Friday, December 11, 2009

Dosa Itu Pintu Taubatku

Fitrah insani ialah fitrah yang menyeru kepada kebaikkan dan membenci keburukkan (dosa). Tiada insan biasa yang terlepas dari dosa. Dan tiada dosa yang memberikan ketenangan jiwa. Itulah hakikat dosa. Sesuatu yang menyusahkan jiwa. Apakah mungkin diri insan terlepas dari melakukan dosa sedangkan wahyu mengatakan akan dibangkitkan umat lain yang bertaubat dengan dosa mereka bagi digantikan dengan mereka yang tidak pernah melakukan dosa. Nah, apakah brani mengatakan "aku suci, tidak melakukan dosa", suatu pengakuan yang luar biasa. Andaikata kata-kata ini terdetik di hati, maka bersegeralah merenung kembali dalam jiwa. Tidak akan ada manusia yang tidak berdosa selagi mana gelaran rasul dan nabi tiada padanya. Setiap kali engkau berbicara dengan dosa, maka pasti engkau akan merasai tentang kehadirannya, sesuailah dengan seruan baginda:
"Dosa itu apa yang menimbulkan resah di hati kamu dan kamu benci jika ia dilihat orang."
(Riwayat Muslim)

Seringkali kita melihat dosa sebagai titik noda. Tetapi kadangkala dosa boleh menjadi modal pahala yang tidak terhingga. Pahala yang menghubungkan kita kepada keredhaanNya. Pelik bunyinya tapi itulah hakikat kebenarannya. Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah menukilkan:
"Dosa mungkin memberi lebih manfaat kepada seseorang, jika dosa itu membawanya kepada taubat, kemudian membuat amalan soleh dan ketaatan. Inilah yang dimaksudkan oleh seorang alim golongan Salaf, 'Seseorang berdosa kemudian memasuki syurga kerana itu, atau seseorang itu beribadah dan memasuki neraka kerana ibadahnya.' Orang bertanya,'Bagaimana itu?' Alim itu menjawab,'Dia mungkin melakukan dosa dan berterusan memikirkan dosanya itu. Ketika dia berdiri, duduk atau berjalan, dia asyik teringatkan dosanya, sehinggakan dia berasa malu dan bertaubat dan mengharapkan keampunan Allah dan menyesali dosa-dosanya, maka itu adalah cara penebusan dosa dirinya. Sebaliknya seorang lagi, dia mungkin seorang yang kuat ibadah dan berterusan memikirkan ibadahnya yang banyak. Ketika dia berdiri, duduk dan berjalan dia asyik memikirkan ibadahnya, dan mencetuskan rasa hairan dan kagum pada dirinya, dan itulah yang membinasakan dirinya."

Wahai orang yang berdosa, bergembiralah kalian selagimana kamu masih dapat merasai kehadiran dosa. Kerana dengan 'rasa' itulah petanda kamu masih mendapat 'perhatian' dariNya. Maka seeloknya bertindaklah segara untuk respon terhadapnya. Jangan ditunggu sehingga perasaan itu diganggu dengan bisikan yang binasa, yang akhirnya menyebabkan pengakhiran pengharapan kepada yang Maha Mengampunkan Dosa. Selagi mana badan dikandung nyawa, sesungguhnya pintu taubat tetap terbuka. Ayuh lah sama-sama kita insan yang berdosa bertaubat kepadaNya setiap kali dosa menghinggapi diri dan jiwa. Jangan sesekali berputus harap padaNya, apatah lagi untuk membuka pekung di dada menceritakan dosa kepada sesiapa, hatta kepada alim yang dipercaya. Bukanlah tujuan dosa dijadikan sebagai hebahan cerita, tetapi itu lumrah manusia yang ada sifat leka. Amaran sabdaan Baginda:
"Seluruh umatku terampun dosanya melainkan mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan iaitu apabila seseorang melakukan maksiat pada malam harinya dan Allah menutupinya, kemudian dia bercerita kepada orang lain,'Wahai fulan, aku melakukan maksiat pada malam semalam itu dan ini'. Tuhannya telah menutupi dosanya sepanjang malam, namun pada pagi hari dia membuka tabir yang telah Allah tutupi."
(Riwayat Bukhari)


"Nilai Diri Pada Manfaatnya"


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails