oleh saya.

"Tak payah tebuk dulu, letakkan saja. Nanti kepala dia tertebuk sendiri",terang akak tadi apabila melihat air membasahi dinding dan lantai....lalalala..

"Tak apa, dia baru belajar",sahut seorang akak lagi yang melihat sama kejadian tadi.

Anda dapat apa yang cuba disampaikan oleh akak tadi? Maafkanlah kesalahan yang pertama kali atau mungkin yang tidak disengajakan. Dalam kehidupan ini, hakikatnya kita sedang belajar. Dalam proses belajar tersebut, pasti kita tidak lari daripada melakukan kesalahan. Jika ada kesalahan, baru ada pembetulan dan pembaikkan.
"Orang yang bijaksana adalah orang yang belajar dari kesilapan diri sendiri. Tetapi orang yang lebih bijak adalah mereka yang belajar dari kesalahan orang lain".
 Justeru itu, jadilah manusia yang berfikir sebelum menghukum. Jangan kerana sifat kita yang suka menghukum, akhirnya kita sendiri yang terhukum....=)

Saturday, December 4, 2010

IBRAH DARI SEBUAH PERJALANAN

Pemandangan Masjid Nabawi di bumi Madinah

Tatkala melihat gambar masjidil haram mahupun masjid nabi di majalah-majalah ataupun di skrin televisyen, butiran-butiran jernih pasti menyinggah lantaran kerinduan pada kedua-dua tempat suci tersebut. Lantaran itu setiap kali laungan azan oleh muazzin dari masjidil haram oleh Maula Qari Ali yang disalurkan ke corong radio IKIM pada setiap kali perjalananku ke masjid terus membawaku mengimbas detik-detik keberadaanku di sana. Sungguh syahdu. Tanpa disedari manik-manik halus berguguran akibat kerinduan yang teramat.

Kerinduan yang menggamit perasaan.

Saya rindu waktu itu.
Permusafiran bersama sahabat-sahabat dalam acara perlumbaan ibadah mencari ibrah.
Di kota Mekah dan Madinah.

Mencari ibrah dalam perjalanan membuatkan kenangan tersebut terpatri sebagai kenangan terindah dalam hidup ini. Pelbagai pelajaran dan pengajaran yang tercungkil bermula sebelum permusafiran bermula hingga ke akhirnya. Aktiviti mencari penajaan, menjadikan masjid sebagai tempat tinggal, program yang hampir dibatalkan dan pelbagai lagi ujian dan dugaan menjadikan ia sesuatu yang lebih bermakna buat peserta program seperti saya.

"VISA kumpulan yang kita pohon dari kedutaan Arab Saudi gagal kita dapat",begitulah maksud pengumuman yang ingin disampaikan kepada kami oleh pengarah program kami pada perjumpaan tergempar pada sebelah petang hari setelah tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk berangkat ke sana. 

Saya memandang-mandang wajah sahabat-sahabat dalam keadaan hati yang penuh debaran atas kemungkinan program dibatalkan. Muram, resah dan ada yang seolah-olah mahu melepaskan deraian air mata. 

"Kami  sudah cakap kepada entum, permohonan untuk dapatkan VISA ke Saudi memang ketat. Itulah sebabnya kami minta entum segera menyerahkan segala dokumen-dokumen yang diperlukan kerana kedutaan Saudi tidak terima permohonan VISA sikit-sikit. Kami kena kumpul semua dahulu, kemudian baru dapat hantar. Jadi sebab itulah kami selalu minta supaya hantar cepat dokumen-dokumen yang penting supaya urusan mendapatkan VISA kita tiada masalah".

Lanjutan penerangan yang membuatkan kami tertanya-tanya adakah perjalanan kami ke bumi barakah dibatalkan atas kelewatan mendapatkan VISA dari kedutaan.

Ustaz selalu berpesan supaya mengutamakan urusan kumpulan daripada kerja-kerja individu. Justifikasinya adalah kerana urusan kumpulan ini berkait langsung dengan kepentingan ahli jemaah lain. Justeru itu, dalam adab musafir dalam jemaah, kepentingan kumpulan sentiasa didahulukan. Apabila masalah ditimbulkan sebahagian yang lain, pastinya masalah itu akan berlanjutan menjadi masalah kumpulan. 

Itulah pengajarannya.

Ibrah sebelum perjalanan.
Memberi keutamaan kepada yang utama.
Pelajarannya ialah elakkan diri kita daripada menjadi punca!

Harapan kami diibaratkan sebagai pepohonan yang sangat mengidamkan air hujan dek kerana panas yang membahang, melihat kumpulan awanan yang cerah yang tidak menunjukkan tanda-tanda kehadiran hujan mengundang kekecewaan, tetapi akhirnya program dapat terus dijalankan dengan ihsan pertolongan daripada pihak Tabung Haji Travel.

Alhamdulillah. Terbit secebis kesyukuran kepada Tuhan.

Umpama awan yang cerah kemudian menjadi mendung indikasi menjanjikan curahan hujan yang akan memenuhi pengharapan pepohonan jiwa peserta. =D

Akhirnya kami tiba jua di bumi Madinah dan Mekah yang barakah.

Geng 105 yang memancarkan cahaya dari kepala...(^_~)

Setibanya di sana, kami menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan oleh pihak pengurusan untuk kami di samping pendakian kami menuju Ilahi dengan perlumbaan ibadah oleh setiap peserta program. Beberapa tempat yang bersejarah kami lawati. 

Bukit baidho yang terkenal dengan tarikan magnetnya yang dapat menarik kenderaan seberat bas berkapasiti penuh tanpa penggunaan enjin (demonstrasi bas menunjukkan kelajuan 120 km/j tanpa penggunaan enjin dan ia dapat pergi lebih laju lagi...Ajaib bukan?).

Bukit Uhud yang menyimpan maqam sayyidul syuhada dan palitan pahit umat Islam, kilang percetakkan al-quran (siapa pergi dapat free satu al-quran, masjidil haram dan masjid nabi hanya menerima infaq al-quran yang dicetak dari sini sahaja, jika tidak, al-quran tersebut akan dikeluarkan dari rak masjid oleh pekerja-pekerja masjid. Yang sedihnya golongan muslimat tidak dibenarkan masuk, jangan sedih-sedih ya..=)) dan pelbagai tempat lagi.

Saya juga tidak terlepas daripada kejadian yang ingin menyuntik pelajaran kepada diri. Dek kerana terlalu mempercayai atas anggapan semua yang berada di sana mempunyai satu tujuan iaitu beribadah kepada Allah. Lantas tanpa segan dan silu, saya meninggalkan beg dan barangan shopping di bahagian belakang sewaktu melaksanakan solat isyak di masjid nabawi yang tersimpan di dalamnya maqam nabi yang mulia.

Usai solat isyak, beg saya yang mengandungi beberapa peralatan penting seperti jam tangan, kamera, handset dan beberapa benda lain telah 'dirembat'. Complete satu set dia dapat. Tapi peliknya barang-barang shopping tidak pula diambilnya. Mungkin masa itu dia juga menggunakan kaedah aulawiyyat (keutamaan) dalam merembat barang. Aplikasi ilmu yang benar pada jalan yang salah.


Nasib pasport disimpan oleh pihak Tabung Haji. Jika tidak, mungkin saya akan menjadi sebahagian daripada penduduk Madinah sehingga sekarang....(^_^)

Tapi sekurang-kurangnya tinggalkanlah memory card dalam camera. Sedih, kenangan saya di sana tidak dapat dibawa ke Malaysia untuk dikongsi bersama keluarga. Yang ada hanya gambar-gambar yang di tag di facebook sebagai pengubat luka jiwa yang lara. Huhuhu.

Lebih menyedihkan apabila saya melihat sahabat-sahabat mengambil gambar sana-sini di tempat lawatan untuk dijadikan kenangan. Saya hanya mampu melihat dan terus melihat..(T_T) (Nasib tak menangis masa tu, kalau tidak, kena pujuklah jawabnya..).Hehehe...=P

Kenangan yang hanya tinggal kenangan.
Kenangan yang terus tersimpan di bumi barakah itu.

Ibrahnya, ambillah langkah berhati-hati walaupun anda berada di tempat yang anda fikirkan ia selamat seperti masjid kerana tempat-tempat mulia seperti ini tidak lagi menjanjikan kejujuran dan kejernihan hati pengunjungnya. Ada yang datang memang untuk beribadah, tetapi tidak terlepas pada yang bertandang untuk mencari peluang. Peluang untuk mengambil kesempatan.

Kubah hijau yang terletak jasad nabi dibawahnya

Banyak lagi peristiwa yang menarik terakam pada memori ini. Tetapi cukuplah rasanya untuk menceritakan satu dua peristiwa yang dapat memberi pelajaran dan pengajaran buat kita bersama. 
Bak kata orang, kalau hendak mengajar sesuatu kebaikkan, maka ajarkanlah satu persatu dan perlahan-lahan supaya apa yang diajarkan dapat dihadamkan dengan baik dan sempurna. Jangan disumbat semuanya sekaligus secara terburu-buru. Nanti akibatnya, orang yang disumbat akan tersedak dan memuntahkan balik segala apa yang disuapkan kepadanya.
 Akhirnya, tiadalah memberi manfaat padanya.
Yang ada hanyalah sia-sia.
Biar sedikit yang dicurah, tetapi yang dicurah itu semuanya diserap. Itu lebih baik dan bermakna daripada menyimbah semua tetapi tiada apa yang dapat diserap kerana semuanya melimpah keluar.
Sebagai penutup, suka saya berkongsi kepada sahabat-sahabat peringatan mutiara daripada seorang ustaz dalam kuliahnya tentang hakikat diri kita yang masih terlekat dalam jiwa. Nilai diri kita pada pandangan Tuhan bergantung kepada apa yang kita isi di dalamnya.

Diri kita boleh diibaratkan sebagai botol yang kosong. Harga botol tersebut bergantung kepada isi yang diletakkan di dalamnya. Samada diisi dengan air kosong biasa, maka harganya samalah seperti air mineral biasa. Ataupun diisi dengan minyak urutan, maka harga botol tersebut meningkat sesuai dengan peningkatan fungsi isinya. Ataupun kita isi dengannya minyak wangi attar yang sedap baunya lagi tinggi kualitinya. Maka sudah tentu, harga botol kosong yang sama tadi telah berbeza harganya meningkat menjadi ratusan dan ribuan ringgit sesuai dengan kandungannya.

Itulah ibarat diri kita pada pandangan-Nya.

Semakin tinggi nilai kebajikkan dan kebaikkan yang kita isi dalam kehidupan, semakin tinggilah nilai hidup kita pada pandangan Tuhan.

Justeru itu, reunung-renunglah sebagai pedoman.....

Saya lampirkan sebahagian gambar-gambar kenangan di sana untuk tatapan bersama. Mana tahu boleh membangkitkan keinginan anda untuk ke sana tunaikan umrah ataupun haji. Siapa tahu kan...=)


Berlatar belakangkan Masjid Al-Haram
  

Gambar yang tersiar pada akhbar Berita Harian


Pengalaman belajar bersama pak-pak Arab. Entah faham, entah tidak tu.


Di Universiti Umm Al-Qura


Di Universiti Islam Madinah


Lawatan ke Universiti Tayyibah


Lawatan ke Bukit Magnet ataupun Bukit Baidho


Berlatar belakangkan Bukit Uhud (kalau tak salah)

Related Posts with Thumbnails