Pernah suatu ketika, Abdullah Ibnu Mubarak, seorang tabiin terkenal lagi tawaduk dan zuhud terhadap dunia pernah didatangi seseorang bertanya tentang sahabat nabi s.a.w, Muawiyah r.h. Ibnu Mubarak berkata,"Bagaimanakah aku akan memperkatakan sesuatu tentang seorang yang bersembahyang sekali dibelakang Rasulullah. Apabila Rasulullah menyebut,'Sami'Allahu liman hamidah,' lantas dalam menjawabnya, beliau mengucapkan,'Rabbana walakalhamdu',".
Pada suatu ketika yang lain juga beliau pernah didatangi oleh seseorang mengemukakan soalan yang berbunyi,"Apa kata tuan tentang Muawiyah dan Umar bin Abd Aziz, siapakah diantara mereka berdua yang lebih utama?". Si tukang tanya tersebut meletakkan Saidina Muawiyah sahabat nabi s.a.w dikaitkan dengan bermacam-macam tuduhan ke atasnya, sebaliknya pada satu pihak yang lain, mengagongkan Umar bin Abd Aziz yang kewarakkan dan ketinggian kedudukannya disepakati umat.
Sebaik sahaja mendengar lontaran soalan tersebut, lantas Abdullah Ibn Mubarak tidak semena-mena naik marah kemudian berkata,"Kamu bertanyakan nisbah keutamaan di antara mereka berdua. Demi Allah! Debu yang masuk ke dalam hidung Muawiyah kerana berjihad bersama Rasulullah S.A.W itu sahaja lebih baik daripada Umar bin Abdul Aziz".
Begitulah ketinggian kedudukan para sahabat di sisi Rasulullah. Jadi siapakah yang digelar para sahabat? Golongan yang membawa gelaran 'RadhiAllahuanhu' atau 'Allah meredhai nya'. Secara kasar terdapat sekurang-kurangnya terdapat 3 ciri khas untuk melayakkan seseorang itu digelar sebagai para sahabat. Terdapat pelbagai pendapat tentang berapakah jumlah sebenar para sahabat Rasulullah, terdapat yang mengatakan seratus ribu orang, sebahagian yang lain mengatakan lebih daripada itu dan sebahagian yang lain pula mengatakan kurang daripada itu. Tidak terdapat fakta yang jelas dalam hal ini tentang bilangan sebenar para sahabat nabi.
3 ciri untuk layak digelar sebagai para sahabat:-
1) Mestilah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Orang-orang kafir musyrik di zaman baginda tidak dianggap sebagai para sahabat.
2) Mestilah pernah bertemu dengan nabi s.a.w. Oleh yang demikian, sesiapa yang hidup pada zaman nabi tetapi tidak pernah berjumpa dengan nabi, maka dia tidak digelar sebagai para sahabat. Contohnya adalah seperti Najasyi, seorang raja Habsyah. Walaupun dia beriman kepada Rasulullah dan memberikan perlindungan kepada orang mukmin semasa zaman nabi, tetapi beliau tidak pernah berjumpa dengan nabi, maka Najasyi tidak dianggap sebagai para sahabat.
3) Mati dalam keadaan beriman. Justeru orang-orang yang murtad selepas kewafatan nabi tidak dianggap sebagai para sahabat walaupun mereka pernah beriman kepada Islam. Hal ini mahsyur dalam sejarah semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar dimana ramai yang murtad. Begitu juga halnya kepada Abu Talib, bapa saudara kepada nabi. Walaupun dalam hayatnya, hidupnya pernah berkhidmat untuk melindungi Nabi s.a.w daripada ancaman musyrikin Mekah, tetapi disebabkan dia tidak beriman sehingga ajalnya, maka dia tidak termasuk dalam golongan para sahabat.
"Nilai Diri Pada Manfaatnya"
No comments:
Post a Comment