Saturday, November 27, 2010

Sentuhan Selembut Bayu

Dalam tersurat pasti ada tersirat. Ramai orang berkata, kita adalah apa yang kita lihat. What you see is what you get. Justeru itu terserah kepada kita mengurus hal-hal yang berada di bawah pengaruh kita untuk membentuk kemahuan seperti apa yang kita pandang dalam pemikiran kita.

Sewaktu saya kecil, bukan kecil sangatlah, tapi sudah masuk ke sekolah menengah jika saya tidak silap. Disebabkan kemalasan yang melampau-lampau untuk membaca buku, maka akan kedengaranlah nasihat dari emak.

"Malas baca buku. Kamu nanti nak jadi apa?!",kedengaran suara emak dengan nada yang tinggi.

Jiwa remaja yang sewaktu dulu memang suka memberontak menyebabkan saya 'memekakkan' telinga di dalam bilik. Kedengaran saja leteran dari emak, terus masuk bilik dan pintu dikunci. Di waktu tersebut juga, abah juga ada bersama saya di dalam bilik. Abah memberi saya jawapan untuk dijawab kepada emak.

"Jadi orang yang berguna",kata abah kepada saya yang turut mendengar soalan yang berbentuk kemarahan.

Secara tidak sedar, jawapan abah itu sebenarnya cara abah dalam mengetuk pintu fikiran saya secara halus supaya saya tersedar dan kembali memikirkan maksud tersirat daripada jawapan abah. Mungkin saja daripada kita boleh berfikir, kata-kata abah saya itu berbentuk gurauan. Mana mungkin dalam keadaan emak yang sedang marah-marah, abah memberi jawapan kepada saya untuk dijawab kepada emak. Tetapi hakikatnya, jawapan tersebut bukanlah jawapan untuk dijawab kepada emak, tetapi kepada diri saya sendiri. Ya, kepada diri saya sendiri supaya saya berfikir bagaimana untuk menjadi manusia yang berguna.

Sebenarnya, abah saya tidak pernah meleteri mahupun memarahi saya mahupun adik-adik jika kami malas belajar. Hanya saja, kadang-kadang abah berkongsi cerita semasa mudanya supaya dapat diambil pengajaran.

"Abah dulu pelajar pandai. Abah dulu ambil jurusan sains. Tapi dulu abah malas, abah duduk kampung, abah suka main laut",cerita biasa abah kepada anak-anaknya.

Hakikatnya, saya memang menyukai cara abah yang menyentuh hati saya untuk berubah secara lembut dan halus. Memang kebanyakkan anak-anaknya, seorang pun tidak pernah dimarahi jika malas belajar. Hanya dibiarkan saja, kemudian kadang-kala diberikan kata-kata yang berbentuk cerita supaya diri anak-anaknya tersedar supaya kembali berfikir. Ya, sekarang baru saya dapat menangkap apakah kandungan yang tersirat daripada perkataan abah yang sudah bertahun-tahun lamanya kebelakang.

Abah mahu saya sedar sendiri.

Buat sesuatu atas kesedaran. Bukan atas dasar paksaan atau suruhan.

Bertitik tolak daripada itu, saya mula mengubah tabiat kehidupan. Walaupun masih aktif dalam sukan, saya telah mula membuat jadual harian untuk mengulangkaji pelajaran. Alhamdulillah, berkat kesedaran yang berputik dari dalam diri, saya terus berusaha untuk berjaya, menjadi orang berguna.

Tanpa saya meminta dan menduga, gelaran pelajar terbaik seluruh tingkatan sewaktu saya berada di tingkatan 3 dianugerahkan kepada saya atas prestasi yang memberansangkan. Kesibukkan dalam persiapan untuk menghadapi PMR tidak menghalang saya untuk terus aktif dalam aktiviti ko-kurikulum.

Hasilnya juga saya telah dianugerahkan pelajar cemerlang ko-kurikulum kerana telah mengharumkan nama sekolah mendapat johan di peringkat daerah Seremban Barat dalam acara badminton dan ping-pong dan mewakili sekolah dalam peringkat Negeri Sembilan dalam acara kedua-duanya. Cuma bezanya, sewaktu berada di tingkatan 3, walaupun saya sibuk membuat latihan demi latihan dalam aktiviti sukan yang saya gemari, tetapi kali ini tiada lagi leteran daripada emak seperti dulu.

Emak menyokong saya dalam diam.

Itulah yang saya belajar dari kehidupan.
Belajar 'menegur' dan mengambil 'teguran'.

Mengubah Adik
Sekarang saya tidak lagi aktif dalam sukan seperti dulu dek kerana kesuntukkan masa dan telah berkerjaya. Mana tidaknya, keluar rumah pada jam 7 pagi untuk ke tempat kerja dan tiba di rumah juga lebih kurang jam 7 malam menyebabkan hampir seluruh waktu siang saya hanya berada di pejabat. Peluh saya bukan lagi akibat kelelahan mengejar bola atau bulu tangkis, tetapi ia diganti dengan peluh yang keluar menyiapkan kerja-kerja yang diberikan bos..(^_^)

Oleh sebab itu, hobi sampingan saya telah menjadi hobi utama. Saya banyak menghabiskan masa untuk membaca apabila berada pada waktu lapang. Sebenarnya tidak banyak pun waktu lapang. Saya membaca hanya di dalam train sewaktu perjalanan ke tempat kerja dan sedikit waktu pada waktu malam kerana badan selalunya penat dan saya mengantuk awal.

Hobi membaca itu saya limpahkan sedikit demi sedikit kepada adik perempuan. Koleksi buku-buku yang saya kumpul dari zaman universiti saya susun rapi di rak untuk menarik minat dia ke arah minat yang sama. Terkadang, saya terlihat dia membelek-belek buku tersebut. Kadang kala juga, saya membelikan beberapa buah buku yang berbentuk novel islami sebagai galakan untuk dia terus menjadikan aktiviti membaca sebagai keperluan seharian selain dapat menyediakan juadah tarbiah secara halus.

"Wah, macam Asiah Yusra lah",usik saya kepada adik selepas adik mengenakan tudung labuh yang saya belikan untuk dia.

Asiah Yusra adalah watak utama dalam novel Tautan Hati. Sengaja saya belikan novel tersebut untuk adik sebagai motivasi untuk mengubah diri kepada yang lebih solehah walaupun abang dia tidak berapa nak soleh..(^_~)

Adik tersengih.

"Tapi Asiah Yusra suka pakai tudung labuh dengan jubah sekali",cucukan jarum halus saya untuk terus mengubah adik sedikit demi sedikit.

Adik tersenyum lagi.

"Nanti raya, minta mak belikan jubah. Pakai jubah dengan tudung labuh barulah cantik",abang menghasut lagi..Hehehe

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit perubahan pada adik dapat saya lihat. Dulu adik malu untuk memakai tudung labuh jika saya ingin membelikan untuknya, apatahlagi jubah. Tetapi sekarang adik sudah mula mahu mengenakan tudung labuh walaupun mungkin bertukar-tukar dengan tudung biasa. Saya tetap bersyukur setelah berapa lama saya mengharap perubahan itu.

Mungkin masa yang diambil bukanlah sekejap dengan perubahan sekecil itu, tetapi saya tetap bersyukur at least ada juga perubahan yang saya lihat. Kerana saya sedar, mengharapkan perubahan manusia bukanlah boleh dibuat dalam waktu yang pendek, tetapi ia menyeru kepada kesabaran dan usaha yang berterusan.

Kesabaran itu kunci utama dan saya masih lagi meneruskan usaha.

Apa yang saya lihat, perubahan manusia adalah lebih mudah dilentur dengan cara mengubah bentuk pemikiran mereka. Apabila bentuk pemikiran mereka berubah, barulah tapak untuk perubahan akan terbuka luas. Apabila tembok yang menghalang perubahannya dapat diruntuhkan, barulah tembok pembinaan yang baru dapat dibina. Kedua-duanya memang berjalan secara perlahan dan berturut.

Ibaratnya seperti kontraktor yang ingin membina menara yang tinggi di suatu kawasan perumahan usang. Maka apa yang perlu, kerja-kerja meruntuh dan pembersihan haruslah dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja menaikkan menara baru dimulakan. Pastinya, kerja-kerja meruntuh dan permbersihan memakan masa yang lama dan juga kerja-kerja membina menara baru itu sudah pasti turut memakan masa yang lama juga. Pastinya memakan masa bertahun-tahun.

Begitulah juga dengan manusia, apabila pasak fikirannya sudah lama dipenuhi oleh unsur-unsur yang tidak elok, maka semakin lama jugalah masa yang diperlukan untuk merobohkannya semula. Begitulah juga, sehebat mana keperibadian manusia yang ingin dibentuk, maka sehebat itu jugalah masa dan tenaga yang diperlukan untuk tujuan itu.

Kesimpulannya, pengorbanan masa, duit dan tenaga memang diperlukan untuk sesuatu perubahan. Mana mungkin manusia dapat berubah hari ini jahat, kemudian esok menjadi malaikat. Kesabaran mentuntut pengorbanan. Tiadalah kesabaran melainkan ganjarannya kejayaan.

*p/s: Menyentuh pasal kesabaran, saya memang sukar mengawal kesabaran yang diakibatkan oleh janji yang tidak ditepati. Seolah-olah bagaikan api yang menyambar, kemudian api itu disimbah lagi dengan minyak tanah. Menjulang-julang tinggi sambarannya. Saya meminta maaf atas 'api' yang mungkin pernah disambarkan kepada kalian atas kelemahan saya itu. Wallahua'lam

Wednesday, November 24, 2010

Cetusan Hati Di Kala Kesedihan

Bismillahirrahmanirrahim

Setelah hampir seminggu lebih meninggalkan blog ini kesepian tanpa sebarang updates memaksa diri ini untuk terus menggerakkan jasad dan fikiran untuk mengisi sesuatu sebagai pengisian diri sendiri selain berharap coretannya dapat dijadikan perkongsian manfaat untuk bersama. Namun hari ini bukanlah coretan yang diwarnai dengan ceria dan tawa. Tetapi sekadar berkongsi masalah dan duka.

Minggu ini agak menyesakkan fikiran disebabkan beberapa perkara yang tidak henti putus untuk mengganggu gugat diri dan perasaan. Bebanan kerja ditambah dengan tujahan dari luar membuatkan diri ini berasa lemah dan tiada semangat dalam menjalani hari-hari dalam kehidupan yang ditempuhi. Tiadalah tempat yang selayaknya berserah dan memohon melainkan hanyakepada Pencipta masalahnya juga. Dia lah yang menciptakan masalah yang dan Dia lah yang menciptakan penyelesaian.

Kelelahan dan kekusutan mungkin akan berlalu beberapa hari atau mungkin beberapa minggu, tetapi hakikatnya selepas itu akan ada hadiah berupa kekuatan diri yang semakin meningkat dalam menempuh badai dan ujian hidup yang mustahil untuk berhenti melainkan dengan hentinya pernafasan dan kakunya tubuh badan.
"Jika ujian yang seringkali datang membadai diriku itu tidak dapat membunuhku, sesungguhnya ia sebenarnya hanya menaikkan kekuatanku."
Tidaklah maksudku untuk menghiaskan diari ini dengan contoh-contoh masalah dan dugaan yang saya tempuhi, tetapi hanya sebagai medan luahan tempat hati munuturkan kekesalan, berkongsi kesedihan dan mencari semangat dalam membentuk diri yang 'baru' dari hari ke hari kerana setiap masalah yang datang itu sebenarnya menjanjikan satu peluang pelajaran untuk terus membaiki diri dalam usaha membentuk diri yang 'baru' itu.

Masalah itu datang tidak kira tempat dan waktu. Orang selalu berkata janganlah diberi perhatian kepada masalah kerana masalah itu lumrah, tetapi perhatikanlah kepada tindakan terhadap masalah itu. Janganlah meminta dikecilkan ujian, tetapi pintalah dibesarkan iman dalam menumpuhnya.

Hati insan bersifat lupa dan lalai kepada Penciptanya jika tidak sentiasa diperingatkan. Di waktu dalam keadaan terdesak, maka berjujuranlah air mata keluar mengadu pada Tuhan-Nya, tetapi di kala senang tiada setitik pun bahagian di hatinya dikhususkan bagi Tuhannya. Itu lah insan. Mencari Tuhan apabila diri tercari-cari. Melupakan tatkala berada dalam kesenangan. Lumrah kehidupan. Tetapi walaupun begitu, harapan harus jangan ditinggalkan kerana Dia mengetahui makhluk yang dicipta-Nya kadang-kadang terbabas dan terleka. Lalu dikejutkan dengan ujian supaya dia tersedar untuk mengelak dari kemalangan yang lebih besar. Lantas harus ada pengorbanan diri yang perlu dilakukan dalam menerima hadiah teguran Tuhan.

Pengorbanan itulah yang menjadi dasar pembentukkan seorang insan. Berkorban bukan atas kepentingan keduniaan. Semakin dekat insan dengan sisi-Nya, semakin besarlah pengobanan yang harus dilakukan.

~Cetusan Hati Seorang Insan~

Saturday, November 13, 2010

Coretan Minda Kosong

Bismillahirrahmanirrahim

Setelah berpenat lelah bekerja mencari sesuap nasi dalam usaha membina kekuatan ekonomi diri sendiri dengan berpaksikan niat untuk meningkatkan ekonomi umat Islam, akhirnya pada saat ini dapat juga saya duduk di atas kerusi sambil tangan menari di atas papan kekunci pada laptop untuk terus menyumbang buah fikiran dan pandangan dalam mencari erti hidup pada memberi walaupun keadaan tubuh badan dan fikiran masih lagi dalam kelelahan.

Sebenarnya, coretan kali ini bukanlah diniatkan untuk menulis 'Coretan Minda Kosong' yang anda sedang membacanya sekarang ini, tetapi sebenarnya mahu berkongsi ulasan mengenai beberapa buah buku yang sempat saya mengkatamkannya sebagai perkongsian buat bersama. Tetapi akhirnya coretan untuk perkongsian bersama ini telah beralih arah daripada ulasan tentang beberapa buah buku yang telah dibaca kepada coretan kosong sebagai meraikan permintaan sebahagian insan yang asyik bertanyakan mengenai update baru di blog ini. Terharu. Terima kasih kerana sudi terusan mengikuti blog yang tidak tentu hala tuju ini...(^_^)
Dakwah itu mesti dijalankan, andaikata hanya secebis tulisan ini sahaja yang dapatku usahakan, maka akan aku terus menulis sehingga saat roh dan jasadku terpisah dan jari-jemari ku tidak lagi dapat ditarikan. Maka akan aku terus menulis dengan hati dan rasa. Jika harimau mati meninggalkan belangnya, manusia mati biarlah sekurang-kurangnya meninggalkan pesanannya. Semoga manusia dapat mengambil manfaat darinya. InsyaAllah...
Saat diri ini menjalani  kehidupan seharian, saat itulah diri ini sentiasa didatangi dengan pelbagai kejadian dan situasi yang slalu menangkap fikiran untuk berfikir dalam usaha mengaitkannya dengan realiti kehidupan diri sendiri dan kehidupan orang di sekeliling. Ajaib sungguh, sejak bila diri ini menjadi sedemikian rupa pun tidak saya ketahui. Tetapi alhamdulillah lah, sekurang-kurangnya pemerhatian saya terhadap sekeliling dapat juga menghasilkan untaian-untaian peringatan buat pedoman diri sendiri.

Disebalik kesibukan menempuh hari-hari bekerja. Ada sahaja peristiwa yang menggamit perasaan hinggap pada diari pengalaman diri. Sewaktu pulang dari kerja, seperti biasa saya akan menaiki train untuk ke rumah. Maka seperti biasa teman-teman yang 'menumpang' train yang saya naiki adalah makcik-makcik (saya rasa umur mereka dalam pertengahan 30an. Makcik la kan, saya pun sangat muda lagi, baru sweet 23..=D) yang biasa duduk berdekatan dengan tempat duduk saya. Dari situ, banyak input yang saya terima mengenai hal anak-anak, aktivit melancong mereka, resipi masakan, sesi merajuk bersama pasangan (bab ni lah yang paling kelakar saya dengar...kuikui) dan banyak perkara lagi semasa sesi pokpet-pokpet mereka...hehehe

"Hari itu aku bergaduh dengan cik abang aku (suami), lepas gaduh, anak aku datang cakap kat aku,'Mama, abah suruh tanya. Mama dah habis merajuk belum?' ",perkongsian masam manis kehidupan rumah tangga yang disambut dengan deraian gelak tawa bagaikan gunung berapi memuntahkan laharnya.

Saya? Gelak la skali. Dah ceritanya lucu. Tapi sekadar senyum saja. Tak ada lah sampai berdekah-dekah.

Saya kan sopan (buat muka comel)...",

"Memang selalu kalau suami tinggi (baran), isteri mesti rendah. Tak pun, kalau isteri tinggi, suami mesti rendah. Tak boleh dua-dua sama, kalau sama-sama tinggi. Tak tahu la jadi apa nanti",sekali lagi dialog yang menangkap fokus saya.

Saya kembali merenung kepada kehidupan ini. Pernah beberapa kali rakan-rakan meminta tolong untuk mencarikan pasangan samada secara nada gurauan mahupun serius.

"Hadi, jangan lupa tolong carikan aku kalau kau ada kawan-kawan laki yang ok",pinta seorang kenalan.

"Nak yang macam mana?",soalan diajukan untuk mengetahui ciri-ciri idaman.

"Yang biasa-biasa cukuplah. Kalau boleh yang tak tinggal solat berjemaah. Alim-alim sikit dan boleh jadi imam cukuplah",satu-satu ciri lelaki idaman disebutkan.

"Pergh, tenang je aku tengok. Kalau aku dapat bini macam tu, syukur gila... Nak yang baik sahaja, tapi perangai macam setan",kata-kata spontan seorang rakan selepas melihat seorang muslimat yang bertudung labuh dan berjubah lalu dihadapan.

Saya pasti itu adalah kata-kata dari hati. Dari fitrah seorang lelaki. Wanita juga tidak terkecuali. Walaupun sejahat manapun dia, tetapi apabila tiba masa untuk memilih pasangan, maka wanita (lelaki) yang baik juga menjadi pilihan hati.

Dialog-dialog ini secara tiba-tiba bermain di fikiran. Saya merenung dengan lebih mendalam. Membuat monolog demi monolog.

Begitulah lumrah manusia. Mereka sentiasa mahu mendapatkan yang terbaik untuk diri sendiri. Banyak pula ciri-ciri yang diletakkan tatkala membuat pilihan terutamanya dalam hal mencari teman.

Ramai yang terlalu risau apabila memikirkan jodoh yang belum kunjung tiba, ada yang sampai terlebih risau memikirkan tentang ciri-ciri yang harus ada pada bakal suami tanpa melihat kepada keadaan diri sendiri. Mementingkan kehadiran jodoh berbanding daripada persediaan diri dalam menerima jodoh. Hanya meletakkan fokus kepada perkara yang harus ada pada bakal suami tanpa melihat keadaan yang ada pada diri sendiri yang harus diperbaiki.

Seringkali saya akan tersenyum sendiri apabila terkenangkan kemahuan rakan-rakan yang mahu serba-serbi pada bakal suami. Harus terjaga solat fardhunya, tidak tinggal solat berjemaahnya, bagaimana bacaan al-quran nya dan pelbagai lagi itu dan ini... Tetapi, persoalan yang timbul, pernahkah kita membalikkan soalan demi soalan tersebut kepada diri sendiri? Ketukan yang maha hebat untuk direnungi...

Wah, dah melencong jauh dah ni. Dari topik dakwah, terbabas ke topik jodoh. Inilah akibat menulis dalam keadaan kepala yang tidak berisi. Tidak membuat persiapan sebelum jari menari. Sekejap tulis pasal tu, sekejap sentuh pasal ni. Tidak kisahlah, asalkan ada perkongsian, asalkan ada pesanan yang dapat dibekakalkan dan ada peringatan yang dapat diambil pelajaran. Itu sudah memadai.

Sekarang sudah jam 1.28 pagi mengikut  jam laptop saya. Jarang rasanya saya masuk tidur lebih dari jam 12 tengah malam. Yelah, mana tidaknya, keluar rumah pergi kerja jam 7 pagi, sampai rumah pulang dari kerja jam 7 malam. Penat tu. Usai solat isyak, mata pun dah kuyu.

Orang kata, sebaik-baik ubat bagi mengantuk adalah tidur..(^_^) Tidurlah kamu seolah-olah kamu hendak tidur selamanya, tetapi bangunlah kamu seolah-olah kamu hendak tidur balik. Pepatah ciptaan sendiri..(^_~)

Saturday, November 6, 2010

Hidup Itu Satu Tarbiyah Dari Tuhan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Tuhan masih memberikan keizinan-Nya kepada diri ini terus menggerakkan jari untuk terus berpena sebagai medan perkongsian kepada masyarakat. Hanya sisa bakti kecil ini saja lah yang dapat diusahakan dalam usaha meraih perhatian-Nya kerana sememangnya terkadang sebahagian orang memandang menulis blog ini hanya picisan sampingan yang tidak memberi sebarang kesan atau mungkin sangat sedikit jika ada pun. Bagi diri ini, nilaian kecil mahupun besar terlalu subjektif, apatah lagi penilaian tersebut dilakukan oleh Yang Maha Penilai. Boleh jadi pada pandangan mata manusia benda itu kecil tetapi amat besar di sisi-Nya dan begitulah sebaliknya. Kerana hidup itu adalah ibadah bilamana bertunjangkan kepada Tuhan. 

Jadi buat rakan-rakan blogger yang telah 'bersara' dari dunia blog yang sedang membaca coretan ini, kami masih mengharapkan anda untuk terus berkarya untuk terus berkongsi dan memberi. Kerana bukankah erti hidup itu pada memberi? Chaiyok2,,,Gambatte...(^_^)

Jika diteliti kehidupan sehari-hari, mengungkap kisah semalam yang telah berlalu, sebenarnya banyak benda yang kita tempuhi adalah perkara yang diulang-ulang. Malah jika boleh dikatakan sebahagian kehidupan kita kebanyakkannya kita melalui perkara yang sama berulangkali. Mungkin cara dan bentuknya sahaja yang berlainan. Walaupun demikian, ramai di antara kita yang tidak sedar lalu gagal mencungkil hikmah-hikmah mutiara dalam pengalaman yang dilalui sebagai guru pembimbing dalam menempuh masa di hadapan. Sungguh ia merugikan kerana ada pepatah mengatakan pengalaman adalah guru yang terbaik dalam kehidupan.

Mengimbau kembali hari-hari semalam mengundang tawa dan rasa lucu di hati. Itulah keajaiban bilamana kita melihat kembali sesuatu pengalaman silam kerana selain dapat memberi pengajaran untuk pedoman hidup, malah ia menyediakan 'juadah' dalam 'menggeletek' jiwa yang sedang lara. Beruntung bukan?

Teringat sewaktu kecil-kecil dahulu, kegemaran untuk bersolat berjemaah di surau kadang-kadang menjadi peristiwa yang malang buat diri. Saya yang pada itu dalam lingkungan 9-10 tahun, yang masih lagi berfikiran kebudak-budakkan, masih lagi menyukai perkara-perkara yang mistik dan misteri akhirnya menghasilkan bala kepada diri sendiri. Oleh sebab menggilai cerita-cerita seram dan hantu, saya menjadi seorang yang amat penakut.

Pernah sekali, majlis dan jamuan yang diadakan di surau menyebabkan kepulangan saya ke rumah menjadi lewat. Oleh kerana sebelum itu, rakan-rakan asyik bercerita tentang hantu maka saya takut untuk balik ke rumah yang terletak di tingkat 4 yang juga merupakan tingkat paling atas dengan sebahagian lampu-lampu tangga tidak berfungsi. Akibat terlalu membayang-bayangkan hantu di dalam kepala, saya menangis. Dan yang paling penting saya tidak mampu untuk menggerakkan kaki untuk melangkah ke rumah. Teresak-esak seperti tangisan anak kecil. Akhirnya, saya dapat juga pulang ke rumah kerana kesudian seorang teman untuk meneman saya untuk naik ke rumah dengan diulit kegelapan malam seperti gelapnya malam Jumaat Kliwon. Lihat, saya sudah cakap, dulu saya taksub dengan cerita hantu, Jumaat Kliwon adalah salah satu tajuk cerita Sundal Bolong yang sangat popular di Indonesia ketika itu..hehe..=P

Kemudian pada hari-hari berikutnya, disebabkan 'fobia' kepada hantu masih lagi tidak hilang dan semangat untuk terus solat berjemaah di surau masih menebal. Saya terus meneruskan aktiviti bersolat di surau. Usai solat isyak untuk naik ke rumah, saya selalu menunggu pak cik jiran rumah yang duduk di blok yang sama. Apabila dia menaiki tangga yang tidak berlampu itu, dapat lah teman yang tidak dijemput. hehe.. Dan hasilnya, saya sampai rumah dengan selamat! Tetapi ada ketikanya, saya harus juga menaiki tangga seorang diri dek kerana beliau sedang bekerja. Lantas, saya memulakan pecutan bagai seorang pelari pecut yang mengejar tempat pertama bagi merebut gelaran johan dalam pertandingan..(^_^)

Itulah pengalaman silam saya. Ia tidak memberi sebarang signifikan jika ia dilihat sebagai cerita kisah silam semata-mata. Tetapi apabila ia dilihat dengan pandangan mata hati yang ingin mencungkil hikmah dan pengajaran disebaliknya, akan terlihat pengajaran yang berguna untuk tarbiyah diri mahupun untuk orang lain. Hanya saja, terpulang kepada kemahuan diri untuk memikirkannya ataupun tidak.

"Hadi, kenduri kahwin aku 25/12 ni. Boleh datang tak?", jemput seorang kawan untuk majlis walimahnya.

"Kau tahu tak, sejak aku berkahwin ni, aku tak pernah miss subuh lagi tau! Dulu masa belum berkahwin, selalu juga aku miss subuh",syarah seorang teman tentang perubahan yang baik telah berlaku pada dirinya apabila sudah bergelar seorang suami.

"Kau bila lagi nak nikah? Nikahlah cepat-cepat. InsyaAllah kalau engkau bernikah, hati jadi lebih tenang dan ibadah lebih khusyuk",gesaan seorang sahabat untuk diriku supaya mengikuti jejak langkahnya untuk bernikah.

Dialog yang sekadar dialog sahaja. Tiada apa-apa kebaikkan yang boleh diambil jika penghayatan yang diberikan kepadanya juga biasa-biasa. Kosong dan berlalu begitu sahaja. Sebaliknya, dialog tersebut dapat memberikan seribu satu pelajaran yang berguna jika penghayatan yang dalam disertai dengan fikiran yang ligat berfikir untuk mencari hikmah mutiara yang tersirat untuk dijadikan pelajaran. Justeru itu, kebaikkan demi kebaikkan, pelajaran demi pelajaran yang berguna dapat dicungkil atas setiap detik perjalanan hidup yang dilalui.

Kerana dalam kehidupan itu terlalu padat dengan pelajaran yang berguna bagi orang yang mahu berfikir.

Jika kita ambil beberapa minit untuk mencermati terjemahan al-Quran, mencari firman-firman Allah mengenai peristiwa-peristiwa orang-orang yang terdahulu, seringkali Allah akan mengakhiri kalamnya dengan kata-kata seruan peringatan (bermaksud):-

"Apakah kamu tidak mahu memikirkannya?"
"Apakah kamu tidak mahu mengambil pelajaran?"
"Apakah kamu tidak berakal?"

Peringatan demi peringatan diberikan supaya manusia kembali merenung sejarah manusia silam untuk mereka mengambil pelajaran supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Begitu juga jika kita mengimbas kembali sejarah Thomas Edison dalam usahanya mencipta mentol, beliau mencuba beribu-ribu kali sebelum beliau berjaya menghidupkan sebuah mentol. Dalam sesetengah riwayat ada mengatakan 2000 kali, sesetengah riwayat mengatakan 5000 kali (banyak betul riwayat, yang mana sahih tak tahu lah yang mana satu. Kena apply ilmu jarh wa ta'dil ni)..=) Beliau pernah ditanya tentang jumlah percubaan yang mencecah beribu-ribu kali dalam eksperimen beliau yang gagal, beliau berkata,"Setiap kali kegagalan yang aku lalui, sebenarnya aku mendapat ilmu baru".
 
Justeru itu, perjalanan kehidupan yang kita lalui bukanlah sia-sia kerana ia mengandungi mutiara cahaya yang dapat dijadikan petunjuk dalam menempuh jalan di hadapan. Begitu juga dengan kesalahan, kejatuhan demi kejatuhan yang kita pernah tersungkur padanya adalah pengalaman berharga umpama lilin yang bercahaya yang dapat menjadi suluhan buat insan kepada jalan yang 'berjerat' dan 'berlubang' yang pernah mereka tersungkur kepadanya suatu masa dahulu dengan itu mereka dapat mengambil jalan yang lebih selamat.

Oleh itu, janganlah sia-siakan pengalman yang ada. Pengalaman yang dilalui sebenarnya terlalu berharga untuk dibuang begitu sahaja. Berfikirlah. Kerana orang yang bijak adalah orang yang melihat ke belakang sebagai bekal untuk menempuh jalan di hadapan.

Jangan sia-siakan ia, kerana kehidupan itu sendiri adalah satu tarbiyah dari Tuhan.


 
  

Monday, November 1, 2010

Muhasabah Diri

Saat tulisan ini ditulis, pena-pena yang ditarikan pada keyboard pejabat. Bagaikan ada yang memanggil-manggil diri ini untuk mencoretkan sesuatu untuk berkongsi rasa yang terbuku di hati. Tugasan pejabat yang telah diberikan kepada saya juga telah diserahkan untuk penelitian kali ketiga, maka dapatlah saya menghela nafas sedikit menghirup kerehatan setelah diasak oleh bos-bos yang tidak pernah jemu mendesak menyiapkan tugasan yang mereka beri untuk disiapkan. 

Itulah hakikat apabila menjadi orang bawahan. Harus patuh dan taat kepada yang di atas. Lumrah kehidupan berkerjaya. Justeru itu, kadangkala kritikan harus ditadah dengan hati yang terbuka walaupun kita tidak salah dalam hal yang diperkata.

Orang selalu berkata,"bila bos 'beleter', dengar dan diam saja walaupun dia salah". Ada kebenaran dalam ungkapan tersebut.

Saya akuinya. Itulah dugaan bila bekerja.

Sewaktu menaiki train untuk ke tempat kerja menuju Kuala Lumpur (saya menetap di Nilai), saya sering memikirkan kata-kata yang saya dengari di corong radio IKIM yang lebih kurang bunyinya,'Hidup kita ini macam sia-sia jika rutin harian kita sama sahaja setiap hari. Bangun dari tidur kemudian balik dari kerja dan tidur semula'.

Kata-kata tersebut mengetuk pintu fikiran saya untuk memikirkannya sepanjang perjalanan. Lantaran itu saya mengaitkan kata-kata tersebut dengan kehidupan saya. Saya memikirkannya berkali-kali. Seperti ada satu pukulan keras menghentam diri saya.

"Apakah sumbangan kamu kepada masyarakat?",seolah-olah hati menghantar mesej kekurangan tersebut.

Saya menjadi sedih dan terkedu. Terkenang semasa di dalam 'penjara' ilmu di UTM. Bumi tarbiyah yang banyak medidik hati nurani. Bumi yang banyak menagjar saya erti kehidupan. Timbul kerinduan kepadanya.

Universiti yang bercogan kata,'Kerana Tuhan Untuk Manusia' seolah-olah memberikan gambaran kepada manusia yang bernaung dibawahnya, Hidup ini mesti bertuhan. Di situlah saya membina tapak dalam membentuk diri sendiri sepertimana saya berdiri hari ini. Di sana penuh dengan redupan majlis ilmu. Penuh dengan mereka yang telah menghamba abdikan diri mereka kepada Islam yang tidak jemu membina ukhuwah atas dasar persaudaraan Islam, tidak kering lidah untuk berkongsi cerita yang bermanfaat untuk iman dan tidak berat lidah menuturkan kata-kata menegur kesalahan.

Di sana, hidup saya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti samada berbentuk keagamaan mahupun bukan. Di situlah saya bertatih-tatih menaungi unit dalam persatuan keagamaan. Pernah suatu ketika, hati saya mengatakan,"Layakkah engkau Hadi nak memimpin mereka. Mereka budak baik-baik, insan soleh dan solehah". Allah sahajalah yang tahu rasa hati apabila Dia memberi saya amanah untuk memimpin unit tersebut yang rata-rata ahlinya berlatar belakangkan jurusan Pendidikan Islam. Bakal ustaz dan ustazah.

Dan disitulah permulaan titik kembaraan bermula. Saya agak sibuk dengan urusan persatuan, merancang program, membantu pihak pengurusan Pusat Islam menjalankan aktiviti-aktiviti mereka memberikan sedikit impak dalam pengurusan diri. Walaupun sibuk, saya tetap gembira melakukan tugas tersebut dek kerana amanah yang dipikul. Saya merasa tenang memandang muka-muka mereka, mungkin mendapat tempias redupan Ilahi yang tumpah ke atas mereka mengenai saya. Saya berasa beruntung.

Tetapi sekarang segalanya telah berubah. Berubah secara drastik. Semuanya tidak sama seperti dahulu.

Saya terpukul oleh kenyataan itu.

Pernah dalam satu perbualan saya dan rakan sewaktu kami berjumpa untuk majlis convocation, rakan saya berkata,"Hadi, kita tidak boleh hidup seorang. Kena cari jemaah. Dan dalam jemaah nanti kena berkorbanlah sikit masa dan tenaga. Terutamanya duit". Itulah pesanan ringkas kepada saya.

Pesanan yang mungkin untuk mengingatkan saya supaya sentiasa berada dalam jemaah lantaran status kehidupan yang telah berubah daripada pelajar kepada berkarier. Benar status tersebut telah membuat saya bersendirian. Sehingga kini saya masih berusaha untuk membuang status 'kesendirian' tersebut. Saya masih lagi mencari. Bukan mencari cinta, tetapi tautan uhkuwah dalam jemaah yang terbina bukan atas kepentingan dunia. Itulah senikmat-nikmat perhubungan. Tiada kepentingan.

Kemungkinan itulah puncanya mengapa saya sering terfikir tentang kekurangan yang perlu ditambahi. Kekurangan yang membuat saya sepi. Sepi dalam tawa. Puncanya kerana saya tidak lagi 'memberi' kepada orang lain. Memberi sedikit bakti kepada masyarakat. Ya, kekurangan saya selepas bergelar graduan. Hidup bersendiri. Maka tiadalah erti hidup kerana erti hidup pada memberi. Justeru itu, kebangkitan harus diusahakan. InsyaAllah.

Anda bagaimana? 
Sama seperti saya? 
Jika ya, bermakna kehidupan kita belum lengkap dan tanggungjawab belum terlaksana.
Ayuh mari kita lakukan perubahan bersama-sama. Bersama saya.

Related Posts with Thumbnails